Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Ketangkasan Lalat Buah

Ketangkasan Lalat Buah

 Pernahkah anda memukul lalat di rumah? Anda pasti setuju bahawa lalat sangat peka terhadap sebarang pergerakan dan dapat bergerak secepat kilat untuk mengelakkan bahaya.

 Menurut para ahli sains, lalat buah yang sedang terbang dapat mengubah arahnya, seperti sebuah pesawat jet tempur. Tetapi lalat ini dapat melakukannya dalam tempoh kurang daripada sesaat. Profesor Michael Dickinson berkata, “Sejak lahir, lalat buah mempunyai kemampuan terbang yang luar biasa. Hal ini seakan-akan seorang bayi yang baru lahir diletakkan ke dalam pesawat jet tempur, dan bayi itu terus pandai menerbangkan pesawat itu.”

 Ahli sains mendapati bahawa lalat buah dapat mengepakkan sayapnya sekitar 200 kali dalam sesaat. Yang paling menakjubkan, lalat itu perlu mengepakkan sayapnya sekali sahaja untuk mengubah arah dan menghindari bahaya.

 Bagaimana pula dengan kepekaan lalat? Lalat dapat mengesan bahaya 50 kali lebih cepat daripada masa yang diperlukan oleh seorang manusia untuk mengelipkan matanya. Dickinson menjelaskan bahawa otak lalat dapat membuat pengiraan matematik yang rumit dalam masa yang sangat singkat untuk menentukan cara yang terbaik untuk melepaskan diri.

 Para ahli sains ingin mengetahui misteri tentang bagaimana otak lalat yang begitu kecil membolehkannya untuk bertindak dengan begitu cepat dan tepat.

Lalat buah dapat mengelakkan bahaya dengan mengubah arah terbang dalam masa kurang daripada satu saat

 Apakah pandangan anda? Adakah kebolehan lalat buah ini wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?