Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Roma 15:13​—“Semoga Tuhan yang Memberi Kamu Harapan, Mengurniai Kamu Sukacita dan Kedamaian yang Melimpah”

Roma 15:13​—“Semoga Tuhan yang Memberi Kamu Harapan, Mengurniai Kamu Sukacita dan Kedamaian yang Melimpah”

 “Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa suci Tuhan, harapan kamu bertambah kukuh.”—Roma 15:13, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Semoga [Tuhan], sumber harapan, memenuhi hatimu dengan kegembiraan dan kesejahteraan dalam iman, supaya kamu dilimpahi harapan dengan kuasa Roh Kudus.”—Roma 15:13, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Roma 15:13

 Dengan kata-kata ini, Rasul Paulus menunjukkan hasratnya agar Tuhan memberikan “sukacita dan kedamaian yang melimpah” kepada rakan seimannya. Sifat-sifat baik ini dikaitkan dengan harapan yang diberikan Tuhan dan kuasa suci-Nya.

 Kita belajar tentang harapan yang diberikan Tuhan melalui Firman-Nya, iaitu Bible. Menurut Roma 15:4, “segala yang tertulis [dalam Bible] sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.” Bible menyingkapkan janji Tuhan untuk menyelesaikan masalah yang dapat membuat ramai orang putus asa seperti kemiskinan, ketidakadilan, penyakit, dan kematian. (Wahyu 21:4) Tuhan akan menggunakan Yesus Kristus untuk menunaikan janji-janji-Nya. Oleh itu, kita mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih baik.—Roma 15:12.

 Harapan kita hanya “bertambah kukuh” apabila kita percaya kepada Tuhan. Semakin banyak kita belajar tentang Tuhan, semakin kuat keyakinan kita bahawa Dia boleh dipercayai dengan sepenuhnya. (Yesaya 46:10; Titus 1:2) Berdasarkan harapan kukuh daripada Tuhan ini, seseorang boleh menikmati sukacita dan kedamaian yang melimpah walaupun menghadapi banyak cabaran.—Roma 12:12.

 Kedamaian, sukacita, dan harapan juga dikaitkan dengan “kuasa suci Tuhan,” iaitu kuasa Tuhan yang aktif. a Harapan kita dikukuhkan kerana Tuhan menggunakan kuasa suci-Nya untuk membuat janji-Nya menjadi kenyataan. Kuasa suci Tuhan juga membantu orang memupuk sifat-sifat yang baik seperti sukacita dan kedamaian.—Galatia 5:22.

Konteks Roma 15:13

 Sebenarnya buku Roma ialah sepucuk surat kepada orang Kristian yang tinggal di kota Roma. Orang Kristian di sana terdiri daripada bangsa Yahudi dan bangsa-bangsa lain. Paulus menggalakkan semua agar bersatu padu dari segi fikiran dan tindakan walaupun terdapat perbezaan latar belakang dan budaya.—Roma 15:6.

 Paulus mengingatkan orang Kristian di Roma tentang nubuat Tuhan bahawa akan tiba masanya orang daripada semua bangsa bersatu untuk menyembah Tuhan. Untuk menyokong hal ini, Paulus mengutip kata-kata daripada Kitab Ibrani b sebanyak empat kali. (Roma 15:9-12) Inilah maksud Paulus: Kerja penyebaran Kristus membawa manfaat kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Kedua-dua kumpulan ini mendapat harapan yang sama daripada Tuhan. Jadi semua orang di sidang Roma, tidak kira latar belakang mereka, harus ‘menyambut satu sama lain’ dengan baik hati atau ramah.—Roma 15:7.

a Untuk maklumat lanjut, sila baca rencana “Apakah Itu Kuasa Suci atau Roh Kudus Tuhan?

b Kitab Ibrani juga dipanggil Perjanjian Lama.