Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana Pula jika Saya Diajak untuk Minum Minuman Beralkohol?

Bagaimana Pula jika Saya Diajak untuk Minum Minuman Beralkohol?

 Bible tidak melarang kita minum minuman beralkohol asalkan kita sudah cukup umur dan tidak minum secara berlebihan. Namun Bible melarang kemabukan.​—Mazmur 104:15; 1 Korintus 6:​10.

 Tetapi bagaimana pula jika kamu dipaksa untuk minum minuman beralkohol padahal ibu bapa kamu tidak membenarkannya atau kamu belum cukup umur?

 Fikirkan akibatnya

 Sesetengah kawan kamu mungkin berasa bahawa kamu perlu minum minuman beralkohol untuk bergembira. Tetapi apakah yang mungkin terjadi selepas itu?

  •  Masalah undang-undang. Di tempat kamu, kamu mungkin akan didenda, didakwa, digantung lesen memandu, disuruh melakukan khidmat awam, atau bahkan dipenjarakan, jika kamu minum minuman beralkohol sebelum kamu cukup umur.​—Roma 13:3.

  •  Mencemarkan nama baik. Alkohol dapat menyebabkan seseorang hilang daya pertimbangan. Kamu mungkin mengatakan atau melakukan sesuatu yang akan kamu sesali. (Amsal 23:31-​33) Dalam era media sosial yang semakin maju sekarang, perbuatan kamu mungkin akan mendatangkan kesan buruk kepada reputasi kamu.

  •  Mudah menjadi mangsa. Apabila kamu berada di bawah pengaruh alkohol, kamu mudah diserang atau menjadi mangsa seksual. Kamu juga senang dipengaruhi orang lain. Akibatnya, kamu mungkin melakukan sesuatu yang berbahaya atau melanggar undang-undang.

  •  Ketagihan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa seseorang yang minum minuman beralkohol sejak muda akan berasa lebih susah untuk menghentikan tabiat itu. Ada yang minum untuk mengatasi tekanan dan perasaan sunyi atau bosan. Lama-kelamaan, mereka ketagihan alkohol.

  •  Membawa maut. Seseorang yang memandu di bawah pengaruh alkohol dapat mengakibatkan kemalangan jalan raya yang teruk. Kebelakangan ini di Amerika Syarikat, kemalangan sebegitu berlaku setiap 52 minit. Dalam 5 tahun, lebih daripada 1,500 orang di bawah umur 21 tahun mati kerana kemalangan jalan raya yang diakibatkan pengaruh alkohol. Walaupun kamu tidak minum minuman beralkohol, kamu membahayakan nyawa sendiri jika kamu menaiki kereta yang dipandu oleh orang yang telah minum minuman beralkohol.

 Tetapkan pendirianmu

 Kamu boleh mengelakkan bahaya atau akibat buruk daripada penyalahgunaan minuman beralkohol jika kamu menetapkan pendirian sebelum menghadapi situasi yang susah.

 Prinsip Bible: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 22:3) Janganlah minum minuman beralkohol sebelum memandu atau melakukan aktiviti yang memerlukan tumpuan.

 Pendirianmu: ‘Saya hanya akan minum minuman beralkohol apabila saya cukup umur dan pada masa yang sesuai.’

 Prinsip Bible: “Jika kamu menyerahkan diri kepada seseorang untuk mematuhinya, kamu menjadi hamba orang itu.” (Roma 6:​16) Jika kamu minum minuman beralkohol kerana ingin mengikut-ikut kawan kamu, kamu sedang membiarkan orang lain mengawal kehidupan kamu. Jika kamu minum untuk mengatasi tekanan atau perasaan bosan, kamu tidak akan belajar cara untuk mengatasi masalah kamu.

 Pendirianmu: ‘Saya tidak akan biarkan kawan saya memaksa saya untuk minum minuman beralkohol.’

 Prinsip Bible: “Jangan bergaul dengan pemabuk.” (Amsal 23:20) Jika kamu salah pilih kawan, susah untuk kamu berpegang pada pendirian kamu. Kamu sedang membahayakan diri jika kamu berkawan dengan orang yang menyalahgunakan minuman beralkohol.

 Pendirianmu: ‘Saya tidak akan berkawan rapat dengan orang yang menyalahgunakan minuman beralkohol.’