Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Roma 12:2​—“Berubahlah Menurut Pembaharuan Fikiranmu”

Roma 12:2​—“Berubahlah Menurut Pembaharuan Fikiranmu”

 “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini, tetapi ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat membuktikan kepada diri sendiri kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.”—Roma 12:2, nota kaki, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Tuhan itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.’—Roma 12:2, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Roma 12:2

 Mereka yang ingin menyenangkan hati Tuhan bukan sahaja perlu menolak pengaruh buruk, tetapi juga perlu mengubah keperibadian mereka. Tuhan tidak memaksa mereka untuk berubah. Mereka berubah kerana mereka mengasihi Tuhan dan sedar bahawa apa yang dikehendaki-Nya munasabah dan membawa manfaat.—Yesaya 48:17.

 “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.” Ungkapan “sistem dunia ini” merujuk kepada masyarakat manusia sedunia yang mempunyai standard, kelakuan, dan amalan tersendiri, yang bercanggahan dengan piawaian atau fikiran Tuhan. (1 Yohanes 2:15-17) “Sistem dunia ini” sentiasa mempengaruhi orang serta membentuk kelakuan dan sikap mereka. Untuk menyembah Tuhan dalam cara yang menyenangkan hati-Nya, seseorang perlu menolak pengaruh dunia. Jika tidak, dia akan memupuk sifat-sifat yang memudaratkan diri dan yang tidak menyenangkan hati Tuhan.—Efesus 2:1-3; 4:17-19.

 “Ubahlah fikiran kamu.” Seseorang juga perlu berusaha mengubah sikap dan perasaannya yang jauh terpendam. Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “ubahlah” menggambarkan perubahan yang menyeluruh, seperti ulat bulu yang berubah menjadi kupu-kupu. Mereka yang menyembah Tuhan mesti “mengenakan keperibadian baharu.”—Efesus 4:23, 24; Kolose 3:9, 10.

 “Membuktikan kepada diri sendiri kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” Tuhan ingin agar mereka yang menyembah-Nya benar-benar yakin tentang apa yang dipercayai mereka. Mereka melakukannya dengan mempelajari Firman Tuhan, menerapkannya, dan menikmati manfaat hidup mengikut piawaian Tuhan. Maka, mereka membuktikan kepada diri sendiri bahawa haluan Tuhanlah yang terbaik.—Mazmur 34:8.

Konteks Roma 12:2

 Roma bab 12 menjelaskan apa yang terlibat dalam menyembah Tuhan dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Penyembahan sebegini mempengaruhi setiap aspek kehidupan. Seseorang harus bertindak menggunakan “daya pemikiran” dan bukannya percaya secara membabi buta atau mengikut perasaan. (Roma 12:1, 3) Bab ini mengandungi nasihat yang praktikal tentang cara menunjukkan sifat-sifat Kristian, cara berurusan dengan orang lain, dan cara bertindak semasa dilayan dengan buruk.—Roma 12:9-21.