Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Penyedut Ikan Remora

Penyedut Ikan Remora

 Ikan remora ialah sejenis ikan yang dapat melekatkan diri dengan kuat pada hidupan laut lain lalu melepaskan diri dengan mudah tanpa mencederakan hidupan itu. Kebolehan ikan remora ini telah menarik minat para penyelidik.

 Fikirkan: Ikan remora dapat melekatkan diri pada ikan pari, ikan yu, ikan paus, penyu, dan hidupan laut lain, tidak kira permukaan kulit atau cangkerang hidupan itu halus atau kasar. Ikan remora memakan parasit dan sisa makanan daripada hidupan yang ditumpanginya. Pada masa yang sama, ikan remora dapat bergerak tanpa menggunakan tenaga dan dilindungi daripada pemangsa. Para penyelidik sedang mengkaji penyedut ikan remora. Mereka ingin tahu bagaimana ikan ini dapat melekatkan diri dengan lembut tetapi kuat pada pelbagai permukaan.

 Ikan-ikan remora bersama ikan yu paus

 Penyedut ikan remora yang berbentuk bujur terletak di atas kepalanya. Bahagian tepi penyedut itu yang tebal dan lembut membolehkannya mengekalkan sedutan yang kuat. Pada bahagian dalam penyedut pula, terdapat lapisan kulit yang tersusun dan mempunyai duri-duri yang sangat kecil. Semasa lapisan kulit menjadi tegak, duri-duri itu akan menyentuh kulit hidupan yang ditumpanginya dan menghasilkan geseran. Hal ini membolehkan ikan remora terus melekat pada hidupan lain, bahkan semasa hidupan itu bergerak dengan laju atau tiba-tiba menukar arah.

 Para saintis begitu kagum dengan penyedut ikan remora sehingga mereka menghasilkan alat penyedut yang serupa. Alat yang berbentuk bujur itu dapat melekat pada pelbagai jenis permukaan. Apabila mereka mencuba untuk menanggalkannya, alat itu terus melekat dengan kuat. Alat itu bahkan dapat terus melekat walaupun ditarik dengan daya yang ratusan kali lebih berat daripada alat itu!

 Teknologi yang berdasarkan penyedut ikan remora dapat digunakan dalam pelbagai situasi. Misalnya, untuk kajian laut dalam, untuk melekatkan tanda pada hidupan laut yang dikaji, dan untuk melekatkan lampu atau alat pada permukaan jambatan atau kapal di bawah air.

 Apakah pendapat anda? Adakah penyedut ikan remora wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya pencipta?