Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Lindungi Anak Anda daripada Pornografi

Lindungi Anak Anda daripada Pornografi

 “Kami tahu bahaya pornografi. Tapi kami tidak sangka bahawa anak perempuan kami senang terdedah kepada pornografi.”—Nicole.

Dalam rencana ini

 Apa yang perlu anda ketahui

 Anak-anak mungkin terdedah kepada pornografi pada usia yang muda. Kajian menunjukkan bahawa kini secara purata, anak-anak pertama kali melihat pornografi adalah semasa berumur 11 tahun.

 Anak-anak dapat terdedah kepada pornografi biarpun mereka tidak mencarinya. Misalnya, mereka mungkin ternampak pornografi semasa membuat kajian di Internet atau menggunakan media sosial. Iklan pornografi mungkin tiba-tiba muncul semasa mereka main video game secara online. Pornografi tersedia dalam pelbagai bentuk, dan yang paling biasa adalah dalam bentuk gambar dan video. Namun, cerita-cerita lucah juga sangat senang dicari di Internet dan seseorang boleh membaca atau mendengar rakaman audio sebegitu.

 Satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan ialah seseorang mungkin mengirim bahan lucah kepada anak-anak menerusi alat elektronik, seperti melalui mesej. Dalam sebuah kajian yang dibuat terhadap lebih daripada 900 remaja, hampir 90 peratus budak perempuan dan hampir 50 peratus budak lelaki berkata bahawa mereka sering menerima gambar dan video bogel daripada rakan kelas.

 Pornografi yang popular sering kali berunsur ganas. Pornografi yang terkenal dan mudah diperoleh selalunya memaparkan keganasan, dan biasanya terhadap wanita.

 Pornografi memudaratkan anak-anak. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang terdedah kepada pornografi kemungkinan besar akan:

  •   mempunyai prestasi yang merosot di sekolah

  •   mengalami kerisauan, kemurungan, dan kurang harga diri

  •   menganggap bahawa adalah biasa untuk memaksa orang mengadakan hubungan seks dengan mereka

 Kesimpulan: Jika anak-anak melihat pornografi, mereka mungkin akan mengalami kesan yang negatif. Ibu bapalah orang yang paling sesuai untuk melindungi mereka.

 Prinsip Bible: “Semua yang aku sampaikan kepada kamu hari ini mesti kamu simpan dalam hati kamu. Ajarkanlah semua itu kepada anak-anak kamu secara berulang-ulang. Percakapkanlah semua itu semasa kamu di rumah, semasa kamu berjalan, semasa kamu berbaring, dan semasa kamu bangun.”—Ulangan 6:6, 7.

 Bagaimana melindungi anak anda daripada pornografi

 Ketahui faktanya. Fikirkan bila dan di mana anak anda mungkin akan terdedah kepada pornografi. Misalnya, adakah dia menggunakan Internet tanpa diawasi pada waktu rehat di sekolah?

Anak anda boleh terdedah kepada bahan pornografi daripada pelbagai sumber

 Belajar ciri-ciri keselamatan dalam telefon bimbitnya, dan kenali aplikasi yang digunakannya serta game yang dimainkannya. Misalnya, sesetengah aplikasi mesej mempunyai fungsi mesej “menghilang.” Fungsi ini membolehkan mesej, gambar, atau video yang lucah dipadamkan selepas suatu jangka waktu. Selain itu, semakin banyak video game secara online membolehkan pemainnya melihat pornografi dan bahkan seolah-olah sedang melakukan hubungan seks dalam permainan video itu.

 “Daripada pengalaman, saya boleh kata: Jika anak kamu memiliki telefon, anda sebagai ibu bapa patut mengetahui cara untuk menggunakannya, bagaimana menggunakan tetapan kawalan ibu bapa, dan bagaimana memeriksa apa yang sedang anak anda lakukan dalam telefonnya.”—David.

 Prinsip Bible: “Orang yang berpengertian berusaha memperoleh pengetahuan.”—Amsal 18:15.

 Buat apa yang terdaya untuk melindungi anak daripada terdedah kepada pornografi. Ambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko. Contohnya: Buat tetapan dalam telefon anak anda termasuk semua alat elektronik di rumah untuk sekat bahan pornografi. Hidupkan tetapan kawalan ibu bapa dan ketahui semua kata laluan anak anda.

 “Saya rasa baik untuk menghidupkan kawalan ibu bapa dalam semua alat elektronik kami, mengehadkan program-program yang anak saya dapat tengok dalam TV kami yang dihubungkan ke Internet, dan tahu kata laluan dalam telefonnya.”—Maurizio.

 “Saya tidak benarkan anak-anak lelaki saya melihat video dalam bilik mereka dengan pintu tertutup. Apabila tiba masa untuk tidur, saya tidak benarkan mereka untuk bawa alat elektronik ke dalam bilik mereka.”—Gianluca.

 Prinsip Bible: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.”—Amsal 22:3.

 Persiapkan anak anda sebelum mereka terdedah kepada pornografi. “Sesetengah ibu bapa tidak mahu bercakap kepada anak mereka tentang pornografi. Mereka fikir anak mereka tidak akan hadapi masalah itu,” akui seorang ibu bernama Flavia. Ibu bapa yang lain mungkin risau, “Jika saya sebut tentang pornografi, anak saya akan mencarinya.” Cara pemikiran sebegini adalah bahaya. Ibu bapa yang bijak akan mendidik anak mereka tentang bahaya pornografi sebelum anak-anak terdedah kepadanya. Bagaimanakah anda dapat melakukannya?

 Ajar anak yang kecil tentang apa yang mereka harus buat jika terdedah kepada pornografi. Contohnya, mereka boleh tutup mata mereka atau tutup alat elektronik mereka. Kemudian galakkan mereka untuk beritahu anda apa yang mereka nampak atau dengar. a

 “Kami mula cakap tentang bahaya pornografi semasa anak saya masih sangat kecil. Apabila dia berumur sekitar 11 tahun, iklan pornografi mula muncul dalam game yang dia muat turun di telefonnya. Iklan itu disertakan dengan jemputan untuk mengirim gambarnya sendiri. Oleh sebab kami sudah bincang apa yang harus dibuat, dia segera datang kepada saya dan beritahu apa yang berlaku.”—Maurizio.

 Prinsip Bible: “Ajarilah anak haluan yang harus ditempuhnya; maka sampai tua pun dia tidak akan menyimpang daripada haluan itu.”—Amsal 22:6.

 Bantu anak yang lebih besar melawan godaan untuk melihat, mendengar, atau membaca bahan lucah. Sebagai contoh, bantu anak anda untuk sediakan sebuah persetujuan. Dia boleh menulis peraturan keluarga tentang apa yang akan dia lakukan jika terdedah kepada pornografi dan mengapa dia harus mengambil tindakan itu. Mintalah dia untuk catatkan akibatnya jika dia sengaja melihat pornografi, seperti hilang harga diri, hilang kepercayaan ibu bapa, dan rosakkan hubungan dengan Tuhan. b

 “Seraya anak semakin membesar, bantu mereka menolak godaan melihat pornografi dengan menyuruh mereka memikirkan kesan buruk jangka panjang daripada perbuatan itu.”—Lauretta.

 “Jika anak kita bukan sahaja faham bahayanya pornografi tetapi juga perasaan Yehuwa tentang hal itu, mereka akan lebih senang untuk menolak godaan melihat pornografi.”—David.

 Prinsip Bible: “Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang.”—Pengkhutbah 7:12.

 Kerap berkomunikasi. Walaupun susah untuk percaya, anak-anak sebenarnya ingin bercakap dengan ibu bapa mereka tentang hal-hal seks, termasuk pornografi. Dame Rachel de Souza, Pesuruhjaya Kanak-Kanak di England berkata, “Ingatlah bahawa [kanak-kanak] ingin bercakap tentang hal itu lebih awal, dan lebih kerap.” Dia menambah, “Mereka ingin membincangkan hal itu sesuai dengan umur mereka. Seraya mereka semakin membesar, mereka ingin membincangkan aspek yang berlainan mengenai seks.”

 “Semasa membesar, ada sesetengah topik yang ibu bapa saya tidak pernah bincang dengan saya. Saya harap kami ada lebih banyak komunikasi yang terbuka dan bebas. Sekarang saya seorang ibu. Jadi saya berusaha untuk bercakap dengan anak saya tentang seks secara kerap dan dalam cara yang relaks.”—Flavia.

 Jika anak anda sudah terdedah kepada pornografi

 Tetap tenang. Jika anda mendapati bahawa anak anda sudah melihat, mendengar, atau membaca bahan lucah, cubalah kawal reaksi anda. Dia mungkin sudah kecewa, terkejut, atau rasa bersalah terhadap apa yang berlaku. Jika anda marah, hal itu akan membuatnya berasa lebih teruk dan mungkin menyebabkannya tidak ingin bercakap tentang hal itu dengan anda pada masa depan.

 Prinsip Bible: “Orang yang berpengetahuan mengawal pertuturannya, dan orang yang berpengertian sentiasa tenang.”—Amsal 17:27.

 Dapatkan fakta. Janganlah segera membuat kesimpulan. Gunakanlah soalan untuk memahami bagaimana dia terdedah kepada pornografi. Contohnya, adakah seseorang mengirim gambar kepadanya, atau adakah dia sendiri mencarinya? Adakah hal ini berlaku sekali sahaja, atau dia sudah melihat pornografi sebelumnya? Adakah alat elektroniknya mempunyai penapis kandungan atau tetapan kawalan ibu bapa? Jika ada, adakah dia melakukan sesuatu supaya dapat melihat pornografi? Ingatlah matlamat anda adalah untuk membantu anak meluahkan isi hatinya, dan bukannya menyoal siasat dia.

 Prinsip Bible: “Fikiran seseorang bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.”—Amsal 20:5.

 Ambil tindakan. Misalnya, jika dia tidak sengaja melihat pornografi, anda mungkin perlu mengubah tetapan kawalan ibu bapa dan penapis kandungan dalam alat elektroniknya.

Jika anda mendapati bahawa anak anda mencari pornografi, berikanlah disiplin yang pengasih tetapi tegas. Kuatkan azam anak anda untuk menolak pornografi dengan membincangkan ayat Bible seperti Ayub 31:1, Mazmur 97:10, dan Mazmur 101:3. c Beritahulah dia juga bahawa anda akan bercakap dengannya setiap minggu tentang hal itu untuk memeriksa kemajuannya dan melihat jika anda perlu berikan bantuan tambahan.

 Prinsip Bible: “Janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.”—Efesus 6:4.

a Untuk mengetahui cadangan-cadangan tentang cara untuk mengadakan perbualan yang sesuai dengan anak anda mengenai seks, lihat rencana “Bagaimanakah Ibu Bapa Dapat Mengajar Anak Mereka tentang Seks?

b Untuk mendapat cadangan tentang apa yang boleh disertakan dalam persetujuan itu, lihat lembaran kerja Cara Menolak Pornografi,” dalam bahasa Indonesia.

c Anda juga boleh membincangkan bersama anak rencana “Mengapakah Kita Harus Menolak Pornografi?