Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Patut Saya Tahu tentang Merokok dan Vape?

Apakah yang Patut Saya Tahu tentang Merokok dan Vape?

 “Di tempat saya tinggal, jarang ada orang yang di bawah umur 25 tahun yang tidak pernah menghisap rokok atau ‘vape.’”—Julia.

Dalam rencana ini

 Apa yang perlu kamu ketahui

  •   Rokok membawa maut. Nikotin ialah bahan utama dalam rokok. Bahan yang bertoksik ini boleh membuat orang sangat tertagih. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S., “Pengambilan rokok merupakan salah satu punca utama orang di serata dunia jatuh sakit dan mati awal, sedangkan hal ini dapat dicegah.”

     “Saya bekerja dalam bidang kesihatan sebagai tukang imbas ultrabunyi dan saya pernah nampak imbasan yang menunjukkan kesan merokok terhadap pesakit. Saya terkejut melihat betapa banyaknya plak yang terbentuk dalam saluran darah orang yang merupakan bekas perokok. Saya sangat menghargai tubuh saya, jadi saya tidak mahu merokok.”—Theresa.

     Tahukah kamu? Rokok mengandungi kira-kira 7,000 bahan kimia, dan kebanyakannya bertoksik. Setiap tahun, jutaan orang mati akibat penyakit yang disebabkan rokok.

  •   Pengguna vape terdedah kepada bahan kimia yang bertoksik. Menggunakan vape, vape pen, atau rokok elektronik telah dikatakan dapat merosakkan paru-paru orang dan menyebabkan kematian. Selain itu, seperti rokok, kebanyakan produk vape mengandungi nikotin. Oleh sebab nikotin menyebabkan orang sangat ketagih, bahan ini dapat “mengakibatkan orang muda tertarik kepada dadah yang lain,” kata sebuah lembaran fakta tentang rokok elektronik.

     “Terdapat produk ‘vape’ rasa manis seperti gula-gula kapas dan buah ceri. Anak-anak dan remaja sangat suka benda begini. Rasa itu buat mereka abaikan risikonya.”—Miranda.

     Tahukah kamu? Wap daripada rokok elektronik bukan hanya mengandungi air. Sebaliknya, wap itu juga mengandungi bahan yang berbahaya, sering kali merangkumi bahan kimia yang sangat toksik yang dapat disalurkan ke paru-paru kamu.

 Risiko disebabkan merokok dan menghisap vape

  1.  (1) Menjejaskan proses pemikiran, emosi, dan keupayaan untuk memberikan tumpuan, terutamanya dalam perkembangan otak

  2.  (2) Radang gusi dan gigi berlubang

  3.  (3) Radang paru-paru dan masalah jantung

     Asma menjadi semakin teruk

     Sakit perut dan mual

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Ketahui faktanya. Jangan percaya semua yang kamu dengar, contohnya menggunakan vape tidak berbahaya atau ini cara baik untuk buang stres. Buatlah kajian sendiri, dan buat keputusan berdasarkan fakta.

     Prinsip Bible: “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—Amsal 14:15.

     “Apabila kamu fikir tentang kesan negatif daripada merokok dan menghisap ‘vape,’ kamu akan sedar bahawa itu bukan sekadar rasa seronok yang tidak berbahaya, seperti yang ditunjukkan oleh selebriti atau rakan sebaya kamu.”—Evan.

     Fikirkan: Adakah orang muda yang merokok atau menghisap vape betul-betul gembira? Adakah mereka lebih bersedia untuk menghadapi tekanan hidup sekarang dan pada masa depan? Atau adakah mereka sedang menimbulkan lebih banyak masalah?

  •   Cari cara yang bermanfaat untuk menangani kerisauan. Cara baik untuk mengurangkan kerisauan adalah dengan melakukan aktiviti yang sihat seperti bersenam, membaca, atau meluangkan masa dengan kawan yang dapat menggalakkan kamu. Apabila kamu berfokus kepada hal-hal yang lebih bermanfaat, kamu tidak akan rasa mahu merokok.

     Prinsip Bible: “Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan, tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.”—Amsal 12:25.

     “Orang fikir bahawa merokok dan menghisap ‘vape’ dapat hilangkan stres. Tapi semua ini hanya dapat beri kamu kelegaan sementara, malah bawa kesan buruk untuk jangka masa yang panjang. Ada cara yang lebih baik untuk menangani stres.”—Angela.

     Fikirkan: Apakah beberapa cara kamu dapat menangani stres dengan efektif? Jika kamu perlukan bantuan, lihat rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Mengatasi Perasaan Khuatir?” di bahagian “Kaum Muda Bertanya.”

Orang yang menangani kerisauan dengan mengambil bahan yang menyebabkan ketagihan adalah seperti melompat ke dalam laut untuk mengelakkan hujan. Masalah kamu hanya akan semakin bertambah!

  •   Bersedia untuk menghadapi tekanan rakan sebaya. Rakan sekolah atau bahkan hiburan dapat memberi kamu tekanan. Wayang, rancangan TV, dan media sosial sering kali membuat perbuatan merokok atau menghisap vape kelihatan hebat dan seronok.

     Prinsip Bible: ‘Orang matang menggunakan daya penilaian mereka yang sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’—Ibrani 5:14.

     “Semasa saya di sekolah, banyak kawan saya hormat saya kerana saya tidak merokok atau hisap ‘vape.’ Selepas saya menjelaskan pendirian saya, mereka bahkan membela saya. Jadi kalau orang tahu pendirian kamu, itu dapat melindungi kamu.”—Anna.

     Fikirkan: Dapatkah kamu melawan tekanan rakan sebaya? Pernahkah kamu berbuat demikian? Jika kamu perlukan bantuan dalam hal ini, lihat “Rencana Tindakan” dalam bab 15 buku Pertanyaan Kaum Muda—Jawaban yang Praktis, Jilid 2, dalam bahasa Indonesia.

  •   Pilih kawan kamu dengan bijak. Kamu tidak akan begitu tergoda untuk merokok atau menghisap vape jika kawan kamu juga ada pandangan yang sama dengan kamu tentang amalan sebegitu.

     Prinsip Bible: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.”—Amsal 13:20, Alkitab Berita Baik.

     “Berkawan dengan orang yang ada sifat-sifat seperti kawalan diri dan integriti memang sangat membantu. Apabila kamu nampak hasil baik dalam hidup mereka, kamu akan terdorong untuk tiru mereka.”—Calvin.

     Fikirkan: Adakah kawan rapat kamu menyokong tekad kamu untuk menjalani gaya hidup yang bersih dan sihat, atau adakah mereka selalu melemahkan tekad kamu?

 Bagaimana pula dengan ganja

 Banyak orang kata bahawa ganja tidak berbahaya. Itu tidak benar!

  •   Orang muda yang mengambil ganja dapat menjadi ketagih. Kajian menunjukkan bahawa ganja dapat merosakkan otak kamu buat selama-lamanya, seperti mengurangkan IQ kamu.

  •   Menurut U.S. Substance Abuse and Mental Health Services Administration, “Kajian menunjukkan bahawa orang yang mengambil ganja kemungkinan besar ada masalah hubungan, prestasi yang buruk di sekolah, kurang berjaya dalam kerjaya, dan tidak berpuas hati dengan hidup.”

     “Saya tergoda untuk hisap ganja kerana mahu kurangkan kerisauan. Tapi apabila saya fikir kesan ketagihannya, wang yang saya perlu belanjakan, dan kesan terhadap kesihatan saya, saya sedar bahawa hisap ganja hanya akan buat saya lebih risau.”—Judah.