Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Mengajar Anak untuk Bertabah

Mengajar Anak untuk Bertabah

 Anak anda menangis sambil berkata, “Saya tidak dapat buat! Sangat susah! Tak mungkin saya tahu cara untuk buatnya!” Dia cepat berasa ingin berputus asa semasa buat kerja yang susah. Anda tidak suka melihat anak anda bersusah payah, tetapi anda mahu dia belajar untuk mengatasi cabaran. Patutkah anda segera cuba membantunya? Patutkah anda biarkan saja dia berputus asa? Atau dapatkah anda mengajarnya untuk bertabah?

Apa yang perlu anda ketahui

 Ketabahan adalah penting. Apabila ibu bapa membantu anak mengembangkan kebolehannya melalui kerja keras, kemungkinan besar dia akan buat lebih baik di sekolah, lebih gembira dan sihat, serta mempunyai persahabatan yang baik dan akrab dengan orang lain. Namun, jika ibu bapa melindungi anak mereka daripada kesusahan dan kegagalan, barangkali dia akan menjadi tertekan, berasa bahawa dia tidak ada kebolehan, dan mempunyai hidup yang kurang memuaskan apabila dia dewasa kelak.

 Ketabahan dapat dikuatkan. Bahkan kanak-kanak yang masih kecil dapat menguatkan tekad mereka untuk melakukan kerja yang susah dan menyelesaikan masalah. Dalam sebuah kajian, para penyelidik mendapati bahawa bayi yang berumur 15 bulan akan berusaha dengan lebih keras untuk buat sesuatu yang susah jika mereka nampak orang dewasa bersusah payah untuk melakukannya dan bukannya berjaya tanpa apa-apa usaha.

 “Saya masih ingat semasa mengajar dua anak perempuan saya cara untuk mengikat tali kasut mereka. Itu bukan kemahiran yang anda dapat belajar dalam satu hari. Setiap kali mereka perlu mengikat tali kasut, mereka akan mengambil masa selama 10 hingga 15 minit untuk cuba ingat cara melakukannya. Selepas itu, saya akan bantu mereka. Mereka cuba buat ini selama beberapa bulan dan ada kalanya mereka menjadi sangat geram dan mula menangis. Tapi akhirnya mereka tahu cara untuk ikat tali kasut sendiri. Saya dapat membuat hidup saya lebih senang dengan membeli kasut tidak bertali untuk mereka. Tapi kadangkala sebagai ibu bapa, kita sendiri perlu bertabah supaya dapat mengajar anak tentang ketabahan.”—Colleen.

 Ketabahan dapat menjadi lemah. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak sengaja melemahkan kebolehan anak mereka untuk bertabah. Bagaimana? Oleh sebab mereka ingin anak mereka berasa gembira dengan diri sendiri, sesetengah ibu bapa mungkin terburu-buru untuk “menyelamatkan” anak supaya mereka tidak berasa kecewa atau rasa diri sudah gagal. Tetapi cara ini boleh membawa kesan yang negatif. Seorang pengarang yang bernama Jessica Lahey menulis, “Setiap kali kita menyelamatkan . . . anak kita daripada satu cabaran, kita menunjukkan dengan jelas bahawa kita berasa mereka tidak pandai, tidak berupaya, dan tidak mempercayai mereka.” a Akibatnya, anak-anak mungkin cepat berputus asa semasa melakukan kerja yang susah pada masa depan kerana mereka rasa mereka memerlukan bantuan orang dewasa.

Daripada “menyelamatkan” anak anda semasa dia susah buat suatu kerja, anda dapat ajar dia untuk bertabah

Apa yang anda dapat lakukan

 Menggalakkan mereka untuk bekerja keras. Ibu bapa dapat mengajar anak tentang ketabahan dengan memberi mereka kerja rumah yang sesuai dengan umur. Sebagai contoh, kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun dapat memisahkan kain menurut jenis sebelum memasukkannya ke dalam mesin cuci dan mengemaskan mainan. Kanak-kanak yang lebih besar dapat membantu untuk menyimpan barang-barang keperluan yang anda beli, menyusun pinggan mangkuk atas meja dan mengemaskannya selepas makan, membuang sampah, dan membersih kotoran. Remaja dapat melakukan kerja lebih susah yang melibatkan membersih, menyelenggara, dan kerja pembaikan. Kanak-kanak mungkin tidak selalu mahu buat kerja rumah, tetapi mereka dapat meraih manfaat jika ibu bapa memberikan tanggungjawab dalam rumah sejak mereka kecil lagi. Apakah manfaat yang diraih oleh anak-anak? Mereka dapat belajar cara untuk bekerja keras dan hal ini dapat membantu mereka semasa menghadapi cabaran dalam kerja apabila dewasa nanti.

 Prinsip Bible: “Setiap kerja keras membawa kebaikan.”—Amsal 14:23.

 “Jangan membuang masa dengan memberi anak-anak kerja semata-mata untuk mengisi masa lapang mereka. Tiada sesiapa pun, bahkan kanak-kanak, suka diminta untuk buat begitu. Biarlah mereka bantu melakukan sesuatu yang bermakna. Jika anak anda masih kecil, mintalah dia membersih habuk di perabot yang dia dapat capai. Jika anda mencuci kereta, mintalah dia mencuci di bahagian bawah yang anda susah capai. Kemudian, beritahulah anak anda bahawa dia sudah bekerja keras.”—Chris.

 Bimbing anak anda semasa dia membuat kerja yang susah. Ada kalanya anak-anak senang berputus asa kerana mereka tidak tahu cara menyiapkan suatu kerja. Jadi, semasa anda mengajar anak anda kemahiran yang baharu, cubalah kaedah berikut. Pertama, buatlah kerja itu semasa anak anda memerhatikan anda. Kemudian, lakukanlah kerja itu bersama. Selepas itu, lihatlah anak anda melakukan kerja itu dan beri dia cadangan yang berguna. Akhir sekali, mintalah anak anda menyiapkan kerja itu sendiri.

 Prinsip Bible: “Aku sudah menetapkan teladan untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu.”—Yohanes 13:15.

 “Daripada pengalaman saya, ibu bapa perlu menetapkan teladan yang baik jika kita mahu anak kita memupuk ketabahan. Kita harus menunjukkan sifat yang kita ingin mereka pupuk.”—Doug.

 Bantu anak anda sedar bahawa ada kalanya semua orang berasa susah dan gagal. Kongsilah cerita anda semasa anda berasa susah melakukan sesuatu tetapi meraih manfaat kerana tidak berputus asa. Beritahulah anak anda bahawa adalah biasa untuk berasa susah semasa melakukan sesuatu yang baharu dan kesilapan dapat membantunya belajar. Yakinkanlah anak anda bahawa jika dia gagal, kasih anda terhadapnya tidak berkurang. Sepertimana otot bertambah kuat apabila digunakan, kemampuan anak anda untuk bertabah akan bertambah kuat jika anda membiarkannya untuk menghadapi cabaran. Jadi, semasa anak anda menghadapi suatu cabaran, janganlah segera membantunya. Berilah dia cukup masa untuk terus mencuba biarpun dia berasa kecewa. Buku How Children Succeed menyatakan, “Cara yang terbaik bagi orang muda untuk menjadi kuat dan matang adalah dengan membiarkannya melakukan sesuatu yang kemungkinan besar dia tidak mampu buat.”

 Prinsip Bible: “Adalah baik untuk merasai kesusahan ketika masih muda.”—Ratapan 3:27.

 “Anak-anak anda akan meraih manfaat apabila anda membiarkan mereka terus cuba melakukan sesuatu yang susah buat satu jangka masa dan pada masa yang sama mereka tahu bahawa ibu bapa sedia membantu. Selepas beberapa waktu, mereka tidak akan lagi berasa susah dan mereka akan memperoleh kemahiran dan keyakinan kerana tetap tabah.”—Jordan.

 Puji usaha yang dicurahkannya dan bukan kerana dia pandai. Sebagai contoh, daripada mengatakan, “Kamu buat ujian itu dengan baik sekali! Kamu sangat bijak,” anda dapat kata, “Kamu buat ujian itu dengan baik sekali! Saya sangat kagum kerana kamu sudah berusaha keras untuk belajar.” Mengapakah penting untuk memuji usaha yang mereka curahkan dan bukan kerana mereka pandai? Memuji kepandaian anak-anak “membuat anak-anak meragui diri sendiri sebaik sahaja ada kesusahan atau masalah,” kata Dr. Carol Dweck. Dia menyambung, “Jika ibu bapa ingin buat sesuatu yang baik untuk anak-anak mereka, cara yang terbaik adalah dengan mengajar anak-anak menyukai cabaran, belajar daripada kesilapan, suka bekerja keras, dan mencari cara yang baharu untuk melakukan sesuatu. Dengan cara itu, anak-anak mereka tidak mendambakan pujian.” b

 Prinsip Bible: “Seseorang diuji menurut sikapnya terhadap pujian yang diterimanya.”—Amsal 27:21.

a Daripada buku The Gift of Failure.

b Daripada buku Mindset.