BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Kanak-Kanak dan Telefon Pintar—Bahagian 2: Mengajar Anak Menggunakan Telefon Pintar dengan Bijak
Telefon pintar ialah alat yang berguna atau berbahaya bergantung pada cara anda menggunakannya. Bagaimanakah anda dapat mengajar anak-anak untuk menggunakan alat ini dengan bijak? Contohnya, berapa lamakah mereka patut menggunakan telefon pintar setiap hari? a
Apa yang perlu anda ketahui
Orang yang menggunakan telefon pintar terdedah kepada bahaya. Seperti yang dinyatakan dalam rencana “Kanak-Kanak dan Telefon Pintar—Bahagian 1: Patutkah Anak Saya Memiliki Telefon Pintar?” telefon pintar membolehkan anak anda untuk mencari apa-apa sahaja di Internet, sama ada yang baik atau buruk.
“Kita mungkin lupa bahawa telefon pintar mendedahkan anak-anak kita kepada pelbagai jenis orang yang berbahaya dan idea yang salah.”—Brenda.
Kanak-kanak memerlukan bimbingan. Orang muda telah menggunakan teknologi seumur hidup mereka, manakala ramai orang dewasa baru sahaja mula menggunakannya. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa ibu bapa tidak tahu apa-apa tentang teknologi, dan anak-anak lebih layak untuk menentukan bagaimana dan bila mereka menggunakan telefon pintar mereka.
Kemungkinan besar anak-anak anda lebih pandai menggunakan telefon pintar berbanding anda. Tetapi hal ini tidak bererti mereka tahu cara menggunakannya dengan bijak. Jadi, anak-anak yang celik teknologi pun memerlukan bimbingan ibu bapa tentang cara menggunakan telefon pintar dengan bertanggungjawab.
“Memberi anak anda telefon pintar tanpa bimbingan adalah seperti memberinya kunci kereta dan berkata, ‘Berhati-hati semasa memandu’ tanpa mengajarnya cara memandu terlebih dahulu.”—Seth.
Apa yang boleh anda lakukan
Kenali ciri-ciri telefon anak anda. Ketahuilah ciri-ciri dalam telefon anak anda yang dapat membantunya untuk menggunakan telefon dengan bertanggungjawab. Contohnya:
Apakah tetapan pada telefon yang membenarkan ibu bapa untuk mengehadkan masa penggunaan telefon anak mereka dan menyekat bahan-bahan yang tidak sesuai?
Tahukah anda bahawa tetapan itu tidak selalunya berfungsi dengan baik?
Apabila anda mengenali ciri-ciri telefon pintar anak anda dengan lebih baik, anda dapat membantu anak anda untuk menggunakannya dengan lebih bertanggungjawab.
Prinsip Bible: “Pengetahuan akan menambah kekuasaan seseorang.”—Amsal 24:5.
Tetapkan batasan. Putuskan apa yang anda benarkan dan tidak benarkan. Contohnya:
Adakah anda akan benarkan anak anda untuk menggunakan telefon pada waktu makan, atau pada waktu melawat keluarga atau kawan?
Bolehkah anak anda membawa telefon ke dalam bilik pada waktu tidur?
Apakah aplikasi yang anda benarkan?
Berapa banyakkah masa anak anda dibenarkan untuk menggunakan telefon?
Adakah anda akan menetapkan had masa setiap hari?
Beritahu anak-anak peraturan anda, dan berikan disiplin jika mereka melanggar peraturan itu.
Prinsip Bible: “Jangan teragak-agak untuk mendisiplinkan orang muda.”—Amsal 23:13, nota kaki.
Periksa telefon anak anda. Anda patut tahu kata laluan anak anda dan periksa kandungan telefonnya seperti mesej, aplikasi, foto, dan laman web yang dilayarinya.
“Kami beritahu anak perempuan kami bahawa kami mungkin akan memeriksa telefonnya dari masa ke masa. Jika kami mendapati dia tidak menggunakan telefon dengan bijak, kami akan mengehadkan penggunaannya.”—Lorraine.
Ibu bapa berhak untuk mengetahui bagaimana anak mereka sedang menggunakan telefon pintarnya.
Prinsip Bible: “Kelakuan seorang anak menunjukkan sama ada dia murni atau tidak. Ya, perbuatannya membuktikan sama ada dia tulus atau tidak.”—Amsal 20:11.
Pupuk sifat murni dalam diri anak anda. Bantu anak anda memupuk keinginan untuk melakukan apa yang betul. Mengapakah hal ini penting? Kerana jika anak betul-betul ingin menyembunyikan sesuatu daripada ibu bapanya, dia akan mencari jalan untuk berbuat demikian. b
Oleh itu, pupuklah sifat-sifat baik dalam diri anak anda seperti kejujuran, kawalan diri, dan sikap bertanggungjawab. Seorang anak yang mempunyai sifat-sifat murni akan menggunakan telefonnya dengan lebih bijak.
Prinsip Bible: ‘Daya penilaian orang matang sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’—Ibrani 5:14.
a Dalam rencana ini, “telefon pintar” merujuk kepada telefon bimbit yang dapat mengakses Internet. Maka telefon pintar adalah seperti komputer yang kecil.
b Misalnya, sesetengah orang muda menggunakan “ghost app.” Contohnya, aplikasi yang nampak seperti kalkulator, tetapi sebenarnya merupakan aplikasi yang lain supaya ibu bapa tidak tahu aktiviti mereka.