Lompat ke kandungan

Adakah Tuhan Menggunakan Evolusi untuk Menciptakan Pelbagai Jenis Hidupan?

Adakah Tuhan Menggunakan Evolusi untuk Menciptakan Pelbagai Jenis Hidupan?

Jawapan Bible

 Tidak. Bible menyatakan dengan jelas bahawa Tuhan menciptakan manusia dan berbagai-bagai jenis binatang dan tumbuhan. a (Kejadian 1:12, 21, 25, 27; Wahyu 4:11) Bible menjelaskan bahawa semua manusia merupakan keturunan Adam dan Hawa, iaitu pasangan manusia yang pertama. (Kejadian 3:20; 4:1) Catatan Bible tidak menyokong teori “evolusi teistik,” iaitu teori bahawa Tuhan menggunakan evolusi untuk menghasilkan pelbagai jenis hidupan. Bible juga tidak membantah pandangan ahli sains yang menyatakan bahawa variasi, atau perbezaan, dapat wujud dalam setiap jenis hidupan. b

 Adakah Tuhan menciptakan hidupan melalui evolusi?

 Istilah “evolusi teistik” merangkumi pelbagai idea. Menurut Encyclopædia Britannica, istilah ini mengajarkan idea bahawa “Tuhan menggunakan pemilihan semula jadi untuk mengawal apa yang berlaku dalam alam semula jadi.”

 Evolusi teistik juga merangkumi idea-idea berikut:

  •   Semua makhluk hidup berasal daripada nenek moyang yang sama pada masa lampau.

  •   Satu jenis hidupan dapat berevolusi menjadi jenis hidupan yang sangat berbeza. Konsep ini ada kalanya dipanggil makroevolusi.

  •   Tuhanlah yang menyebabkan semua proses ini berlaku.

 Adakah evolusi selaras dengan ajaran Bible?

 Menurut teori evolusi teistik, kisah penciptaan dalam buku Kejadian tidak tepat sepenuhnya. Namun, Yesus menyatakan bahawa catatan dalam buku Kejadian merupakan fakta sejarah. (Kejadian 1:26, 27; 2:18-24; Matius 19:4-6) Bible menyatakan bahawa sebelum Yesus datang ke bumi, dia tinggal di syurga bersama Tuhan dan membantu Tuhan menjadikan “segala-galanya.” (Yohanes 1:3) Oleh itu, ajaran bahawa Tuhan menciptakan pelbagai jenis hidupan melalui evolusi tidak selaras dengan ajaran Bible.

 Bagaimana pula dengan kebolehan tumbuhan dan binatang untuk menyesuaikan diri?

 Bible tidak menyatakan seberapa besarnya variasi yang dapat berlaku dalam satu jenis hidupan. Ajaran Bible tidak bercanggahan dengan hakikat bahawa variasi dapat berlaku semasa pelbagai jenis binatang dan tumbuhan yang diciptakan oleh Tuhan membiak atau menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Sesetengah orang menganggap variasi ini sebagai proses evolusi, tetapi perubahan itu tidak menghasilkan jenis hidupan yang baharu.

a Perkataan “jenis” dalam Bible membawa maksud yang lebih luas daripada perkataan “spesies” yang digunakan oleh ahli sains. Ada kalanya ahli sains berkata bahawa spesies yang baharu telah muncul melalui evolusi, tetapi sebenarnya apa yang berlaku itu ialah variasi dalam jenis hidupan yang sama. Itulah perkataan “jenis” yang digunakan dalam buku Kejadian.

b Konsep ini ada kalanya dipanggil mikroevolusi.