Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Yesaya 42:8​—“Akulah TUHAN”

Yesaya 42:8​—“Akulah TUHAN”

 “Aku ialah Yehuwa, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa pun atau menyerahkan pujian-Ku kepada patung-patung berhala.”—Yesaya 42:8, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Akulah TUHAN, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa, atau pujian-Ku kepada mana-mana berhala.”—Yesaya 42:8, Alkitab Berita Baik.

Maksud Yesaya 42:8

 Tuhan memberitahu kita nama peribadi-Nya. Dia juga berkata bahawa Dia tidak akan berkongsi pujian atau kemuliaan-Nya dengan berhala atau patung ukiran.

 Tuhan memberi diri-Nya sebuah nama peribadi, iaitu Yehuwa dalam bahasa Melayu. a (Keluaran 3:14, 15) Walaupun nama Tuhan muncul hampir 7,000 kali dalam Perjanjian Lama (Kitab Ibrani-Aram), banyak terjemahan menggantikannya dengan gelaran seperti TUHAN (dalam huruf besar). Perhatikan contoh dalam buku Kisah. Rasul Petrus pernah memetik nubuat di Mazmur 110:1 tentang Yehuwa dan Yesus. Menurut Alkitab Berita Baik, ayat ini berkata, “Tuhan berfirman kepada Tuhanku.” (Kisah 2:34-36, ABB) Terjemahan sebegini mungkin membuat orang keliru tentang siapakah dua “Tuhan” itu. Namun dalam Bible Terjemahan Dunia Baharu, ayat itu berkata, “Yehuwa berfirman kepada Tuanku, ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.’” Dengan meletakkan semula nama peribadi Tuhan, Bible Terjemahan Dunia Baharu membantu pembaca supaya tidak keliru tentang siapakah “Tuhan” dalam ayat tersebut.

 Ramai cendekiawan percaya bahawa nama Tuhan bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Hanya Tuhan yang benar dapat menyandang nama ini kerana Dia sahajalah yang dapat menyebabkan diri-Nya atau ciptaan-Nya untuk menjadi apa pun yang diperlukan untuk melaksanakan tujuan-Nya.

 Sebagai Pencipta kita dan satu-satunya Tuhan yang benar, hanya Yehuwa yang layak menerima penyembahan kita. Tiada sesiapa pun atau apa-apa pun yang patut disembah, termasuklah berhala dan patung ukiran.—Keluaran 20:2-6; 34:14; 1 Yohanes 5:21.

Konteks Yesaya 42:8

 Dalam kata-kata pembukaan di Yesaya bab 42, Yehuwa menubuatkan tentang kerja yang akan dilakukan oleh hamba yang ‘dipilih-Nya.’ Tuhan berkata bahawa hamba yang diperkenankan-Nya itu “akan membawa keadilan kepada bangsa-bangsa.” (Yesaya 42:1) Mengenai janji itu, Tuhan menyatakan, “Sekarang Aku hendak mengisytiharkan hal-hal yang baharu. Sebelum semua itu muncul, Aku akan memberitahu umat-Ku tentangnya.” (Yesaya 42:9) Ratusan tahun kemudian, nubuat tentang hamba yang ‘dipilih’ itu muncul atau menjadi kenyataan, semasa Mesias atau Kristus datang ke bumi dan melaksanakan kerja penyebarannya.—Matius 3:16, 17; 12:15-21.

a Dalam bahasa Ibrani, nama Tuhan terdiri daripada empat huruf. Dalam bahasa Inggeris, huruf-huruf ini biasanya ditulis sebagai YHWH. Sesetengah penterjemah bahasa Inggeris menterjemahkan nama Tuhan sebagai “Yahweh.” Untuk maklumat lanjut, sila lihat “Nama Tuhan dalam Kitab Ibrani” di lampiran A4 dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.