AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yosua 1:9—“Kuatkanlah dan Mantapkanlah Hatimu”
“Sesungguhnya Aku memerintahkan engkau: Hendaklah engkau berani dan teguh. Janganlah berasa takut atau gentar kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhanmu yang akan menyertaimu ke mana sahaja engkau pergi.”—Yosua 1:9, Terjemahan Dunia Baharu.
‘Bukankah telah Kuperintahkan kepadamu, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu”? Jangan gentar dan jangan kecut hati, kerana TUHAN, Tuhanmu, menyertai engkau ke mana-mana jua pun engkau pergi.’—Yosua 1:9, Alkitab Versi Borneo.
Maksud Yosua 1:9
Melalui kata-kata ini, Tuhan Yehuwa a meyakinkan Yosua, hamba-Nya yang setia, bahawa dia dapat menjadi “berani dan teguh” walaupun menghadapi situasi yang mencabar dan yang nampaknya mustahil diatasi. Yosua tidak perlu takut akan masa depan jika dia mematuhi perintah Tuhan. Hal ini adalah kerana Yehuwa berada di sampingnya dan membantunya berjaya. Tuhan menyertai Yosua dengan memberikannya arahan dan membantunya mengalahkan musuhnya.
Bagaimanakah Yosua dapat menjadi “berani dan teguh”? Dia perlu membaca tulisan yang diilhami oleh Yehuwa. Pada zaman Yosua, tulisan itu merangkumi ’seluruh Hukum yang telah diperintahkan oleh Musa kepadanya.’ b (Yosua 1:7) Yehuwa memberitahu Yosua untuk ‘membaca dan merenungkannya siang dan malam.’ (Yosua 1:8) Yosua perlu membaca dan merenungkan Firman Tuhan agar dapat menguatkan tekadnya untuk melakukan kehendak Tuhan. Kemudian, dia perlu bertindak selaras dengan apa yang dipelajarinya daripada Firman Tuhan, dan “mematuhi semua yang tertulis dalamnya dengan sungguh-sungguh.” Jika dia berbuat demikian, dia akan berjaya dan bertindak dengan bijak. Itulah yang berlaku. Walaupun menghadapi banyak cabaran, Yosua sangat berpuas hati dengan kehidupannya sebagai penyembah Yehuwa yang setia.—Yosua 23:14; 24:15.
Kata-kata Yehuwa kepada Yosua masih menjadi sumber galakan pada hari ini. Kata-kata itu menunjukkan betapa dalamnya keprihatinan Yehuwa terhadap para penyembah-Nya, terutamanya apabila mereka menghadapi cabaran. Yehuwa ingin mereka berjaya seperti Yosua. Seperti Yosua, mereka juga dapat menjadi “berani dan teguh” dengan kerap membaca dan merenungkan Firman Tuhan, iaitu Bible, lalu bertindak selaras dengannya.
Konteks Yosua 1:9
Selepas Musa meninggal, Yehuwa mengarahkan Yosua untuk memimpin bangsa Israel. (Yosua 1:1, 2) Pada masa itu, umat Israel sudah bersedia untuk memasuki Tanah yang Dijanjikan, iaitu negeri Kanaan. Namun, mereka perlu melawan musuh yang kuat. Sebagai contoh, Yosua perlu berperang melawan orang Kanaan, yang sangat jahat. c (Ulangan 9:5; 20:17, 18) Berbanding umat Israel, orang Kanaan lebih ramai dan mempunyai perlengkapan perang yang lebih baik. (Yosua 9:1, 2; 17:18) Walaupun begitu, Yosua mengikuti arahan Yehuwa dengan berani. Dalam enam tahun sahaja, umat Israel berjaya menakluki kebanyakan musuh mereka. Sememangnya Tuhan menyertai Yosua!—Yosua 21:43, 44.
a Nama Yehuwa dalam bahasa Ibrani terdiri daripada empat huruf יהוה (YHWH), yang dikenali sebagai Tetragrammaton. Terjemahan Alkitab Versi Borneo menterjemahkan nama ini sebagai “TUHAN” dalam ayat ini. Untuk maklumat lanjut tentang Yehuwa dan sebab mengapa sesetengah terjemahan Bible tidak menggunakan nama itu, lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”
b Besar kemungkinan, tulisan yang diilhami oleh Yehuwa yang ada pada zaman Yosua merangkumi lima buku yang ditulis oleh Musa (Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, dan Ulangan), buku Ayub, dan satu atau dua mazmur.
c Untuk mengetahui mengapa mereka perlu berperang, lihat rencana, ‘Mengapa Tuhan Memerangi Orang Kanaan?’ dalam majalah Menara Pengawal terbitan 1 Januari 2010 dalam Bahasa Indonesia.