AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yesaya 40:31—“Orang yang Berharap kepada Yehuwa Akan Dikuatkan Semula”
“Tetapi orang yang berharap kepada Yehuwa akan dikuatkan semula. Mereka akan menjadi seperti burung helang yang terbang tinggi dengan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak menjadi lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi penat.”—Yesaya 40:31, Terjemahan Dunia Baharu.
“Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.”—Yesaya 40:31, Alkitab Berita Baik.
Maksud Yesaya 40:31
Tuhan Yehuwa a meyakinkan para penyembah-Nya bahawa Dia akan memberi mereka kekuatan yang diperlukan untuk mengatasi atau bertabah menghadapi apa jua cabaran.
“Orang yang berharap kepada Yehuwa akan dikuatkan semula.” Orang yang berharap, atau percaya, pada kemampuan dan kerelaan Tuhan untuk membantu umat-Nya dapat yakin bahawa Dia akan menyokong mereka. (Amsal 3:5, 6) Salah satu cara Tuhan dapat menguatkan orang yang menyembah-Nya ialah melalui roh kudus, atau kuasa suci-Nya.—Lukas 11:13.
“Mereka akan menjadi seperti burung helang yang terbang tinggi dengan sayapnya.” Kata-kata ini menggambarkan kesan kuasa suci Tuhan atas diri seseorang. Seekor burung helang bergantung pada daya angkat daripada angin panas agar dapat terbang tinggi. Apabila kawasan angin panas dijumpai, burung helang akan terbang ke kawasan itu dan berlegar di sana sehingga mencapai ketinggian tertentu. Selepas itu, burung helang akan terbang ke kawasan angin panas yang lain dan mengulangi proses yang sama. Dengan itu, burung helang dapat terbang selama berjam-jam dan hanya menggunakan sedikit tenaga untuk sampai ke destinasinya.
“Mereka akan berlari dan tidak menjadi lelah.” Cabaran hidup dapat melemahkan kita dari segi fizikal dan emosi, tetapi kita dapat bertabah kerana adanya kuasa yang diberikan oleh Tuhan. Kuasa suci Tuhan dapat menguatkan kita untuk melakukan apa yang benar walaupun mengharungi cabaran yang besar. Rasul Paulus, yang menghadapi pelbagai cabaran dengan tabah, menulis, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”—Filipi 4:13.
Konteks Yesaya 40:31
Tuhan mengilhami Nabi Yesaya untuk menulis kata-kata ini kira-kira 2,700 tahun yang lalu. Ayat ini ditujukan kepada semua hamba Tuhan yang setia. Namun, Yehuwa mungkin telah menyediakan kata-kata ini untuk menggalakkan orang Yahudi yang bakal menjadi tawanan di Babilon selama 70 tahun. Apabila mereka dibebaskan dan kembali ke tanah air mereka, mereka dapat melihat kata-kata Tuhan menjadi kenyataan. (Yesaya 40:1-3) Tuhan telah memberi mereka kekuatan untuk mengharungi perjalanan b yang jauh dan mencabar dari Babilon ke Yerusalem pada tahun 537 SM.—Yesaya 40:29.
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.
b Jalan yang dilalui para tawanan mungkin sejauh kira-kira 1,600 kilometer.