Lompat ke kandungan

Apakah Itu Sepuluh Hukum Tuhan?

Apakah Itu Sepuluh Hukum Tuhan?

Jawapan Bible

 Sepuluh Hukum merupakan senarai perintah daripada Tuhan kepada bangsa Israel kuno. Perintah-perintah ini juga dikenali sebagai Sepuluh Firman, yang diterjemahkan daripada ungkapan Ibrani ʽaseʹreth had·deva·rimʹ. Ungkapan ini muncul sebanyak tiga kali dalam Taurat, iaitu lima buah buku pertama Bible. (Keluaran 34:28; Ulangan 4:​13; 10:4) Dalam Bahasa Inggeris, Sepuluh Hukum ini juga disebut sebagai “Decalogue”, yang berasal daripada ungkapan Yunani, deʹka (sepuluh) dan loʹgous (firman).

 Tuhan telah menuliskan Sepuluh Hukum pada dua keping batu tulis lalu memberikannya kepada Musa di Gunung Sinai. (Keluaran 24:12-​18) Sepuluh Hukum itu dicatatkan dalam Keluaran 20:​1-​17 dan Ulangan 5:​6-​21.

 Senarai Sepuluh Hukum

  1.   Menyembah Tuhan Yehuwa sahaja.​—Keluaran 20:3.

  2.   Jangan menyembah berhala.​—Keluaran 20:​4-6.

  3.   Jangan menyalahgunakan nama Tuhan.—Keluaran 20:7.

  4.   Merayakan hari Sabat.​—Keluaran 20:​8-​11.

  5.   Menghormati ibu bapa kamu.​—Keluaran 20:12.

  6.   Jangan membunuh.​—Keluaran 20:13.

  7.   Jangan berzina.​—Keluaran 20:14.

  8.   Jangan mencuri.​—Keluaran 20:15.

  9.   Jangan memberikan kesaksian palsu.​—Keluaran 20:16.

  10.   Jangan mengingini kepunyaan orang lain.​—Keluaran 20:17.

 Mengapakah sesetengah senarai Sepuluh Hukum berbeza?

 Bible tidak menetapkan nombor pada setiap hukum. Jadi, terdapat pandangan yang berbeza tentang susunan hukum-hukum tersebut. Senarai di atas ialah susunan yang biasa digunakan. Namun, ada juga senarai Sepuluh Hukum yang berbeza, terutamanya mengenai hukum yang pertama, kedua, dan terakhir. a

 Apakah tujuan Sepuluh Hukum?

 Sepuluh Hukum Tuhan merupakan sebahagian daripada Hukum Musa. Dalam hukum tersebut, terdapat lebih daripada 600 perintah yang membentuk suatu persetujuan, atau perjanjian, antara Tuhan dan bangsa Israel kuno. (Keluaran 34:27) Tuhan berjanji bahawa orang Israel akan makmur jika mereka mentaati Hukum Musa. (Ulangan 28:​1-​14) Namun, tujuan utama Hukum Musa ialah untuk mempersiapkan orang Israel supaya mereka beriman kepada Mesias, atau Kristus, yang dijanjikan.​—Galatia 3:​24.

 Perlukah orang Kristian mematuhi Sepuluh Hukum?

 Tidak. Hukum Musa, termasuk Sepuluh Hukum, hanya diberikan kepada orang Israel kuno sahaja. (Ulangan 5:​2, 3; Mazmur 147:19, 20) Orang Kristian tidak tertakluk kepada Hukum Musa, bahkan orang Kristian yang berbangsa Yahudi juga “tidak lagi terikat kepada Hukum.” (Roma 7:6) b Hukum Musa telah digantikan oleh “hukum Kristus” yang meliputi semua perintah Yesus kepada para pengikutnya.​—Galatia 6:2; Matius 28:19, 20.

 Adakah Sepuluh Hukum masih berguna pada hari ini?

 Ya. Sepuluh Hukum mencerminkan fikiran Tuhan, jadi kita masih memperoleh manfaat dengan mempelajarinya. (2 Timotius 3:​16, 17) Sepuluh Hukum itu adalah berdasarkan prinsip yang sahih, yang tidak lapuk ditelan zaman. (Mazmur 111:​7, 8) Sebenarnya, banyak prinsip yang sama juga terkandung dalam ajaran yang dicatatkan dalam bahagian Bible yang sering dikenali sebagai Perjanjian Baharu.​—Lihat “ Perjanjian Baharu menerapkan prinsip dalam Sepuluh Hukum.”

 Yesus mengajar bahawa seluruh Hukum Musa, termasuk Sepuluh Hukum, berdasarkan pada dua perintah. Yesus berkata, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.’ Inilah hukum pertama dan hukum yang terpenting. Hukum kedua, yang hampir sama dengannya ialah ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Seluruh Hukum dan Ajaran Para Nabi didasarkan pada kedua-dua hukum ini.” (Matius 22:34-​40) Jadi, walaupun orang Kristian tidak lagi mengikuti Hukum Musa, mereka masih perlu mengasihi Tuhan dan orang lain.​—Yohanes 13:34; 1 Yohanes 4:​20, 21.

  Perjanjian Baharu menerapkan prinsip dalam Sepuluh Hukum

Prinsip

Rujukan dalam Perjanjian Baharu

Menyembah Tuhan Yehuwa sahaja

Wahyu 22:​8, 9

Jangan menyembah berhala

1 Korintus 10:14

Menghormati nama Tuhan

Matius 6:9

Menyembah Tuhan secara tetap

Ibrani 10:24, 25

Menghormati ibu bapa kamu

Efesus 6:​1, 2

Jangan membunuh

1 Yohanes 3:​15

Jangan berzina

Ibrani 13:4

Jangan mencuri

Efesus 4:​28

Jangan memberikan kesaksian palsu

Efesus 4:​25

Jangan mengingini kepunyaan orang lain

Lukas 12:15

a The Jewish Encyclopedia menyatakan bahawa menurut tradisi orang Yahudi, Keluaran 20:2 dianggap sebagai hukum yang pertama, manakala ayat 3-6 dianggap sebagai hukum yang kedua. Gereja Katolik pula menganggap Keluaran 20:1-6 sebagai satu hukum. Jadi, hukum yang melarang seseorang daripada menyalahgunakan nama Tuhan menjadi hukum yang kedua. Hukum yang terakhir dibahagikan kepada dua (jangan menginginkan isteri orang lain dan jangan menginginkan harta orang lain) supaya jumlah hukum dalam senarai masih tetap sepuluh.

b Roma 7:7 menunjukkan bahawa Sepuluh Hukum ialah sebahagian daripada Hukum Musa, kerana hukum kesepuluh dalam senarai itu digunakan sebagai contoh untuk menjelaskan Hukum Musa.