BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Apabila Anda Hilang Kepercayaan terhadap Anak Remaja Anda
Ada anak remaja yang tidak dengar cakap ibu bapa dan pulang lewat. Ada pula yang tidak jujur dengan ibu bapa, seperti bercakap bohong atau curi-curi keluar dari rumah untuk berjumpa dengan kawan mereka. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda hilang kepercayaan terhadap anak anda?
Adakah anak saya sedang memberontak?
Tidak semestinya. Bible menyatakan, “Kebodohan memang ada dalam hati orang muda,” dan anak remaja biasanya membuktikan kebenaran pernyataan ini. (Amsal 22:15, nota kaki) Dalam buku You and Your Adolescent, Dr. Laurence Steinberg menulis, “Jangan terkejut jika anak anda berbuat salah.” Dia menyambung, “Anak remaja sering bertindak terburu-buru dan membuat keputusan yang kurang bijak.”
Bagaimana pula jika anak saya menipu saya?
Jangan menyimpulkan bahawa anak anda sengaja mengingkari anda. Kajian menunjukkan bahawa anak remaja betul-betul mengambil berat tentang pandangan ibu bapa mereka, biarpun mereka nampaknya tidak kisah. Kemungkinan besar dia kecewa dengan dirinya dan susah hati kerana dia telah mengecewakan anda.
Siapakah yang patut disalahkan?
Pengaruh dari luar? Bible menyatakan, “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) Sememangnya, kawan-kawan mempunyai pengaruh yang kuat atas anak anda. Begitu juga dengan hal-hal lain, seperti media sosial dan iklan. Tambahan lagi, anak remaja kurang pengalaman hidup. Jadi tidak hairanlah mereka membuat keputusan yang kurang bijak. Tetapi, ingatlah bahawa mereka harus belajar untuk bertanggungjawab atas keputusan mereka supaya mereka menjadi orang dewasa yang dapat dipercayai.
Salah ibu bapa? Sebagai ibu bapa, anda mungkin tertanya-tanya sama ada anda terlalu tegas sehingga anak anda memberontak, atau anda memberi mereka terlalu banyak kebebasan sehingga mereka bertindak sesuka hati. Janganlah bertumpu kepada kesilapan yang mungkin anda telah lakukan. Sebaliknya, fikirkan bagaimana anda dapat membantu anak anda.
Bagaimanakah saya dapat bantu anak saya?
Kawal reaksi anda. Anak anda mungkin fikir bahawa anda akan naik marah. Jadi cubalah untuk kawal perasaan anda. Berbincanglah dengannya secara tenang, dan fahamilah mengapa dia berbuat demikian. Adakah kerana perasaan ingin tahu, bosan, sunyi, atau pengaruh kawan? Sebenarnya semua ini bukanlah alasan untuk berbuat salah. Tetapi perbincangan sebegini dapat membantu anda dan anak anda untuk memahami apa yang mengakibatkan situasi itu.
Prinsip Bible: “Cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata dan lambat naik marah.”—Yakobus 1:19.
Bantu anak anda untuk berfikir. Tanyalah dia, “Apakah yang telah kamu pelajari daripada kejadian ini? Apakah yang akan kamu lakukan jika kamu menghadapi situasi yang sama lain kali?” Soalan-soalan seperti ini dapat melatih daya pemikiran anak anda agar dia dapat membuat keputusan yang lebih bijak pada masa depan.
Prinsip Bible: “Berikanlah teguran, amaran tegas, dan nasihat dengan penuh kesabaran dan dengan menggunakan seni mengajar.”—2 Timotius 4:2.
Ambil tindakan disiplin. Kenakan larangan yang sesuai dengan kesalahan anak anda. Hal ini akan membantunya untuk belajar daripada kesalahannya. Contohnya, jika dia selalu menggunakan telefonnya sehingga mengabaikan kerja rumah, anda dapat melarangnya daripada menggunakan telefon untuk suatu jangka waktu.
Prinsip Bible: “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”—Galatia 6:7.
Bertumpu kepada usaha untuk membina semula kepercayaan. Masa diperlukan untuk membina semula kepercayaan antara anda dengan anak anda. Biarpun begitu, yakinkan dia bahawa dia boleh mendapatkan semula kepercayaan anda secara beransur-ansur. Pastikan bahawa dia tidak putus asa. Jika dia berasa bahawa anda tidak sekali-kali akan mempercayainya lagi, dia mungkin akan tawar hati dan berhenti berusaha.
Prinsip Bible: “Janganlah menyakiti hati anak-anak kamu, supaya mereka tidak menjadi tawar hati.”—Kolose 3:21.