AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yeremia 29:11—“Aku Sendiri Tahu akan Rancangan-Ku untuk Kamu”
“‘Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu,’ firman Yehuwa, a ‘Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.’”—Yeremia 29:11, Terjemahan Dunia Baharu.
“Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan.”—Yeremia 29:11, Alkitab Berita Baik.
Maksud Yeremia 29:11
Tuhan Yehuwa berjanji untuk memberi para penyembah-Nya kehidupan yang aman pada masa depan. Walaupun ayat itu ditulis untuk orang zaman dahulu, janji Yehuwa masih tidak berubah. Bible menyatakan bahawa Dia ialah “Tuhan yang memberi kamu harapan.” (Roma 15:13) Maka, Dia mencatatkan janji-janji dalam Bible “supaya kita memiliki harapan” dan menantikan masa depan yang lebih baik.—Roma 15:4.
Konteks Yeremia 29:11
Ayat ini merupakan sebahagian daripada surat kepada orang Israel yang merupakan tawanan di Babilon. b (Yeremia 29:1) Tuhan memberitahu mereka bahawa mereka akan ditawan untuk masa yang lama. Dia juga menyuruh mereka untuk membina rumah, bercucuk tanam, berkahwin, dan melahirkan anak. (Yeremia 29:4-9) Namun, Tuhan juga berfirman, “Selepas kamu berada di Babilon selama 70 tahun, Aku akan menumpukan perhatian kepada kamu. Aku akan menunaikan janji-Ku untuk membawa kamu pulang.” (Yeremia 29:10) Maka Tuhan meyakinkan mereka bahawa Dia tidak lupa akan mereka. Dia juga memberikan jaminan bahawa harapan mereka untuk kembali ke tanah air pasti menjadi kenyataan.—Yeremia 31:16, 17.
Tuhan menunaikan janji-Nya itu. Seperti yang dinubuatkan, Babilon ditawan oleh Raja Kores dari Persia. (Yesaya 45:1, 2; Yeremia 51:30-32) Kemudian, Kores membenarkan orang Yahudi pulang ke negeri mereka. Akhirnya, mereka kembali ke Yerusalem selepas ditawan selama 70 tahun.—2 Tawarikh 36:20-23; Ezra 3:1.
Ayat di Yeremia 29:11 yang menjadi kenyataan itu meyakinkan umat Tuhan hari ini bahawa janji-janji Tuhan akan ditunaikan. Hal ini termasuk janji bahawa kedamaian akan melimpah di bumi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan dan Raja Yesus.—Mazmur 37:10, 11, 29; Yesaya 55:11; Matius 6:10.
Tanggapan yang Salah tentang Yeremia 29:11
Tanggapan yang salah: Tuhan ada “rancangan” tertentu untuk setiap manusia.
Kebenaran: Tuhan membiarkan setiap orang memilih haluan hidup sendiri. Firman-Nya di Yeremia 29:11 ditujukan kepada semua orang Israel di Babilon, dan Dia ingin mereka semua menikmati masa depan yang aman. (Yeremia 29:4) Namun, setiap seorang daripada mereka dapat membuat pilihan sama ada mereka ingin menikmati berkat yang dijanjikan-Nya atau tidak. (Ulangan 30:19, 20; Yeremia 29:32) Mereka yang berdoa dengan tulus menunjukkan bahawa mereka memilih untuk mencari Tuhan.—Yeremia 29:12, 13.
Tanggapan yang salah: Perkataan “kemakmuran” bererti Tuhan akan memberkati umat-Nya dengan kekayaan.
Kebenaran: Perkataan “kemakmuran” yang dicatatkan di Yeremia 29:11 diterjemahkan daripada perkataan Ibrani yang bermaksud “damai, sihat, dan sejahtera.” Berdasarkan konteks ayat itu, Tuhan berjanji untuk memberikan kesejahteraan kepada orang Israel, bukannya kekayaan. Maksudnya, bangsa itu tidak akan dilenyapkan dan mereka akan kembali ke Yerusalem suatu hari nanti.—Yeremia 29:4-10.
Baca Yeremia bab 29, termasuk semua nota kaki dan rujukan silang.
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.
b Mengenai Yeremia 29:11, The Expositor’s Bible Commentary menyatakan, “Dalam Bible, ini merupakan salah satu janji yang paling menakjubkan yang menunjukkan belas kasihan Yahweh [Yehuwa] terhadap umat-Nya yang ditawan. Janji ini membantu mereka tetap berpandangan positif dan tidak putus harapan.”—Jilid 7, muka surat 360.