BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Kesan Perceraian terhadap Anak
Sesetengah pasangan berasa bahawa daripada membiarkan anak terus hidup bersama ibu bapa yang sering bertengkar, lebih baik mereka bercerai. Namun menurut kajian, apakah kesan perceraian terhadap anak?
Apakah kesan perceraian terhadap anak?
Kajian menunjukkan bahawa kesan perceraian terhadap anak amat buruk. Mereka mungkin akan:
menjadi lebih senang marah, risau, dan tertekan
bertindak dalam cara yang mengakibatkan masalah kepada dirinya atau orang lain
susah menumpukan perhatian atau berhenti sekolah
senang jatuh sakit
Selain itu, banyak anak menyalahkan diri mereka atas perceraian ibu bapa. Mereka berasa bahawa merekalah punca ibu bapa bercerai atau mereka dapat menghalang hal itu daripada berlaku.
Kesan perceraian terhadap anak mungkin akan berterusan sehingga alam dewasa. Mereka mungkin akan berasa susah untuk mempercayai orang lain dan memandang rendah pada diri sendiri. Jika mereka berkahwin, mereka juga mungkin akan bercerai jika timbulnya masalah perkahwinan.
Kesimpulannya: Walaupun sesetengah orang beranggapan perceraian adalah langkah yang terbaik untuk anak, hasil kajian membuktikan bahawa hal itu tidak benar. Penelope Leach, seorang pakar kanak-kanak, menulis, “Perceraian akan membawa banyak masalah kepada anak.” a
Prinsip Bible: “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:4.
Adakah anak saya lebih gembira jika kami bercerai?
Sesetengah orang menjawab ya. Namun ingatlah bahawa keinginan ibu bapa dan anak adalah tidak sama. Ibu atau bapa yang ingin bercerai mungkin mahukan kehidupan baharu. Tapi anak-anak biasanya tidak inginkan perubahan dan mahu ibu bapa mereka tetap bersama.
Setelah mengkaji ribuan perceraian, penulis buku The Unexpected Legacy of Divorce menulis, “Satu hal yang pasti ialah anak tidak mengatakan bahawa mereka lebih bahagia. Sebaliknya mereka dengan terus terang berkata, ‘Setelah ibu bapa bercerai, saya tidak gembira lagi.’” Buku itu juga menyatakan bahawa anak-anak itu berasa bahawa “dunia ini merupakan tempat yang bahaya dan tidak boleh dipercayai.” Hal ini kerana mereka melihat sendiri bagaimana “hubungan yang paling rapat dalam hidup mereka akhirnya terlerai.”
Kesimpulannya: Anak tidak gembira apabila ibu bapa mereka bercerai.
Prinsip Bible: “Hati yang hancur mematahkan semangat.”—Amsal 17:22.
Apakah yang perlu saya tahu tentang penjagaan anak setelah bercerai?
Sesetengah pasangan yang sudah bercerai cuba membesarkan anak bersama seolah-olah mereka masih suami isteri. Namun kajian menunjukkan bahawa pasangan yang bercerai biasanya:
kurang meluangkan masa bersama anak
mengajar anak piawaian yang berbeza
membiarkan anak buat sesuka hati kerana mereka penat dan dibebani rasa bersalah
Anak-anak juga akan susah untuk menghormati ibu bapa mereka yang bercerai. Bagi mereka, ibu bapa telah gagal memberikan contoh yang baik, seperti untuk tetap setia. Jadi anak mungkin berfikir, “Buat apa saya dengar cakap mereka.”
Kesimpulannya: Ibu bapa yang bercerai biasanya berasa lebih susah untuk menjaga anak. Namun bagi anak, kesannya akan jauh lebih buruk.
Prinsip Bible: “Janganlah menyakiti hati anak-anak kamu, supaya mereka tidak menjadi tawar hati.”—Kolose 3:21.
Apakah cara yang lebih baik?
Memulakan kehidupan baharu selepas bercerai memerlukan banyak usaha. Maka, adalah lebih baik jika usaha itu dicurahkan untuk membaiki perkahwinan anda. Buku The Case for Marriage menyatakan, “Perkahwinan yang bermasalah bukan bermaksud akan terus bermasalah dan tidak dapat dipulihkan sama sekali.” Buku itu juga menyambung, “Seraya masa berlalu, kebanyakan pasangan boleh menjadi lebih bahagia jika mereka tetap bersama.” Maka keadaannya jauh lebih baik bagi anak jika ibu bapa tidak bercerai.
Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa suami isteri langsung tidak boleh bercerai. Bible mengizinkan perceraian hanya jika pasangan melakukan perbuatan seks tidak bermoral. (Matius 19:9) Namun, Bible juga menyatakan bahawa “orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Maka suami dan isteri yang mempunyai masalah perkahwinan harus mempertimbangkan banyak perkara, termasuk kesan perceraian terhadap anak mereka.
Sudah tentu, suami isteri tidak mahu sekadar tinggal sebumbung dan bertahan dengan satu sama lain. Usaha diperlukan untuk memulihkan hubungan mereka. Bible mengandungi banyak nasihat yang membantu suami isteri memupuk sifat-sifat yang diperlukan untuk membina perkahwinan yang bahagia. Sememangnya, nasihat dalam Bible merupakan nasihat yang terbaik kerana berasal daripada Pengasas keluarga, iaitu Yehuwa.—Matius 19:4-6.
Prinsip Bible: “Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu.”—Yesaya 48:17.
a Daripada buku Your Growing Child—From Babyhood Through Adolescence.