Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Media Sosial dan Anak Anda​—Bahagian 1: Patutkah Anak Saya Menggunakan Media Sosial?

Media Sosial dan Anak Anda​—Bahagian 1: Patutkah Anak Saya Menggunakan Media Sosial?

 Dalam satu tinjauan, 97 peratus remaja menyatakan bahawa mereka menggunakan media sosial. Adakah anak anda juga ingin menggunakan media sosial seperti mereka? Jika ya, terdapat beberapa perkara yang harus anda pertimbangkan.

Dalam rencana ini

 Cara anak anda menggunakan masa

 Sebuah laman web yang dipanggil HelpGuide menyatakan, “Media sosial direka untuk mencuri perhatian anda serta membuat anda sentiasa online dan sentiasa menyemak telefon pintar anda untuk tahu perkembangan terkini.”

 “Saya cuma mahu lihat media sosial untuk beberapa minit saja, tapi tanpa disedari beberapa jam sudah berlalu. Susah betul untuk meletakkan telefon dan buat sesuatu yang lebih bermanfaat.”—Lynne, 20.

 Tanyalah diri: Dapatkah anak saya mengawal diri untuk mengikut had masa yang telah saya tetapkan baginya semasa menggunakan media sosial? Adakah anak saya cukup matang untuk menentukan sendiri jumlah masa yang digunakan untuk media sosial? Dapatkah dia mengikutnya?

 Prinsip Bible: ‘Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti dan hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.’—Efesus 5:15, 16.

Membenarkan anak anda menggunakan media sosial tanpa memberinya panduan adalah seperti membiarkannya menunggang kuda tanpa memberinya latihan terlebih dahulu

 Pandangan anak anda tentang persahabatan

 Media sosial direka untuk membuat orang rasa bahawa mereka mempunyai ramai kawan. Namun biasanya, persahabatan sebegini bukanlah persahabatan yang sejati.

 “Ramai orang muda fikir jika mereka dapat banyak ‘like’ atau ‘follower,’ itu maksudnya ramai orang peduli tentang mereka, biarpun mereka tidak kenal orang-orang itu. Namun, hal itu tidak benar.”—Patricia, 17.

 Tanyalah diri: Adakah anak saya cukup matang untuk tahu bahawa bilangan follower dan like yang mereka dapat tidaklah penting? Dapatkah dia menjalin persahabatan di luar dunia maya?

 Prinsip Bible: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

 Kesihatan emosi anak anda

 Menurut para penyelidik, penggunaan media sosial secara keterlaluan dapat membuat seseorang berasa sunyi, khuatir, dan bahkan murung.

 “Kita akan rasa sedih apabila nampak gambar kawan kita melakukan aktiviti bersama kawan kita yang lain, tanpa mengajak kita.”—Serena, 19.

 Tanyalah diri: Adakah anak saya cukup matang untuk mengelak daripada menjadi terlalu fokus pada diri sendiri, suka bersaing, atau dipengaruhi oleh apa yang dia nampak orang lain lakukan di media sosial?

 Prinsip Bible: “Janganlah kita menjadi sombong, saling membangkitkan persaingan, dan iri hati terhadap satu sama lain.”—Galatia 5:26.

 Tingkah laku anak anda semasa online

 Media sosial dapat membuat seseorang terlibat dalam perbuatan buli siber, sexting, dan melihat bahan lucah. Walaupun anak anda tidak mahu terlibat dalam perbuatan-perbuatan itu, dia mungkin akan terdedah kepadanya.

 “Apa yang kita lihat di media sosial mungkin nampaknya tidak salah, tapi hal itu dapat berubah menjadi negatif dalam sekelip mata. Ada banyak bahasa kesat dan muzik yang dapat mempengaruhi kita untuk melakukan hal yang tidak baik.”—Linda, 23.

 Tanyalah diri: Adakah anak saya cukup matang untuk menggunakan Internet dengan bijak? Adakah anak saya mempunyai pendirian moral yang teguh dan dapat menolak bahan-bahan yang tidak baik atau tidak senonoh?

 Prinsip Bible: “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, ketamakan, atau setiap jenis kenajisan. . . . Selain itu, janganlah menyebut tentang kelakuan yang memalukan, perkara yang bodoh, atau jenaka yang lucah.”—Efesus 5:3, 4.

 Adakah media sosial diperlukan?

 Seseorang tidak memerlukan media sosial untuk hidup atau untuk menjadi bahagia. Ramai kaum muda sudi hidup tanpa media sosial, termasuklah mereka yang pernah menggunakannya pada suatu masa dahulu, tetapi kemudiannya memutuskan untuk berhenti menggunakannya.

 “Kakak saya dipengaruhi secara negatif kerana cara dia menggunakan media sosial. Selepas saya melihat hal itu, saya membuat keputusan untuk berhenti menggunakan media sosial. Sejak itu, saya rasa lebih gembira dan lebih menikmati pengalaman hidup yang sebenar.”—Nathan, 17.

 Kesimpulan: Sebelum membenarkan anak anda menggunakan media sosial, pastikan bahawa dia cukup matang untuk mengikut had masa yang ditetapkan, membina persahabatan yang sejati, dan mengelakkan bahan yang tidak baik atau tidak senonoh.

 Prinsip Bible: “Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—Amsal 14:15.