Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Bagaimana jika Anak Saya Dibuli?

Bagaimana jika Anak Saya Dibuli?

 Anak anda dibuli di sekolah. Apakah yang dapat anda lakukan? Minta pihak sekolah untuk menghukum pembuli itu? Ajar anak anda untuk lawan balik? Sebelum anda membuat keputusan, pertimbangkanlah beberapa hal yang berikut:

 Apakah yang perlu saya ketahui tentang perbuatan membuli?

 Apakah itu perbuatan membuli? Perbuatan membuli ialah perbuatan menyeksa seseorang dari segi fizikal atau emosi secara sengaja dan berterusan. Maka, bukan setiap hinaan atau perbuatan ganas tergolong sebagai perbuatan membuli.

 Mengapakah penting untuk mengetahui erti perbuatan membuli? Sesetengah orang menggunakan istilah “membuli” untuk merujuk kepada apa-apa sahaja perbuatan yang menyakitkan hati, biarpun hal itu sangat kecil. Tetapi dengan membesar-besarkan hal-hal yang kecil, anda mungkin sedang mengajar anak anda bahawa dia sendiri tidak mampu menyelesaikan konflik. Namun mempelajari cara untuk menyelesaikan konflik ialah kemahiran asas yang diperlukan oleh semua orang.

 Prinsip Bible: “Jangan cepat tersinggung.”​—Pengkhutbah 7:9.

 Kesimpulan: Meskipun anda perlu masuk campur dalam situasi tertentu, situasi-situasi yang lain dapat memberi anak anda peluang untuk memupuk ketabahan dan mempelajari cara untuk berurusan dengan orang lain.​—Kolose 3:​13.

 Bagaimana pula jika anak anda mengatakan bahawa dia dibuli secara sengaja dan berterusan?

 Apakah yang dapat saya lakukan?

  •   Mendengar dengan sabar. Dengarlah kata-kata anak anda dengan sabar agar anda dapat mengetahui (1) apa yang sedang berlaku dan (2) mengapa dia dibuli. Jangan buat kesimpulan sebelum anda mempunyai semua fakta. Untuk mendapatkan semua fakta, anda mungkin perlu bercakap dengan guru anak anda atau ibu bapa budak yang seorang lagi.

     Prinsip Bible: “Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.”​—Amsal 18:13.

  •   Jika anak anda sedang dibuli, bantulah dia untuk sedar bahawa reaksinya dapat memperbaik atau memperburuk keadaannya. Contohnya, Bible menyatakan, “Jawapan yang lemah lembut meredakan kemarahan, tetapi kata-kata yang pedas membangkitkan kemurkaan.” (Amsal 15:1) Jika anak anda melawan balik, dia akan memburukkan lagi keadaan.

     Prinsip Bible: “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan atau hinaan dengan hinaan.”​—1 Petrus 3:9.

  •   Jelaskan kepada anak anda bahawa seseorang yang tidak membalas kejahatan ialah orang yang kuat kerana dia tidak dikuasai dan dikawal oleh pembuli. Sebaliknya, hanya orang yang lemah yang akan melawan balik. Jika dia tidak melawan balik, dia dapat mengalahkan pembuli itu tanpa menjadi seorang pembuli.

     Lebih-lebih lagi, jika anak anda berhadapan dengan pembuli siber, dia tidak patut membalas komen-komen yang dipaparkan oleh si pembuli, kerana perbuatannya akan menyebabkan si pembuli lebih marah. Hal ini akan memburukkan keadaan sehingga anak anda juga mungkin akan menjadi pembuli. Oleh itu, adalah lebih baik untuk tidak menghiraukan si pembuli itu.

     Prinsip Bible: “Tanpa kayu, api padam.”​—Amsal 26:20.

  •   Kadangkala anak anda dapat mengelakkan gangguan dengan menjauhi orang atau kawasan tertentu. Contohnya, jika dia tahu bahawa seseorang atau sekumpulan orang akan berada di suatu tempat, dia dapat menghindari bahaya dengan tidak lalu di tempat itu.

     Prinsip Bible: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”​—Amsal 22:3.

Anda mungkin perlu bercakap dengan guru anak anda atau ibu bapa budak yang seorang lagi

 CUBALAH CARA INI: Bantulah anak anda untuk memikirkan baik buruk keputusannya. Contohnya:

  •  Apakah yang mungkin akan berlaku jika dia tidak menghiraukan si pembuli?

  •  Bagaimana pula jika dia menyuruh pembuli itu untuk berhenti membuli?

  •  Bagaimana pula jika dia melaporkan hal itu kepada pihak sekolah?

  •  Dapatkah dia meredakan situasi dengan lawak jenaka atau dengan bersikap ramah?

 Setiap situasi adalah berbeza. Maka bantulah anak anda untuk mencari jalan penyelesaian yang praktikal. Yakinkan anak anda bahawa anda akan menyokong usaha baiknya.

 Prinsip Bible: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”​—Amsal 17:17.