Adakah Bible Meramalkan Cara Orang Berfikir dan Berkelakuan pada Zaman Kita?
Jawapan Bible
Ya, Bible telah menubuatkan bahawa cara kebanyakan orang berfikir dan berkelakuan akan menjadi semakin teruk pada zaman kita. Akibatnya, standard moral dunia ini akan merosot dan orang akan melayan satu sama lain dengan buruk. a (2 Timotius 3:1-5) Namun, Bible juga menubuatkan bahawa sesetengah orang tidak akan terikut-ikut dengan sikap negatif dunia ini. Sebaliknya, dengan bantuan Tuhan, mereka akan berusaha untuk melawan pengaruh negatif dunia dan menyelaraskan fikiran dan kelakuan mereka menurut kehendak Tuhan.—Yesaya 2:2, 3.
Dalam rencana ini
Apakah yang dinubuatkan Bible tentang fikiran dan kelakuan orang pada zaman kita?
Bagaimanakah orang yang mementingkan diri mempengaruhi orang lain?
Apakah sepatutnya reaksi kita semasa melihat perubahan negatif dalam kebanyakan orang?
Adakah keadaan masyarakat manusia akan menjadi begitu teruk sehingga tidak terkawal dan kacau-bilau?
Apakah yang dinubuatkan Bible tentang fikiran dan kelakuan orang pada zaman kita?
Bible menyatakan beberapa sifat dan kelakuan negatif yang berasal daripada sifat mementingkan diri. Hal ini akan menjadi kebiasaan bagi kebanyakan orang. Mereka akan “mencintai diri sendiri,” “tidak tahu mengawal diri,” dan “mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.”—2 Timotius 3:2-4.
Apa yang dikatakan Bible memang benar. Pada hari ini, kebanyakan orang sering kali hanya berfikir tentang diri sendiri, apa yang bermanfaat bagi mereka, apa yang membuat mereka gembira dan puas dengan kehidupan mereka, dan sebagainya. Semakin ramai orang mempunyai sikap sebegini, dan keadaannya semakin serius. Banyak orang mementingkan diri sehingga mereka “tidak mencintai kebaikan,” dan tidak menyukai sifat-sifat yang baik. Mereka juga “tidak tahu berterima kasih,” dan tidak berasa bahawa mereka perlu bersyukur atas apa yang dimiliki mereka atau apa yang dilakukan orang lain untuk mereka.—2 Timotius 3:2, 3.
Bible juga menubuatkan bahawa pada zaman kita, akan ada beberapa sikap lain yang juga berasal daripada sifat mementingkan diri:
Tamak. Ramai orang “mencintai wang” dan percaya bahawa wang dan harta benda mereka membuktikan kejayaan mereka.—2 Timotius 3:2
Sombong. Banyak orang akan “bercakap besar, bersikap angkuh,” dan “sombong.” (2 Timotius 3:2, 4) Orang sebegini membesar-besarkan kebolehan, sifat-sifat, atau kekayaan mereka.
Suka memfitnah. Ramai orang akan “menghina Tuhan” dan “suka memfitnah.” (2 Timotius 3:2, 3) Ungkapan-ungkapan ini merujuk kepada orang yang menghina atau berbohong tentang Tuhan atau orang lain.
Degil. Sikap orang yang “tidak setia,” “tidak mahu dibawa berbincang,” “suka berkhianat,” dan “keras kepala” berleluasa pada hari ini. (2 Timotius 3:2-4) Orang sebegini enggan dibawa berbincang, bekerjasama untuk mencari penyelesaian, atau menunaikan janji yang pernah dibuat mereka.
Ganas. Hari ini, ramai orang bersikap “garang” dan cepat naik marah. Hal ini sering menyebabkan mereka bertindak dengan ganas atau kejam.—2 Timotius 3:3.
Jahat. Yesus menubuatkan bahawa “kejahatan semakin bertambah” pada zaman kita. (Matius 24:12) Dia juga telah menubuatkan bahawa “keadaan yang huru-hara” akan berlaku di merata tempat.—Lukas 21:9.
Tidak mengasihi keluarga. Sikap “tidak mematuhi ibu bapa” dan “tidak memiliki kasih sayang” terhadap keluarga telah menyebabkan semakin ramai orang diabaikan, didera, atau dilayan dengan kejam oleh keluarga mereka.—2 Timotius 3:2, 3.
Berpura-pura alim. Terdapat ramai orang yang “nampaknya beribadat kepada Tuhan.” (2 Timotius 3:5) Namun, mereka tidak melakukan kehendak Tuhan. Sebaliknya, mereka mengikut arahan pemimpin agama yang memberitahu mereka apa yang mahu didengar oleh mereka.—2 Timotius 4:3, 4.
Bagaimanakah orang yang mementingkan diri mempengaruhi orang lain?
Oleh sebab ramai orang sangat mementingkan diri, semakin ramai orang menderita dari segi mental dan emosi. (Pengkhutbah 7:7) Sebagai contoh, sesetengah orang yang mencintai wang telah menipu atau mengambil kesempatan atas orang lain. Sesetengah orang yang tidak memiliki kasih sayang pula telah mendera ahli keluarga sendiri, sehingga menyebabkan mereka murung dan ingin membunuh diri. Selain itu, orang yang tidak setia atau yang suka berkhianat sering kali menyebabkan orang yang dikhianati mereka dilukai secara emosi.
Mengapakah kebanyakan orang akan menjadi semakin teruk?
Bible menjelaskan sebabnya yang sebenar:
Kasih sejati terhadap Tuhan dan orang lain semakin berkurang. (Matius 24:12) Akibatnya, sifat mementingkan diri semakin meningkat.
Syaitan Si Iblis telah diusir dari syurga dan sedang berada di bumi. (Wahyu 12:9, 12) Sejak itu, dia telah mempengaruhi manusia untuk lebih mementingkan diri.—1 Yohanes 5:19.
Apakah sepatutnya reaksi kita semasa melihat perubahan negatif dalam kebanyakan orang?
Firman Tuhan menyatakan, “Jauhkanlah dirimu daripada mereka semua.” (2 Timotius 3:5) Hal ini tidak bermaksud bahawa kita harus mengasingkan diri daripada masyarakat. Sebaliknya, kita harus mengelak daripada bergaul rapat dengan orang yang mementingkan diri dan yang tidak menghormati Tuhan.—Yakobus 4:4.
Adakah semua orang akan menjadi teruk?
Tidak. Bible menubuatkan bahawa sesetengah orang akan “mengeluh dan merintih atas segala perkara jijik yang dilakukan.” (Yehezkiel 9:4) Mereka akan hidup menurut standard Tuhan dan tidak mementingkan diri. Cara mereka bertutur dan bertindak akan jauh berbeza daripada kebanyakan orang. (Maleakhi 3:16, 18) Sebagai contoh, mereka akan berusaha untuk berdamai dengan semua orang dan enggan menyertai perang atau melakukan keganasan.—Mikha 4:3.
Adakah keadaan masyarakat manusia akan menjadi begitu teruk sehingga tidak terkawal dan kacau-bilau?
Tidak. Keadaan masyarakat manusia tidak akan sampai ke tahap itu. Hal ini kerana tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan semua orang yang enggan mematuhi standard-Nya. (Mazmur 37:38) Dia akan menubuhkan “bumi baharu,” iaitu sebuah masyarakat manusia yang baharu di bumi ini. Mereka akan tinggal di bumi selama-lamanya dengan damai. (2 Petrus 3:13; Mazmur 37:11, 29) Harapan ini bukanlah sebuah khayalan. Pada zaman sekarang, Bible sudah pun membantu orang membuat perubahan agar dapat hidup selaras dengan piawaian Tuhan yang benar.—Efesus 4:23, 24.
a Nubuat Bible dan keadaan dunia menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir,” yang dikatakan “genting” dan “sukar dihadapi.” (2 Timotius 3:1) Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Apakah Tanda ‘Hari-Hari Terakhir,’ atau ‘Akhir Zaman’?”