Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Media Sosial dan Anak Anda—Bahagian 2: Mengajar Anak Anda Cara Menggunakan Media Sosial dengan Selamat

Media Sosial dan Anak Anda—Bahagian 2: Mengajar Anak Anda Cara Menggunakan Media Sosial dengan Selamat

 Menggunakan media sosial ada bahayanya. Oleh itu, ramai ibu bapa tidak membenarkan anak mereka untuk menggunakan media sosial. Namun, jika anda membenarkan anak remaja anda untuk menggunakan media sosial, bagaimanakah anda dapat membantunya mengelakkan bahaya dan belajar cara untuk menggunakannya dengan bijak?

Dalam rencana ini

 Keutamaan anak anda

 Apa yang perlu anda ketahui: Media sosial dapat membuat seseorang ketagih. Jadi, anak anda mungkin memerlukan bantuan anda supaya dia dapat mengawal jumlah masa yang dia gunakan untuk media sosial.

 Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”—Filipi 1:10.

 Fikirkan: Adakah anak anda menggunakan media sosial apabila dia sepatutnya tidur, membuat kerja sekolah, atau meluangkan masa bersama keluarga? Para penyelidik mengatakan bahawa kaum remaja perlu tidur selama sembilan jam setiap hari. Namun, mereka yang menghabiskan beberapa jam sehari untuk menggunakan media sosial, mungkin akan mendapat tidur yang kurang daripada tujuh jam.

 Apa yang dapat anda lakukan: Bincangkan bersama anak anda perkara yang harus diutamakan dalam hidup mereka. Beritahulah mereka mengapa bijak untuk mengehadkan masa yang digunakan untuk media sosial. Tetapkanlah peraturan yang munasabah. Contohnya, mereka tidak boleh membawa alat elektronik ke dalam bilik tidur pada waktu malam. Matlamat anda adalah untuk membantu anak anda memupuk sifat kawalan diri. Sifat ini akan banyak membantunya apabila dia menjadi dewasa.—1 Korintus 9:25.

 Kesihatan emosi anak anda

 Apa yang perlu anda ketahui: Dalam media sosial, ramai kaum muda memuat naik gambar selfie mereka yang telah diedit dan gambar mereka bersama kawan-kawan mereka semasa melakukan aktiviti yang seronok. Apabila orang muda melihat gambar-gambar seperti itu, mereka mungkin berasa ketinggalan, sunyi, dan murung.

 Prinsip Bible: “Buanglah . . . perasaan iri hati.”—1 Petrus 2:1.

 Fikirkan: Adakah media sosial menyebabkan anak anda berasa kecewa dengan paras rupa dan bentuk badannya? Adakah anak anda berasa bahawa orang lain mempunyai hidup yang seronok, manakala hidup dia pula membosankan?

 Apa yang dapat anda lakukan: Bincanglah bersama anak anda tentang mengapa bahaya membandingkan diri dengan orang lain. Ketahuilah bahawa dalam hal ini, kaum perempuan biasanya lebih mudah terkesan, kerana berbanding lelaki, mereka lebih mengambil peduli tentang hubungan dan penampilan mereka. Anda juga boleh mencadangkan kepada anak anda untuk berhenti menggunakan media sosial dari masa ke masa. Seorang pemuda yang bernama Jacob mengatakan, “Saya padamkan aplikasi media sosial buat suatu jangka masa. Hal itu telah membantu saya mengubah keutamaan saya dan pandangan saya terhadap diri dan orang lain.”

 Tingkah laku anak anda semasa online

 Apa yang perlu anda ketahui: Memaparkan hidup anda di media sosial adalah seperti anda hidup di hadapan khalayak ramai. Semua orang dapat melihat segala yang anda lakukan. Hal ini dapat menimbulkan salah faham dan perselisihan faham.

 Prinsip Bible: ‘Buangkanlah segala rasa dendam yang membara, kemarahan, perasaan berang, jeritan, dan kata-kata hinaan. Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain.’—Efesus 4:31, 32.

 Fikirkan: Adakah media sosial menyebabkan anak anda mula bergosip, menggunakan kata-kata kesat, atau mempunyai perselisihan faham dengan orang lain?

 Apa yang dapat anda lakukan: Bantulah anak anda untuk menunjukkan adab yang baik semasa menggunakan media sosial. Sebuah buku yang bertajuk Digital Kids berkata, “Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk mengajar anak kita dengan jelas bahawa adalah salah untuk melayan orang dengan kejam, tidak kira secara bersemuka ataupun semasa online.”

 Ingatlah, media sosial bukanlah satu keperluan dan bukan semua ibu bapa membenarkan anak mereka untuk menggunakannya. Jika anda membenarkan anak anda untuk menggunakan media sosial, pastikan dia cukup matang untuk menetapkan had masa, membina persahabatan yang sejati, dan mengelakkan bahan yang tidak baik atau tidak senonoh.