Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Patutkah Kami Tinggal Bersama sebelum Berkahwin?

Patutkah Kami Tinggal Bersama sebelum Berkahwin?

 Banyak pasangan tinggal bersama sebelum berkahwin. Ada yang berbuat demikian kerana mereka ingin melihat jika mereka serasi dan berharap bahawa mereka lebih senang mempunyai perkahwinan yang berjaya. Adakah tinggal bersama sebelum berkahwin merupakan cara yang baik?

Dalam rencana ini

 Apakah yang Bible katakan?

  •   Bible mengutuk hubungan seks luar nikah. Contohnya, Bible kata, ‘Jauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.’ (1 Tesalonika 4:3; 1 Korintus 6:18) Hal ini merangkumi hubungan seks antara lelaki dan wanita yang tinggal bersama, biarpun mereka berniat untuk berkahwin pada kemudian hari. a Standard Bible melindungi pasangan daripada mengalami kehamilan yang tidak diingini dan akibat negatif lain yang disebabkan tinggal bersama sebelum berkahwin.

  •   Aturan perkahwinan datang daripada Tuhan. Semasa mengasaskan perkahwinan, Dia berkata, “Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” (Kejadian 2:24) Apabila seorang lelaki dan seorang wanita membuat komitmen dalam perkahwinan, mereka dapat membentuk asas yang baik untuk mempunyai keluarga yang pengasih dan stabil.

 Adakah tinggal bersama dapat membantu anda bersedia untuk berkahwin?

 Ada yang berkata ya. Mereka berasa bahawa pasangan akan mendapat pengalaman yang baik apabila mereka buat kerja rumah bersama dan memerhatikan tabiat satu sama lain. Namun, kunci utama untuk perkahwinan yang berjaya ialah komitmen.

 Bagaimanakah pasangan belajar untuk berpaut pada satu sama lain tidak kira pada masa yang senang atau susah? Caranya bukanlah dengan melakukan “tempoh percubaan” yang membolehkan pasangan memilih untuk memutuskan hubungan mereka pada bila-bila masa. Sebaliknya, hubungan akan menjadi kukuh apabila kedua-dua pasangan menunjukkan komitmen terhadap satu sama lain dan bekerjasama untuk mengatasi masalah.

 Kesimpulan: Daripada mempersiapkan diri untuk perkahwinan, pasangan yang memilih untuk tinggal bersama sebelum berkahwin sebenarnya mungkin sedang mempersiapkan diri untuk berpisah.

 Prinsip Bible: “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”—Galatia 6:7.

 Adakah tinggal bersama dapat membantu anda menjimatkan wang?

 Ada yang berkata ya. Sebuah kajian daripada Pusat Penyelidikan Pew mendapati bahawa di Amerika Syarikat, kira-kira 4 daripada 10 orang dewasa mula tinggal bersama atas sebab kewangan. Namun, selepas tinggal bersama untuk suatu jangka masa, banyak antara mereka masih menyatakan bahawa masalah kewangan merupakan alasan utama mereka belum bersedia untuk berkahwin.

 Tinggal bersama sebelum berkahwin dapat mendatangkan akibat yang lain, terutamanya kepada wanita. Contohnya, selepas sebuah hubungan berakhir, biasanya wanitalah yang memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak mereka.

 Kesimpulan: Akibat buruk daripada tinggal bersama sebelum berkahwin adalah lebih banyak berbanding manfaat yang diharapkan.

 Prinsip Bible: “Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu.”—Yesaya 48:17.

 Adakah tinggal bersama dapat membantu anda mengelak daripada berkahwin dengan orang yang tidak sesuai?

 Ada yang berkata ya. Namun, “orang yang tinggal bersama sebelum berkahwin biasanya tidak sedar bahawa hal itu akan membuat mereka lebih susah untuk berpisah,” kata buku Fighting for Your Marriage. Mengapa? Sesetengah pasangan yang tinggal bersama mungkin menyedari bahawa mereka betul-betul tidak serasi. Tetapi, oleh sebab mereka ada tanggungjawab seperti berkongsi binatang peliharaan, berkongsi sewa, atau kehamilan yang tidak dijangka, penyelidik mendapati bahawa mereka tinggal bersama hanya kerana mereka sudah biasa melakukannya dan tidak dapat buat perubahan yang bermanfaat bagi diri mereka. b Dalam kata lain, Fighting for Your Marriage menyambung, “Sesetengah orang memilih untuk berpisah, tetapi akhirnya berkahwin kerana mereka rasa lebih senang untuk terus tinggal bersama.”

 Kesimpulan: Tinggal bersama bukannya membantu anda untuk membuat keputusan baik, tetapi sebenarnya membuat anda lebih susah untuk mengakhiri hubungan yang buruk.

 Prinsip Bible: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”—Amsal 22:3.

 Adakah terdapat pilihan yang lebih baik?

 Anda dapat mengelak daripada risiko yang disebabkan tinggal bersama sebelum berkahwin dan membina asas untuk mempunyai perkahwinan yang berjaya. Bagaimana? Dengan berusaha sedaya upaya mengikut standard Bible untuk perkahwinan. Ambillah masa yang secukupnya untuk mengenali calon pasangan hidup anda sebelum mula tinggal bersama sebagai suami dan isteri. Adalah lebih baik anda memilih pasangan yang mempunyai nilai hidup dan kepercayaan yang sama dengan anda, dan bukannya sekadar tertarik secara seksual.

 Bible mengandungi nasihat yang dapat membantu anda mempunyai perkahwinan yang bahagia dan stabil. c Contohnya, Bible mengandungi prinsip-prinsip yang dapat membantu anda untuk . . .

 Untuk mengetahui lebih lanjut tentang topik-topik ini, lihat bahagian “Perkahwinan dan Keluarga” di jw.org.

 Prinsip Bible: “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar.”—2 Timotius 3:16.

a Lihat rencana Seks Pranikah—Bolehkah Asalkan Cinta? dalam bahasa Indonesia.

b Daripada artikel “Sliding Versus Deciding: Inertia and the Premarital Cohabitation Effect,” oleh Scott M. Stanley, Galena Kline Rhoades, dan Howard J. Markman, yang diterbitkan dalam majalah Family Relations.

c Dalam sesetengah budaya, ibu bapa biasanya akan memilih pasangan hidup bagi anak lelaki atau anak perempuan mereka. Jika begitu, Bible dapat membantu ibu bapa untuk mengenal pasti sifat-sifat yang diperlukan dalam diri calon pasangan.