BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN
Bersikap Seimbang semasa Menggunakan Teknologi
Teknologi dapat menguatkan perkahwinan anda atau merosakkannya. Bagaimanakah teknologi dapat mempengaruhi perkahwinan anda?
Apa yang harus anda tahu
Jika digunakan dengan bijak, teknologi bermanfaat untuk perkahwinan. Contohnya, suami dan isteri boleh menggunakan teknologi untuk saling berhubung semasa mereka berjauhan.
“Sekadar mengatakan ‘Saya sayang kamu’ atau ‘Saya rindu kamu’ sudah sangat bermakna.”—Jonathan.
Jika tidak digunakan dengan bijak, teknologi dapat menjejaskan perkahwinan. Contohnya, ada orang yang terlalu menggunakan teknologi sehingga tidak memberikan perhatian dan masa kepada pasangan mereka.
“Saya tahu, ada kalanya suami saya lebih sudi untuk bercakap dengan saya semasa saya tidak menggunakan telefon saya.”—Julissa.
Sesetengah orang berpendapat bahawa mereka dapat berbual dengan pasangan mereka sambil menggunakan telefon. Tetapi menurut seorang ahli sosiologi yang bernama Sherry Turkle, walaupun ramai orang menyangka hal itu dapat dilakukan, perbuatan ini bukanlah sesuatu yang baik. Dia berkata, “Jika kita melakukan banyak perkara serentak, hasilnya tidak berapa baik.” a
“Saya gembira apabila dapat berbual dengan suami saya. Tapi, jika dia sibuk menggunakan telefonnya, saya rasa saya tidak dihiraukannya.”—Sarah.
Kesimpulan: Cara anda menggunakan teknologi dapat menguatkan perkahwinan anda atau menjejaskannya.
Apa yang dapat anda lakukan
Tetapkan keutamaan. Bible menasihati kita untuk “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:10) Tanyalah diri, “Adakah saya dan pasangan saya meluangkan terlalu banyak masa dengan alat elektronik sehingga kami tiada masa untuk satu sama lain?”
“Sungguh menyedihkan apabila saya melihat sepasang suami isteri tidak berbual semasa makan di restoran, kerana sibuk dengan telefon masing-masing. Kita tidak mahu menjadi hamba kepada teknologi dan lupa apa yang lebih penting, iaitu hubungan kita dengan pasangan kita.”—Matthew.
Tetapkan batas. Bible kata, “Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.” (Efesus 5:15, 16) Tanyalah diri, “Dapatkah saya menetapkan masa yang tertentu untuk membaca dan membalas semua mesej yang kurang penting?”
“Saya meletakkan telefon saya dalam mod senyap dan membalas mesej pada masa yang lebih sesuai. Biasanya, panggilan, mesej, atau e-mel yang kita terima tidak perlu dibalas dengan serta merta.”—Jonathan.
Jika boleh, jangan kerja semasa bukan masa kerja. Bible kata, “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu.” (Pengkhutbah 3:1) Tanyalah diri: “Adakah saya membiarkan kerja saya mengganggu masa saya dengan keluarga kerana saya membuat kerja menggunakan telefon semasa di rumah? Jika begitu, apakah kesannya terhadap perkahwinan saya? Apakah pandangan pasangan saya tentang hal ini?”
“Disebabkan kemajuan teknologi, kita sekarang boleh bekerja pada bila-bila masa saja. Saya harus berusaha keras agar tidak selalu melihat telefon saya dan membuat kerja menggunakan telefon semasa bersama isteri.”—Matthew.
Bincang dengan pasangan anda. Bible kata, “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.” (1 Korintus 10:24) Bincanglah dengan pasangan anda mengenai cara anda berdua menggunakan alat elektronik dan sama ada kamu perlu membuat perubahan. Sila rujuk bahagian “Hal yang boleh dibincangkan” dalam rencana ini.
“Saya dan suami akan berterus terang jika salah seorang daripada kami terlalu banyak menggunakan telefon atau tablet. Kami tahu bahawa ini boleh membawa masalah, jadi kami akan mempertimbangkan pandangan satu sama lain.”—Danielle.
Kesimpulan: Pastikan teknologi tidak menjadi bos anda.
a Daripada buku Reclaiming Conversation—The Power of Talk in a Digital Age.