KAUM MUDA BERTANYA
Adakah Saya Mementingkan Kesempurnaan?
Jika kamu
selalu mengharapkan A+ dalam setiap ujian
mengelak cabaran baharu kerana takut gagal
menganggap semua kritikan sebagai ancaman terhadap reputasi kamu
. . . , maksudnya kamu mungkin seseorang yang mementingkan kesempurnaan. Namun, adakah hal ini penting?
Adakah sikap mementingkan kesempurnaan itu salah?
Tiada salahnya jika kamu berusaha melakukan sesuatu sebaik-baiknya. Namun, “terdapat perbezaan besar antara berusaha sedaya upaya dan menginginkan sesuatu di luar kemampuan anda,” kata penulis buku Perfectionism—What’s Bad About Being Too Good? Buku itu juga menyatakan, “Kesempurnaan boleh menjadi suatu beban kerana pada hakikatnya, tiada sesiapa pun yang sempurna.”
Bible juga menyatakan, “Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik.” (Pengkhutbah 7:20) Oleh sebab kamu tidak sempurna, ada kalanya pencapaian kamu kurang memuaskan.
Adakah susah untuk kamu menerima hakikat ini? Jika ya, perhatikan empat cara sikap mementingkan kesempurnaan dapat mempengaruhi kamu secara negatif.
Cara kamu memandang diri kamu. Orang yang mementingkan kesempurnaan selalu menetapkan standard yang terlalu tinggi bagi diri mereka, dan hal ini menyebabkan kekecewaan. “Mustahil kita dapat melakukan segala-galanya dengan sempurna. Jika kita sering mengecil-ngecilkan diri sendiri kerana tidak cukup sempurna, kita tidak akan ada keyakinan diri. Dan itu boleh membuat kita tertekan.”—Alicia.
Cara kamu memandang nasihat yang membina. Orang yang mementingkan kesempurnaan menganggap nasihat yang diberikan sebagai kritikan yang mengancam reputasi mereka. “Apabila orang lain membetulkan saya, saya berasa hancur luluh,” kata seorang pemuda bernama Jeremy. Dia menambah, “Orang yang mementingkan kesempurnaan tidak menyedari had sendiri dan tidak rela menerima bantuan.”
Pandangan kamu terhadap orang lain. Orang yang mementingkan kesempurnaan suka mengkritik orang lain. Anna yang berumur 18 tahun berkata, “Jika kamu inginkan kesempurnaan daripada diri sendiri, kamu juga akan inginkan kesempurnaan daripada orang lain. Kamu akan rasa kecewa dengan mereka kerana tidak mencapai standard yang kamu tetapkan.”
Pandangan orang lain terhadap kamu. Jika kamu mengharapkan kesempurnaan daripada orang lain, janganlah hairan apabila mereka mula mengelakkan diri daripada kamu! “Memang susah untuk mengikut standard yang ditetapkan oleh orang yang menginginkan kesempurnaan,” kata Beth. “Tiada sesiapa pun mahu bersama orang sebegitu!”
Apakah cara yang lebih baik?
Bible menyatakan, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” (Filipi 4:5) Seseorang yang berfikiran munasabah selalunya mempunyai pertimbangan yang seimbang terhadap diri mereka dan orang lain.
“Cukuplah dengan adanya begitu banyak tekanan daripada dunia ini. Kenapa kita perlu beri tekanan pada diri hanya kerana kita mahukan kesempurnaan? Terlalu banyak tekanan nanti!”—Nyla.
Bible menyatakan, ‘Dengan rendah hati hidup bersatu dengan Tuhan kita.’ (Mikha 6:8) Orang yang rendah hati sedar akan had mereka. Mereka tidak akan menerima tugas tertentu jika tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk tugas itu.
“Jika saya mahu rasa yang saya sememangnya jalankan tanggungjawab saya dengan baik, saya hanya menerima tugas yang saya mampu lakukan. Saya mempunyai had.”—Hailey.
Bible menyatakan, “Jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh.” (Pengkhutbah 9:10) Untuk melawan sikap mementingkan kesempurnaan, kita harus rajin, bukannya malas. Seperti yang disebutkan di atas, kita juga harus memiliki sikap munasabah dan sedar akan had sendiri.
“Saya cuba buat kerja saya sebaik yang mungkin. Saya sedar bahawa memang mustahil untuk melakukan sesuatu dengan sempurna, tapi saya gembira kerana saya sudah buat yang terbaik.”—Joshua.