Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Yesaya 41:10—​“Jangan Takut kerana Aku Akan Menyertai Kamu”

Yesaya 41:10—​“Jangan Takut kerana Aku Akan Menyertai Kamu”

 “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.”—Yesaya 41:10, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Tuhan kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.’—Yesaya 41:10, Alkitab Berita Baik.

Maksud Yesaya 41:10

 Tuhan Yehuwa a meyakinkan hamba-Nya yang setia bahawa Dia akan membantu mereka tidak kira apa pun masalah yang dihadapi mereka.

 “Aku menyertaimu.” Yehuwa memberitahu penyembah-Nya bahawa mereka tidak perlu berasa takut. Hal ini kerana Dia seolah-olah berada di samping mereka. Maka, mereka tidak bersendirian. Dia tahu apa yang dialami mereka dan Dia mendengar doa mereka.—Mazmur 34:15; 1 Petrus 3:12.

 “Akulah Tuhanmu.” Yehuwa menenangkan hamba-Nya dengan mengingatkan mereka bahawa Dia ialah Tuhan mereka dan mereka ialah penyembah-Nya. Mereka dapat yakin bahawa Yehuwa akan membantu mereka tidak kira apa pun situasi yang dihadapi.—Mazmur 118:6; Roma 8:32; Ibrani 13:6.

 “Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.” Yehuwa menggunakan tiga ungkapan yang berbeza untuk menekankan hal yang sama, iaitu Dia akan menolong umat-Nya. Gambaran tentang tangan Yehuwa yang memegang kita menunjukkan bahawa Dia tidak akan berdiam diri apabila kita dalam kesusahan. Semasa seseorang jatuh, Yehuwa akan menariknya dengan tangan-Nya agar dia bangkit semula.—Yesaya 41:13.

 Cara utama Tuhan menguatkan dan membantu penyembah-Nya adalah melalui Bible. (Yosua 1:8; Ibrani 4:12) Contohnya, Firman Tuhan mengandungi nasihat bijak bagi mereka yang menghadapi kemiskinan, penyakit, kehilangan orang tersayang dalam kematian, dan cabaran lain. (Amsal 2:6, 7) Tuhan juga dapat menggunakan kuasa suci-Nya agar umat-Nya dapat berfikir dengan jelas dan tidak berasa terlalu khuatir sehingga berputus asa.—Yesaya 40:29; Lukas 11:13.

Konteks Yesaya 41:10

 Ayat ini telah melegakan hati orang Yahudi yang dibawa sebagai tawanan ke Babilon. Yehuwa menyatakan bahawa sebelum dibebaskan, mereka akan mendengar berita tentang kedatangan seorang musuh. Musuh itu akan menyerang Babilon dan bangsa-bangsa di sekelilingnya. (Yesaya 41:2-4; 44:1-4) Bangsa-bangsa yang tidak menyembah Yehuwa akan berasa takut mendengar berita itu. Namun orang Yahudi tidak perlu khuatir kerana Yehuwa akan melindungi mereka. Sebanyak tiga kali Dia meyakinkan mereka dengan berkata, “Janganlah takut.”—Yesaya 41:5, 6, 10, 13, 14.

 Walaupun Yesaya 41:10 sebenarnya ditujukan kepada orang Yahudi yang ditawan, Tuhan Yehuwa memastikan ayat ini dicatatkan dalam Firman-Nya agar Dia dapat melegakan semua umat-Nya. (Yesaya 40:8; Roma 15:4) Sepertimana Dia membantu penyembah-Nya pada zaman dahulu, Dia juga akan membantu penyembah-Nya pada hari ini.

Baca Yesaya bab 41, termasuk semua nota kaki dan rujukan silang.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.