KAUM MUDA BERTANYA
Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 1: Maksud Pembaptisan
Setiap tahun, banyak orang muda yang dibesarkan sebagai Saksi-Saksi Yehuwa dibaptis. Adakah kamu juga ingin dibaptis? Jika ya, kamu perlu memahami maksud pembaktian dan pembaptisan terlebih dahulu.
Apa itu pembaptisan?
Dalam Bible, pembaptisan dilakukan dengan memasukkan seluruh tubuh ke dalam air dan bukannya sekadar memercikkan air. Pembaptisan dalam air melambangkan sesuatu yang sangat penting.
Dengan memasukkan seluruh tubuh ke dalam air semasa pembaptisan, kamu menunjukkan kepada orang ramai bahawa kamu tidak lagi hidup untuk menyenangkan diri sendiri.
Apabila kamu keluar dari air, kamu menunjukkan bahawa kini kamu menggunakan hidup kamu untuk menyenangkan Tuhan.
Semasa dibaptis, kamu menyatakan di hadapan umum bahawa kamu mengakui hak Yehuwa untuk menentukan apa yang betul dan apa yang salah. Kamu juga menyatakan janji kamu untuk selalu melakukan kehendak Yehuwa.
Fikirkan: Mengapakah kamu patut menyatakan keinginan kamu untuk hidup selaras dengan kehendak Yehuwa di hadapan umum? Baca 1 Yohanes 4:19 dan Wahyu 4:11.
Apa itu pembaktian?
Sebelum dibaptis, kamu perlu membaktikan diri kepada Yehuwa. Bagaimana?
Dalam doa peribadi, kamu berjanji untuk menyembah Yehuwa selama-lamanya dan melakukan kehendak-Nya, tidak kira apa yang berlaku atau apa pun keputusan orang lain.
Apabila dibaptis, kamu menunjukkan kepada orang lain bahawa kamu sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Pembaptisan menunjukkan bahawa kamu tidak lagi hidup bagi diri sendiri dan kamu sekarang milik Yehuwa.—Matius 16:24.
Fikirkan: Mengapakah kehidupan kamu lebih baik apabila kamu menjadi milik Yehuwa? Baca Yesaya 48:17, 18 dan Ibrani 11:6.
Mengapa pembaptisan begitu penting?
Yesus berkata bahawa semua muridnya mesti dibaptis. (Matius 28:19, 20) Jadi, pembaptisan merupakan syarat untuk menjadi orang Kristian. Sebenarnya, Bible mengatakan bahawa kita perlu dibaptis agar dapat diselamatkan.—1 Petrus 3:21.
Namun, kasih dan penghargaan kamu terhadap Yehuwalah yang harus mendorong kamu untuk dibaptis. Kamu harus memiliki sikap seperti seorang pemazmur yang menulis, ‘Apakah yang dapat aku berikan kepada Yehuwa untuk membalas segala kebaikan-Nya terhadapku? Aku akan menyeru nama Yehuwa. Aku akan menunaikan ikrarku kepada Yehuwa.’—Mazmur 116:12-14.
Fikirkan: Apakah yang telah dilakukan Yehuwa untuk kamu? Bagaimanakah kamu dapat membalas kebaikan-Nya? Baca Ulangan 10:12, 13 dan Roma 12:1.