SIAPAKAH PEREKANYA?
Cangkerang Kumbang Berbaju Besi yang Keras
Diabolical ironclad beetle (Phloeodes diabolicus) atau kumbang berbaju besi hidup di bahagian barat Amerika Utara. Menurut para penyelidik, kumbang ini dapat menahan berat kira-kira 39,000 kali ganda berat badannya. Serangga ini bahkan tidak mati jika digilis kereta. Apakah rahsianya?
Terdapat sambungan-sambungan di sisi kumbang ini yang menghubungkan bahagian atas dan bawah cangkerangnya. Salah satu sambungannya keras dan dapat bertahan apabila dimampatkan. Fungsi ini bantu melindungi organ-organ penting dalam kumbang. Satu lagi sambungannya lebih lentur dan dapat mengubah bentuknya. Sambungan yang ketiga pula membolehkan bahagian atas cangkerang untuk bergerak. Maka, kumbang ini dapat memasuki tempat yang sempit, seperti di bawah kulit pokok atau antara celah-celah batu.
Selain itu, terdapat bonjol-bonjol yang berbentuk seperti kepingan jigsaw puzzle yang saling mengunci di sepanjang bahagian tengah cangkerang. Ini berfungsi untuk mengagihkan tekanan. Bahagian itu terdiri daripada lapisan tisu yang digabungkan dengan protein. Apabila dimampatkan, protein-protein tersebut akan mempunyai retakan kecil yang kemudiannya akan pulih. Maka, cangkerangnya tetap utuh dan dapat menyerap tekanan dengan baik.
Para penyelidik kata penemuan ini mungkin dapat membuka jalan bagi rekaan yang lebih selamat, terutamanya untuk struktur yang harus menahan tekanan atau impak kuat seperti kenderaan, jambatan, dan bangunan.
Apakah pandangan anda? Adakah cangkerang kumbang ini wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?