Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Yohanes 1:1​—“Sebelum Dunia Ini Diciptakan, Firman Sudah Ada”

Yohanes 1:1​—“Sebelum Dunia Ini Diciptakan, Firman Sudah Ada”

 “Pada mulanya, Firman itu wujud. Firman itu bersama Tuhan, dan Firman itu tuhan.”—Yohanes 1:1, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Tuhan, dan Firman itu sama dengan Tuhan.’—Yohanes 1:1, Alkitab Berita Baik.

Maksud Yohanes 1:1

 Ayat ini memberitahu kita butiran tentang kehidupan Yesus Kristus sebelum dia datang ke bumi sebagai seorang manusia. (Yohanes 1:14-17) Dalam ayat 14, “Firman itu” (Yunani, ho loʹgos) digunakan sebagai gelaran. Gelaran “Firman itu” nampaknya menggambarkan peranan Yesus dalam menyampaikan perintah dan arahan Tuhan kepada makhluk roh lain dan kepada manusia. Yesus terus menyampaikan firman Tuhan semasa dia berkhidmat di bumi dan selepas dia kembali ke syurga.—Yohanes 7:16; Wahyu 1:1.

 Ungkapan “pada mulanya” merujuk kepada masa Tuhan memulakan kerja penciptaan-Nya, iaitu dengan menciptakan Firman itu. Kemudian, Tuhan menggunakan Firman itu untuk menciptakan segala sesuatu yang lain. (Yohanes 1:2, 3) Bible menyatakan bahawa Yesus ialah “anak sulung antara semua ciptaan” dan bahawa “segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia.”—Kolose 1:15, 16.

 Ungkapan “Firman itu tuhan” menunjukkan bahawa sebelum Yesus datang ke bumi, dia berkuasa dan mempunyai sifat-sifat seperti Tuhan. Dia dapat digambarkan sedemikian kerana dia ialah Jurucakap Tuhan dan dia mempunyai kedudukan yang istimewa selaku anak sulung Tuhan yang digunakan oleh Tuhan untuk menciptakan segala sesuatu.

Konteks Yohanes 1:1

 Buku Yohanes mengisahkan kehidupan dan kegiatan Yesus di bumi. Kata-kata pembukaan dalam bab pertama menyingkapkan kehidupan Yesus sebelum dia menjadi manusia, hubungannya yang istimewa dengan Tuhan, dan peranannya yang penting sebagai perantara antara Tuhan dengan manusia. (Yohanes 1:1-18) Butiran-butiran itu membantu kita memahami apa yang dikatakan dan dilakukan Yesus semasa dia di bumi.—Yohanes 3:16; 6:38; 12:49, 50; 14:28; 17:5.

Tanggapan yang Salah tentang Yohanes 1:1

 Tanggapan yang salah: Ungkapan di bahagian hujung Yohanes 1:1 sepatutnya diterjemahkan sebagai “Firman itu sama dengan Tuhan.”

 Kebenaran: Banyak penterjemah Bible menggunakan ungkapan ini. Namun, para penterjemah lain berasa bahawa ungkapan ini patut diterjemahkan dalam cara yang lain. Dalam teks asal, perkataan “Tuhan” (Yunani, the·osʹ) muncul sebanyak dua kali dalam Yohanes 1:1. Namun, terdapat perbezaan antara dua perkataan “Tuhan” itu. Pada kali pertama, “Tuhan” didahului dengan kata sandang tentu dalam bahasa Yunani. Tetapi pada kali kedua, tiada kata sandang yang disertakan. Banyak cendekiawan bersetuju bahawa hal ini amat menarik. Sebagai contoh, The Translator’s New Testament berkata bahawa oleh sebab kata sandang tentu tidak digunakan, “perkataan Theos (Tuhan) yang kedua berfungsi sebagai kata adjektif dan membawa maksud ‘Firman itu bersifat seperti Tuhan.’” a Para cendekiawan b dan terjemahan Bible lain juga menyokong pandangan ini.

 Tanggapan yang salah: Ayat ini mengajarkan bahawa Firman itu adalah sama dengan Tuhan Yang Maha Kuasa.

 Kebenaran: Dalam ayat ini, ungkapan “Firman itu bersama Tuhan” menunjukkan bahawa terdapat dua individu yang berlainan. Tidak mungkin Firman itu “bersama Tuhan” jika Firman itu ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Konteks ayat ini juga membuktikan bahawa Firman itu bukan Tuhan Yang Maha Kuasa. Yohanes 1:18 menyatakan, “Tiada seorang pun yang pernah melihat Tuhan.” Sebaliknya, ramai orang pernah melihat Firman itu, iaitu Yesus. Yohanes 1:14 berkata, “Firman itu telah menjadi manusia dan tinggal dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaannya.”

 Tanggapan yang salah: Firman itu sentiasa wujud.

 Kebenaran: Dalam ayat ini, “pada mulanya” tidak merujuk kepada permulaan Tuhan, kerana Tuhan tiada permulaan. Tuhan Yehuwa c ialah “Tuhan yang kekal selama-lamanya.” (Mazmur 90:1, 2) Sebaliknya, Firman itu, iaitu Yesus Kristus, ada permulaan. Yesus merupakan “ciptaan Tuhan yang pertama.”—Wahyu 3:14.

 Tanggapan yang salah: Dengan memanggil Firman itu “tuhan,” hal ini mengajarkan politeisme, iaitu penyembahan banyak tuhan.

 Kebenaran: Kata Yunani bagi “Tuhan” atau “tuhan” (the·osʹ) biasanya membawa erti yang sama dengan kata Ibrani ʼel dan ʼelo·himʹ, yang muncul dalam Perjanjian Lama. Kata-kata Ibrani ini membawa erti “Individu Perkasa; Individu Kuat” dan digunakan untuk menggambarkan Tuhan yang maha kuasa, tuhan-tuhan lain, dan manusia. (Mazmur 82:6; Yohanes 10:34) Tuhan menciptakan segala sesuatu melalui Firman itu. Jadi, Firman itu memang patut dipanggil individu perkasa. (Yohanes 1:3) Dengan memanggil Firman itu “tuhan,” hal ini adalah selaras dengan nubuat di Yesaya 9:6, yang menyatakan bahawa individu yang dipilih Tuhan, iaitu Mesias atau Kristus, akan dipanggil “Tuhan yang Berkuasa” (Ibrani, ʼEl Gib·bohrʹ), dan bukannya “Tuhan Yang Maha Kuasa” (ʼEl Shad·daiʹ, seperti di Kejadian 17:1; 35:11; Keluaran 6:3; Yehezkiel 10:5).

 Bible tidak mengajarkan politeisme. Yesus Kristus berkata, “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.” (Matius 4:10) Bible juga menyatakan, “Walaupun di syurga dan di bumi ada yang dianggap sebagai tuhan, sebagaimana orang mengatakan bahawa ada banyak ‘tuhan’ dan banyak ‘tuan,’ bagi kita, Tuhan, Bapa kita, hanyalah satu. Dialah yang menciptakan segala sesuatu dan Dia menciptakan kita untuk diri-Nya. Selain itu, Tuan kita, Yesus Kristus, juga hanyalah satu. Melaluinya, segala sesuatu diciptakan dan kita juga diciptakan melaluinya.”—1 Korintus 8:5, 6.

a The Translator’s New Testament, muka surat 451.

b Seorang cendekiawan yang bernama Jason David BeDuhn menyatakan bahawa apabila kata sandang tentu tidak digunakan, perkataan “Tuhan” membawa maksud yang berbeza. Dia berkata, “Misalnya, dalam bahasa Inggeris, ‘suatu tuhan’ adalah berbeza daripada ‘Tuhan.’ Di Yohanes 1:1, Firman itu bukanlah satu-satunya Tuhan yang maha kuasa, tetapi merupakan suatu tuhan atau individu yang bersifat seperti Tuhan.”—Truth in Translation: Accuracy and Bias in English Translations of the New Testament, muka surat 115, 122, dan 123.

c Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.