Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah jika Ibu Bapa Saya Mahu Bercerai?

Bagaimanakah jika Ibu Bapa Saya Mahu Bercerai?

 Apabila ibu bapa bercerai, itu merupakan salah satu hal yang buat kaum muda rasa paling tertekan. Bagaimanakah kamu dapat menghadapinya?

Dalam rencana ini

 Tiga perkara yang kamu perlu hindari

 1. Jangan menyalahkan diri

 “Ibu pernah beritahu saya bahawa semua masalah antara dia dan ayah bermula apabila saya dilahirkan. Jadi, saya fikir sayalah puncanya ibu bapa saya bercerai.”—Diana.

 Ingatlah: Mereka bercerai bukan kerana kamu. Sebaliknya, mereka ada masalah dalam hubungan mereka. Kamu bukanlah penyebab masalah mereka dan kamu tidak dapat menyelesaikannya. Mereka sendiri bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dalam perkahwinan mereka.

 “Setiap orang harus memikul tanggungan masing-masing.”—Galatia 6:5.

 2. Menyimpan dendam

 “Saya sangat marah dengan ayah saya kerana curang terhadap ibu saya. Saya susah untuk percaya dia lagi.”—Rianna.

 Ingatlah: Kamu mungkin berasa marah dan kecewa atas apa yang berlaku antara ibu bapa kamu. Memang wajar kalau kamu rasa begitu. Tetapi menyimpan dendam adalah tidak baik. Hal itu dapat merosakkan kesihatan fizikal dan emosi kamu. Jika kamu berdendam, kamu seperti sedang minum racun dan harap orang lain yang sakit. a

  “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu.”—Mazmur 37:8.

 3. Berasa diri tidak mungkin akan ada perkahwinan yang bahagia

 “Saya sangat takut saya akan terikut jejak ayah saya. Saya takut kalau saya kahwin dan ada anak, saya akan mengulangi kesilapan yang sama yang menyebabkan ibu bapa saya bercerai.”—Jessica.

 Ingatlah: Walaupun perkahwinan ibu bapa kamu gagal, itu tidak bermaksud perkahwinan kamu juga akan gagal. Sebaliknya, kamu dapat belajar sesuatu yang bernilai daripada pengalaman ibu bapa kamu. Contohnya, kamu dapat lebih tahu sifat-sifat apa yang kamu inginkan dalam diri bakal pasangan kamu. Kamu juga akan dibantu untuk pupuk sifat-sifat yang dapat menjadikan kamu seorang suami atau isteri yang lebih baik.

 “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri.”—Galatia 6:4.

Apabila ibu bapa bercerai, hal itu seperti mengalami tulang yang patah. Tetapi seraya masa berlalu, rasa sakit itu akan semakin kurang

 Tiga perkara yang kamu dapat lakukan

 1. Luahkan perasaan kamu

 Orang yang tidak luahkan perasaan negatif mereka sering kali terlibat dalam tabiat yang memudaratkan diri sendiri, seperti menyalahgunakan alkohol atau dadah. Sebaliknya, cubalah cara ini:

 Cakaplah dengan ibu bapa kamu. Jika ibu atau bapa kamu cuba libatkan kamu dalam masalah mereka, jelaskanlah dengan tenang tetapi tegas bagaimana hal itu mempengaruhi kamu. Jika kamu rasa susah bercakap dengan mereka, kamu boleh tulis surat kepada mereka.

 Cakaplah dengan sahabat yang dapat dipercayai. Kamu akan rasa lebih lega jika ada seseorang yang mendengar luahan kamu. Bible berkata, “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

 Cakaplah dengan Pencipta kamu. Tuhan Yehuwa ialah “Pendengar doa.” Dia akan selalu mendengarkan kamu. (Mazmur 65:2) Bible berkata, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

  •   Antara ayah atau ibu, siapakah yang kamu rasa lebih senang untuk bercakap?

  •   Siapakah sahabat (sebaya atau dewasa) yang dapat membantu kamu?

  •   Apakah masalah spesifik yang kamu dapat doakan?

 2. Buat penyesuaian

 Selepas ibu bapa kamu bercerai, kamu mungkin perlu menyesuaikan diri dengan situasi yang baharu, seperti rumah, sekolah, keadaan kewangan, dan kawan-kawan. Memang, hal ini dapat buat kamu rasa tertekan dan rasa seperti seluruh hidup kamu tunggang terbalik. Apakah yang dapat bantu kamu? Cubalah berfokus kepada cara kamu dapat menyesuaikan diri dalam situasi yang baharu.

  •   Apakah perubahan terbesar yang kamu perlu buat selepas ibu bapa bercerai?

  •   Apakah langkah yang dapat kamu ambil untuk buat penyesuaian itu?

 “Aku sudah belajar untuk berpuas hati dengan apa yang aku miliki dalam apa jua keadaan.”—Filipi 4:11.

 3. Ketahui sifat-sifat baik kamu

 Perceraian ibu bapa kamu dapat buat kamu rasa sangat risau. Tetapi itu juga dapat bantu kamu tahu sifat-sifat baik kamu. Kamu bahkan dapat pupuk sifat yang lain. Jeremy, yang ibu bapanya bercerai semasa dia berumur 13 tahun, berkata, “Selepas ibu bapa saya bercerai, saya perlu jadi lebih bertanggungjawab. Oleh sebab saya ialah anak sulung, saya perlu lebih banyak bantu ibu saya dan jaga adik lelaki saya.”

Perceraian ibu bapa kamu dapat mendorong kamu untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab di rumah

  •   Oleh sebab situasi ibu bapa kamu, apakah sifat-sifat baik yang kamu dapati dalam diri kamu?

  •   Apakah sifat lain yang kamu mahu pupuk?

 “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk . . . mendidik orang untuk melakukan apa yang benar.”—2 Timotius 3:16.

a Untuk maklumat lebih lanjut, lihat rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Mengawal Kemarahan?