KAUM MUDA BERTANYA
Mengapakah Ibu Bapa Tidak Biarkan Saya Berseronok?
Kawan-kawan kamu jemput kamu ke parti hujung minggu ini. Kamu tanya ibu bapa jika kamu boleh pergi, tetapi mereka dengan tegas kata, “Tidak boleh.” Kamu tidak terkejut sebab itulah jawapan yang mereka beri sebelum ini.
Dalam rencana ini
Mengapa ibu bapa saya selalu kata tidak?
Jika ibu bapa kamu nampaknya selalu tidak benarkan kamu buat sesuatu, kamu mungkin rasa mereka tidak mahu kamu berseronok.
Seorang remaja bernama Marie juga rasa begitu semasa dia dapat telefon buat kali pertama. Dia kata, “Ayah saya buat banyak peraturan tentang aplikasi yang saya boleh muat turun, saya boleh berkomunikasi dengan siapa, dan berapa lama saya boleh cakap dengan mereka. Tetapi, kawan-kawan saya pula boleh buat apa saja yang mereka suka!”
Cuba renungkan: Adakah ayah Marie benar-benar mahu menghalang dia daripada berseronok? Apakah yang mungkin ayahnya risaukan?
Cuba cara ini: Bayangkan kamu ialah ibu bapa, dan kamu mempunyai seorang anak remaja yang baru dapat telefon. Apakah mungkin kerisauan kamu? Apakah peraturan yang mungkin kamu tetapkan untuk melindungi anak kamu? Jika anak kamu kata kamu tidak mahu dia berseronok, apakah yang akan kamu jawab?
“Ayah saya selalu kata, ‘Cuba bayangkan kamu jadi ibu bapa.’ Dengan buat begitu, saya dibantu untuk melihat bukan sahaja manfaat di sebalik peraturannya tetapi juga sebabnya. Jika saya ada anak, saya pun akan harap mereka ikut peraturan yang sama seperti yang ayah saya tetapkan.”—Tanya.
Apa yang dapat saya buat agar ibu bapa saya kata ya?
“Jika kamu berteriak, kamu tidak akan dapat apa-apa. Kamu hanya memenatkan diri dan ibu bapa kamu. Jika kamu bertengkar, ibu bapa akan rasa kamu tidak matang dan tidak patut diberi lebih banyak kebebasan.”—Richard.
“Ibu bapa saya biasanya mempunyai sebab yang baik di sebalik setiap peraturan mereka. Mereka bukannya cuba menghalang saya daripada berseronok. Sebaliknya, mereka mahu saya berseronok dalam cara yang terbaik, iaitu dalam cara yang tidak akan bawa masalah kepada saya.”—Ivy.
Prinsip Bible: “Orang bodoh melampiaskan kemarahannya, tetapi orang bijak bertenang dan dapat mengawal perasaannya.”—Amsal 29:11.
“Saya curi-curi melanggar peraturan yang ayah saya buat tentang telefon saya. Saya cuba cari jalan untuk mesej kawan saya pada lewat malam atau muat turun aplikasi yang ayah saya tidak benarkan. Akhirnya, ayah selalu dapat tahu dan dia buat lebih banyak peraturan sebab sekarang dia susah percaya saya. Jadi, curi-curi melakukan sesuatu bukanlah tindakan yang bijak.”—Marie.
“Bersabarlah. Ibu bapa mungkin ambil masa untuk menyesuaikan suatu peraturan, tetapi jika mereka lihat bahawa kamu mematuhi peraturan yang mereka tetapkan, mereka mungkin akan terdorong untuk beri kamu lebih banyak kebebasan.”—Melinda.
Prinsip Bible: “Patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara.”—Kolose 3:20.
“Berkeras untuk dapatkan apa yang kamu mahu tidak akan buat kehidupan kamu lebih baik atau bantu kamu dapatkan apa yang kamu ingini.”—Natalie.
“Ibu bapa mahu lihat bahawa kamu dapat buat keputusan yang bijak. Jadi, semasa saya bercakap dengan ibu bapa, saya guna sebab logik dan bukannya emosi untuk sampaikan pandangan saya. Bila saya buat begitu, kemungkinan ibu bapa saya akan benarkan saya buat apa yang saya ingini.”—Joseph.
Prinsip Bible: “Hormatilah ibu bapa kamu.”—Efesus 6:2.