Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Pengkhususan Sel ialah Keupayaan yang Menakjubkan!

Pengkhususan Sel ialah Keupayaan yang Menakjubkan!

 Dari saat persenyawaan, terhasillah zigot, iaitu satu sel kecil yang susah dilihat dengan mata kasar. Tetapi dalam masa beberapa bulan sahaja, sel yang kecil itu berkembang sehingga menjadi seorang bayi dan dilahirkan. Hanya daripada satu sel terhasilnya lebih daripada 200 jenis sel yang mempunyai pelbagai bentuk, saiz, dan fungsi. Keupayaan yang menakjubkan ini dikenali sebagai pengkhususan sel.

 Fikirkan: Zigot membuat salinan DNAnya lalu membahagi kepada dua. Sel yang terhasil akan mengulangi proses ini beberapa kali. Pada mulanya, semua sel baharu adalah sama. Dalam DNA setiap sel, terdapat maklumat dan arahan yang diperlukan untuk menghasilkan semua jenis sel.

 Seminggu selepas persenyawaan, pengkhususan sel mula berlaku yang akan menghasilkan dua jenis sel. Ada yang akan menjadi embrio, manakala sel lain akan menjadi plasenta dan tisu-tisu untuk membantu embrio terus bertumbuh.

 Pada minggu ketiga kehamilan, sel-sel embrio akan tersusun menjadi tiga lapisan. Sel pada lapisan luar akan menjadi sel-sel saraf, otak, mulut, lapisan luar kulit, dan sel lain. Sel di lapisan tengah akan menjadi darah, tulang, ginjal, otot, dan tisu lain. Sel yang terdapat pada lapisan dalam akan menjadi organ dalaman, misalnya peparu, pundi kencing, dan sebahagian besar sistem pencernaan.

Seraya bayi dalam kandungan membesar, sel-selnya akan membahagi dan menghasilkan lebih daripada 200 jenis sel yang berbeza

 Sepanjang tempoh kehamilan, sesetengah sel akan bermigrasi, sama ada satu sel atau secara berkumpulan. Sel dari bahagian-bahagian tertentu di embrio akan pergi ke bahagian yang lain. Sel-sel lain pula berkumpul dan membentuk lapisan atau berlipat menjadi seperti tali atau rongga. Proses-proses ini memerlukan koordinasi yang luar biasa. Contohnya, pada satu peringkat, lapisan-lapisan sel akan gulung dan menjadi tiub-tiub yang kecil. Proses ini berlaku secara serentak di beberapa tempat yang berbeza dalam embrio. Kemudian, tiub-tiub itu memanjang, bercabang, dan akhirnya berhubung sehingga membentuk sambungan yang lengkap.

 Apabila tiba masanya untuk bayi yang sihat dilahirkan, berbilion-bilion selnya sudah melalui proses pengkhususan sel di tempat yang betul dan pada waktu yang tepat.

 Apakah pandangan anda? Adakah proses pengkhususan sel yang menakjubkan ini wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?