AYAT BIBLE DIJELASKAN
Roma 12:12—“Kerana Kamu Berharap kepada Tuhan, Bersukacitalah. Bersabarlah Semasa Mengalami Kesusahan dan Berdoalah Sentiasa”
“Bersukacitalah kerana harapan kamu. Tabahkanlah hati kamu semasa ditimpa kesengsaraan. Teruslah berdoa dengan tekun.”—Roma 12:12, Terjemahan Dunia Baharu.
“Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa.”—Roma 12:12, Alkitab Berita Baik.
Maksud Roma 12:12
Dalam ayat ini, Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian di Roma untuk melakukan tiga perkara yang akan membantu mereka tetap setia walaupun menghadapi penganiayaan atau cabaran lain.
“Bersukacitalah kerana harapan kamu.” Orang Kristian mempunyai harapan yang menakjubkan untuk hidup selama-lamanya. Sesetengah orang akan pergi ke syurga dan kebanyakan orang pula akan hidup di bumi firdaus. (Mazmur 37:29; Yohanes 3:16; Wahyu 14:1-4; 21:3, 4) Mereka juga akan melihat Kerajaan Tuhan a menyelesaikan semua masalah yang menimpa manusia. (Daniel 2:44; Matius 6:10) Para penyembah Tuhan dapat bersukacita walaupun menghadapi kesusahan. Hal ini kerana mereka yakin bahawa apa yang mereka harapkan akan menjadi kenyataan dan jika mereka bertabah, mereka akan menyenangkan hati Tuhan.—Matius 5:11, 12; Roma 5:3-5.
“Tabahkanlah hati kamu semasa ditimpa kesengsaraan.” Dalam Bible, kata kerja Yunani yang diterjemahkan sebagai “bertabah” biasanya membawa maksud tidak berganjak, tidak melarikan diri, bertahan, atau tetap teguh. Kerana para pengikut Kristus “bukan sebahagian daripada dunia,” b mereka tahu bahawa mereka akan dianiaya, dan sebab itulah mereka memerlukan ketabahan. (Yohanes 15:18-20; 2 Timotius 3:12) Apabila seorang Kristian setia menyembah Tuhan biarpun perlu bertabah menghadapi cabaran, keyakinannya bahawa Tuhan akan memberinya ganjaran akan dikuatkan. (Matius 24:13) Keyakinannya yang kuat ini akan membolehkannya bertabah menghadapi cabaran dengan sabar dan sukacita.—Kolose 1:11.
“Teruslah berdoa dengan tekun.” Untuk tetap setia kepada Tuhan, orang Kristian mestilah terus berdoa. (Lukas 11:9; 18:1) Mereka sentiasa mencari bimbingan Tuhan dan bergantung pada-Nya dalam segala hal yang dilakukan mereka. (Kolose 4:2; 1 Tesalonika 5:17) Mereka yakin bahawa Tuhan akan menjawab doa mereka kerana mereka mematuhi perintah-Nya dan membuat yang terbaik untuk menyenangkan hati-Nya. (1 Yohanes 3:22; 5:14) Mereka juga tahu bahawa jika mereka tekun berdoa, Tuhan akan memberi mereka kekuatan yang diperlukan untuk tetap setia tidak kira apa cabaran yang mereka lalui.—Filipi 4:13.
Konteks Roma 12:12
Paulus menulis surat ini kepada orang Kristian yang tinggal di Roma sekitar tahun 56 M. Di bab 12 dalam surat ini, Paulus memberikan nasihat praktikal tentang cara untuk menunjukkan sifat-sifat Kristian dan cara untuk berurusan dengan rakan seiman dan orang lain. Dia juga menasihati mereka untuk bersikap damai semasa dianiaya. (Roma 12:9-21) Orang Kristian di Roma menerima nasihat ini pada masa yang tepat, kerana tidak lama selepas itu, mereka dianiaya dengan teruk.
Beberapa tahun kemudian, pada 64 M, satu kebakaran besar telah memusnahkan kota Roma. Pada masa itu, khabar angin mengatakan bahawa Maharaja Nero yang telah memulakan kebakaran itu. Menurut seorang sejarawan Roma yang bernama Tacitus, Nero cuba melindungi dirinya dengan menuduh bahawa orang Kristian yang melakukan hal itu. Akibatnya, orang Kristian dianiaya dengan teruk. Nasihat Paulus tentang cara bertabah menghadapi penganiayaan telah membantu mereka untuk tetap setia dan menunjukkan sifat Kristian yang baik semasa dianiaya. (1 Tesalonika 5:15; 1 Petrus 3:9) Para penyembah Tuhan pada hari ini dapat belajar banyak daripada teladan mereka.
Lihatlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Roma.
a Kerajaan Tuhan merupakan sebuah kerajaan di syurga yang didirikan oleh Tuhan untuk melaksanakan tujuan-Nya bagi bumi. Untuk maklumat lanjut, lihatlah rencana “Apakah Itu Kerajaan Tuhan?”
b Dalam Bible, istilah “dunia” boleh merujuk kepada masyarakat manusia yang tidak mengenali Tuhan.