Adakah Binatang Masuk Syurga?
Jawapan Bible
Menurut Bible, hanya segelintir manusia antara semua makhluk hidup di bumi yang akan pergi ke syurga. (Wahyu 14:1, 3) Mereka pergi ke syurga untuk memerintah sebagai raja dan imam bersama Yesus. (Lukas 22:28-30; Wahyu 5:9, 10) Kebanyakan manusia akan dibangkitkan dan hidup di bumi firdaus.—Mazmur 37:11, 29.
Bible tidak pernah menyebut tentang sebuah syurga untuk binatang kesayangan. Hal ini kerana binatang tidak layak untuk “dipanggil ke syurga.” (Ibrani 3:1) Binatang tidak dapat mengenali Tuhan dan Yesus, tidak boleh menunjukkan iman, dan tidak mampu mentaati perintah Tuhan. (Matius 19:17; Yohanes 3:16; 17:3) Hanya manusia sahaja yang diciptakan dengan harapan untuk hidup selama-lamanya.—Kejadian 2:16, 17; 3:22, 23.
Makhluk di bumi mesti dibangkitkan terlebih dahulu untuk pergi ke syurga. (1 Korintus 15:42) Bible pernah menyebut tentang beberapa kisah pembangkitan. (1 Raja-Raja 17:17-24; 2 Raja-Raja 4:32-37; 13:20, 21; Lukas 7:11-15; 8:41, 42, 49-56; Yohanes 11:38-44; Kisah 9:36-42; 20:7-12) Namun, dalam setiap peristiwa ini, manusialah yang dibangkitkan, bukan binatang.
Apakah yang berlaku apabila binatang mati?
Bible mengatakan bahawa semua makhluk hidup, termasuk binatang dan manusia, diciptakan daripada “tanah” dan diberikan “nafas kehidupan.” (Kejadian 1:24; 2:7) Bible juga mengajar bahawa binatang dan manusia akan mati, dan akhirnya “kembali ke tanah.” (Pengkhutbah 3:19, 20) Maksudnya, binatang dan manusia yang sudah mati tidak lagi wujud. a
Adakah binatang berdosa?
Tidak. Binatang tidak boleh membuat keputusan berdasarkan prinsip moral, jadi binatang tidak dapat memikirkan atau melakukan sesuatu yang melanggar perintah Tuhan. Binatang biasanya bertindak mengikut naluri. (2 Petrus 2:12) Walaupun binatang tidak berdosa, jangka hayat binatang tetap terhad dan akhirnya akan mati.
Apakah pandangan Tuhan terhadap penderaan binatang?
Tuhan memberi manusia kekuasaan atas binatang, tetapi tidak memberikan hak untuk mendera binatang. (Kejadian 1:28; Mazmur 8:6-8) Tuhan mengambil berat terhadap semua binatang, termasuk burung kecil. (Yunus 4:11; Matius 10:29) Tuhan juga memberi perintah kepada penyembah-Nya untuk bertimbang rasa terhadap binatang.—Keluaran 23:12; Ulangan 25:4; Amsal 12:10.