Lompat ke kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | MARIA MAGDALENA

“Aku Sudah Melihat Tuan!”

“Aku Sudah Melihat Tuan!”

 Maria Magdalena memandang ke langit sambil mengesat air matanya. Waktu itu tengah hari semasa musim bunga, namun “seluruh bumi menjadi gelap!” (Lukas 23:44, 45) Tuannya yang dikasihi telah dipakukan pada tiang seksaan. Kegelapan menyelubungi bumi selama tiga jam. Tidak mungkin ini gerhana matahari, kerana gerhana matahari hanya berlaku selama beberapa minit. Mungkin Maria dan orang lain mula mendengar bunyi binatang-binatang yang biasanya kedengaran pada waktu malam. Orang yang melihat peristiwa itu “menjadi sangat takut lalu berkata, ‘Dia sememangnya Anak Tuhan.’” (Matius 27:54) Pengikut Yesus dan orang lain mungkin berfikir bahawa Yehuwa sedang menunjukkan kesedihan dan kemurkaan-Nya atas layanan kejam yang dilakukan terhadap Anak-Nya.

 Sememangnya, Yesus mengalami kesakitan yang tidak terhingga. Ibu Yesus yang berada di situ juga memerlukan sokongan. Jadi walaupun Maria Magdalena tidak sanggup melihat peristiwa itu, dia tidak ingin meninggalkan mereka.—Yohanes 19:25, 26.

 Dahulu, kehidupan Maria Magdalena sangat teruk dan dia dipandang hina oleh orang lain. Namun Yesus telah mengubah kehidupannya. Yesus memberinya tujuan hidup dan memperlakukannya dengan penuh hormat. Kini Maria sanggup melakukan apa sahaja demi Tuannya. Dia telah menjadi wanita yang sangat beriman. Bagaimana? Apakah yang dapat kita pelajari daripada imannya?

“Menggunakan Harta Milik Mereka untuk Menolong”

 Dalam Bible, kisah Maria Magdalena bermula apabila Yesus membebaskannya daripada perhambaan yang amat mengerikan. Pada masa itu, roh-roh jahat sering menyerang orang, bahkan merasuk dan mengawal mereka. Maria merupakan salah seorang yang menjadi mangsa roh jahat. Kita tidak tahu apa yang berlaku kepada Maria semasa dirasuk, namun kita tahu bahawa dia telah dirasuk oleh tujuh roh jahat yang ganas dan keji. Syukurlah dengan bantuan Yesus, Maria akhirnya dibebaskan!—Lukas 8:2.

 Setelah dibebaskan, Maria kini dapat menempuh kehidupan baharu. Namun bagaimanakah dia menunjukkan kesyukurannya? Dia menjadi salah seorang pengikut Yesus yang setia. Pada masa itu, Yesus dan para rasul memerlukan makanan, pakaian, dan tempat untuk bermalam. Oleh sebab mereka bertumpu kepada kerja menginjil dan mengajar, mereka tidak mempunyai kerja sekular. Mereka juga bukan orang kaya. Maka Maria telah membantu menyediakan keperluan mereka.

 Maria dan beberapa wanita lain sanggup “menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.” (Lukas 8:1, 3) Ada antara mereka mungkin merupakan wanita yang kaya. Bible tidak menyebut bahawa mereka menyediakan makanan, mencuci pakaian, atau mencari penginapan bagi Yesus dan murid-muridnya. Namun, mereka melakukan apa yang terdaya agar Yesus dan kira-kira 20 orang yang lain dapat bertumpu kepada kerja penyebaran. Maria sedar bahawa dia tidak mungkin dapat membalas segala yang dilakukan Yesus untuknya, tetapi dia gembira untuk melayani Yesus dengan sepenuh jiwa!

 Hari ini, banyak orang tidak menghormati mereka yang melakukan kerja yang dipandang rendah. Namun pandangan Tuhan berbeza. Tuhan tentu senang hati melihat Maria melakukan apa yang terdaya untuk menyokong Yesus dan para rasul! Ramai orang Kristian hari ini juga rela menyokong mereka yang memerlukan bantuan. Kadang-kadang, bantuan praktikal atau bahkan kata-kata yang melegakan amat bermakna bagi seseorang. Ingatlah bahawa semua itu berharga di mata Yehuwa.—Amsal 19:17; Ibrani 13:16.

“Berdiri Dekat Tiang Seksaan Yesus”

 Pada tahun 33 M, Yesus telah pergi ke Yerusalem untuk merayakan Paska. Maria Magdalena dan ramai lagi wanita telah menyertainya dalam perjalanan itu. (Matius 27:55, 56) Bayangkan betapa terkejutnya Maria apabila dia mendengar bahawa Yesus telah ditangkap dan dibicarakan sepanjang malam! Bukan itu sahaja, Yesus juga dijatuhkan hukuman mati pada tiang seksaan. Gabenor Pontius Pilatus menjatuhkan hukuman itu kerana tekanan daripada pemimpin agama Yahudi dan orang ramai yang dihasut para pemimpin itu. Maria mungkin melihat sendiri Tuannya yang kepenatan dan dilumuri darah, berjalan menuju ke tempat hukumannya sambil mengangkat tiang seksaan yang panjang.—Yohanes 19:6, 12, 15-17.

 Kemudian semasa Yesus dipakukan pada tiang seksaan, kegelapan mula menyelubungi langit walaupun waktu itu masih tengah hari. Maria Magdalena dan wanita lain sedang “berdiri dekat tiang seksaan Yesus.” (Yohanes 19:25) Dia melihat dan mendengar Yesus meminta Yohanes, rasul yang dikasihinya, untuk menjaga ibunya. Dia juga mendengar Yesus yang dalam kesakitan berseru kepada Bapanya. Akhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir, Maria mendengar Yesus berkata, “Sudah selesai!” Maria tidak dapat mengungkapkan betapa pedihnya hatinya saat itu. Walaupun Yesus sudah mati, Maria masih tidak berganjak dari sana. Kemudian, apabila Yusuf dari Arimatea meletakkan mayat Yesus di sebuah makam yang baharu, Maria pergi ke makam itu dan enggan beredar dari situ.—Yohanes 19:30; Matius 27:45, 46, 57-61.

 Semasa rakan seiman kita ditimpa kesusahan, kita mahu mencontohi teladan Maria. Kita memang tidak dapat menghalang hal buruk daripada berlaku atau menghapuskan kesakitan mereka. Namun kita dapat menunjukkan belas kasihan dan keberanian. Dengan tetap berada di sisi mereka, kita dapat beri mereka sokongan yang diperlukan. Kesetiaan dan iman yang kita tunjukkan pada masa sebegitu dapat membawa kelegaan yang besar kepada mereka.—Amsal 17:17.

Ibu Yesus tentu menghargai sokongan yang diberikan Maria Magdalena

“Aku Boleh Mengambilnya”

 Setelah mayat Yesus diletakkan di sebuah makam, Maria dan beberapa orang wanita mengumpulkan bahan-bahan wangi agar dapat melumuri mayat Yesus. (Markus 16:1, 2; Lukas 23:54-56) Maka pada pagi seterusnya, iaitu pagi selepas hari Sabat berlalu, dia bangun awal dan menuju ke makam Yesus. Bayangkanlah Maria yang berjalan sewaktu hari masih gelap bersama beberapa wanita lain. Dalam perjalanan, mereka tertanya-tanya siapa yang akan menggulingkan batu penutup makam untuk mereka. (Matius 28:1; Markus 16:1-3) Namun, mereka tetap meneruskan perjalanan. Iman mendorong mereka untuk melakukan apa yang mampu, dan mereka percaya bahawa Yehuwa akan membantu mereka.

 Maria mungkin berjalan mendahului kawan-kawannya. Tiba-tiba, dia berhenti apabila dia nampak batu penutup makam sudah digulingkan. Mayat Yesus sudah tiada! Dia segera berlari untuk memberitahu Petrus dan Yohanes apa yang dilihatnya. Dengan nafas yang tercungap-cungap dia berkata, “Tuan sudah dikeluarkan dari makam, dan kami tidak mengetahui tempat dia diletakkan!” Petrus dan Yohanes segera pergi ke makam Yesus. Setelah melihat bahawa makam itu memang sudah kosong, mereka pulang ke rumah. aYohanes 20:1-10.

 Maria kemudiannya kembali ke makam itu dan berdiri di sana sambil menangis. Dia masih tidak percaya bahawa mayat Tuannya sudah hilang. Selepas itu, Maria sekali lagi melihat ke dalam makam, dan betapa terkejutnya dia apabila melihat dua malaikat berada di sana! Malaikat itu bertanya, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis?” Dengan perasaan bingung, Maria menjawab, “Mayat Tuanku sudah diambil, dan aku tidak mengetahui tempat dia diletakkan.”—Yohanes 20:11-13.

 Apabila Maria berpaling ke belakang, dia melihat seorang lelaki berdiri di situ. Dia menyangka bahawa lelaki itu ialah seorang tukang kebun. Dengan lembut, lelaki itu bertanya, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis? Siapakah yang kamu cari?” Maria menjawab, “Tuan, jika tuan sudah mengambil mayatnya, beritahulah aku tempat mayatnya diletakkan, supaya aku boleh mengambilnya.” (Yohanes 20:14, 15) Cuba fikirkan: Adakah seorang wanita seperti Maria mampu mengambil dan mengangkat mayat Yesus? Semasa Yesus masih hidup, dia tentu seorang lelaki yang kuat. Namun Maria tidak teragak-agak mengucapkan hal itu. Baginya, dia harus melakukan sesuatu demi Tuannya.

“Aku boleh mengambilnya”

 Kita mungkin menghadapi suatu situasi yang mencabar dan berasa bahawa kita tidak sanggup lagi menanggungnya. Pada masa itu, ingatlah teladan Maria Magdalena. Jika kita hanya bertumpu kepada kelemahan dan keterbatasan kita, kita akan terus dicengkam perasaan takut dan tidak dapat melakukan apa-apa. Namun jika kita bertekad untuk buat apa yang terdaya dan bergantung pada Yehuwa, kita mungkin dapat melakukan lebih daripada yang dijangkakan. (2 Korintus 12:10; Filipi 4:13) Yang paling penting, kita tentu mendapat perkenan dan berkat Yehuwa, seperti Maria.

“Aku Sudah Melihat Tuan!”

 Lelaki yang berdiri di depan Maria itu bukanlah seorang tukang kebun. Dialah Yesus, Tuannya yang pengasih dan guru agung yang dikasihi Maria. Adakah Maria sedar bahawa Yesus sudah dibangkitkan dan merupakan makhluk roh yang berkuasa? Tidak. Lagipun, semasa Yesus menampakkan diri kepada Maria, dia menggunakan tubuh manusia yang baharu dan bukannya tubuh yang dikorbankannya. Maka, Maria tidak dapat mengecam wajahnya. Sebenarnya semasa Yesus menampakkan diri kepada murid yang lain, kebanyakan antara mereka tidak dapat mengecamnya, bahkan mereka yang rapat dengannya.—Lukas 24:13-16; Yohanes 21:4.

 Jadi bagaimanakah Yesus membantu Maria sedar bahawa dialah Tuannya? Tanpa berlengah, Yesus berkata, “Maria!” Dengan hanya sepatah kata itu Maria terus tahu bahawa dia ialah Yesus. Pada saat itu juga Maria menyeru dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” Cara Yesus memanggilnya membuatnya sedar bahawa yang berdiri di hadapannya itu ialah Gurunya! Dengan sukacita, Maria berpaut padanya dan tidak mahu melepaskannya.—Yohanes 20:16.

 Yesus berkata dengan penuh kasih, “Jangan berpaut padaku,” lalu dia meyakinkan Maria, “Aku belum lagi pergi kepada Bapa.” Ya, masanya belum tiba bagi Yesus untuk kembali ke syurga. Yesus masih ada tugas yang perlu dilakukan di bumi dan dia memerlukan bantuan Maria. Kemudian Yesus berkata, “Pergilah kepada saudara-saudaraku dan beritahulah mereka, ‘Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.’”—Yohanes 20:17.

 Betapa istimewanya tugas itu! Maria ialah antara orang pertama yang melihat Yesus yang sudah dibangkitkan, dan kini Yesus menyuruh Maria menyampaikan berita baik itu kepada orang lain. Bayangkan Maria dengan hati yang girang mencari murid-murid yang lain. Setelah menemui mereka, dia dengan semangat berkata, “Aku sudah melihat Tuan!” dan memberitahu mereka segala yang dikatakan Yesus. (Yohanes 20:18) Berita yang disampaikan oleh Maria mengesahkan bahawa apa yang dikatakan oleh wanita-wanita lain itu adalah benar.—Lukas 24:1-3, 10.

“Aku sudah melihat Tuan!”

“Murid-Murid Lain Enggan Mempercayai Mereka”

 Namun apakah reaksi para pengikut yang lain? Bible menyatakan, “Para rasul dan murid-murid lain enggan mempercayai mereka kerana berasa bahawa mereka sedang menceritakan hal yang bukan-bukan.” (Lukas 24:11) Masyarakat pada masa itu biasanya tidak mempercayai para wanita. Guru agama bahkan mengajar bahawa wanita tidak boleh memberikan kesaksian di mahkamah. Nampaknya tanpa disedari, para rasul juga telah dipengaruhi oleh pandangan sebegitu. Namun Yesus dan Bapanya sama sekali tidak berprasangka buruk terhadap wanita. Mereka bahkan memberikan peluang istimewa kepada Maria, seorang wanita yang setia!

 Maria tidak membiarkan reaksi para rasul membuatnya tawar hati. Yang penting baginya ialah Tuannya percaya kepadanya. Hari ini, Yesus juga memerintahkan murid-muridnya untuk “menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” (Lukas 8:1) Namun Yesus juga mengingatkan mereka bahawa bukan semua orang akan menghargai dan mempercayai mesej yang disampaikan mereka. (Yohanes 15:20, 21) Maka, ingatlah teladan Maria Magdalena. Walaupun ada murid lain yang tidak mempercayainya, itu tidak menghalang dia untuk terus menyampaikan berita tentang pembangkitan Yesus dengan sukacita.

 Yesus akhirnya menampakkan diri kepada para rasul. Pernah sekali, Yesus juga menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang saudara sekali gus! (1 Korintus 15:3-8) Setiap kali Maria melihat Tuannya atau mendengar tentang hal itu, imannya semakin diteguhkan. Kemungkinan pada hari Pentakosta di Yerusalem, iaitu semasa kuasa suci dicurahkan ke atas murid-murid Yesus, Maria juga berada di situ.—Kisah 1:14, 15; 2:1-4.

 Kita dapat menyimpulkan bahawa Maria mengekalkan iman yang teguh sampai akhir hidupnya. Semoga kita juga menunjukkan kesyukuran atas apa yang dilakukan Yesus. Kita ingin rela berkhidmat demi orang lain dan bergantung pada bantuan Tuhan. Dengan itu, kita sedang meniru iman Maria Magdalena.

a Apabila wanita lain berjumpa dengan malaikat yang menyatakan bahawa Yesus sudah dibangkitkan, Maria nampaknya sudah pergi dari situ. Jika tidak, Maria tentu akan memberitahu Petrus dan Yohanes apa yang dikatakan oleh malaikat itu.—Matius 28:2-4; Markus 16:1-8.