Adakah Tuhan Mengubah Fikiran-Nya?
Jawapan Bible
Ya. Apabila seseorang mengubah kelakuannya, Tuhan akan mengubah pandangan-Nya terhadap orang itu. Misalnya, apabila Tuhan menyampaikan berita penghakiman kepada bangsa Israel kuno, Dia berfirman, “Jika mereka mendengar dan berpaling daripada haluan mereka yang jahat, Aku akan mengubah fikiran-Ku dan niat-Ku untuk mendatangkan malapetaka atas mereka kerana perbuatan jahat mereka.”—Yeremia 26:3.
Banyak terjemahan Bible menyatakan bahawa Tuhan “bertaubat” dan tidak lagi ingin menghukum orang Israel. Hal ini dapat memberikan fahaman yang salah bahawa Tuhan telah membuat keputusan yang salah. Tetapi, dalam bahasa Ibrani yang asal, perkataan “bertaubat” membawa maksud “mengubah fikiran atau niat.” Seorang cendekiawan menulis, “Jika manusia mengubah tingkah lakunya, Tuhan juga akan mengubah keputusan-Nya.”
Tetapi biarpun Tuhan dapat mengubah fikiran-Nya, hal ini tidak bererti bahawa Dia wajib mengubah fikiran-Nya. Bible menunjukkan bahawa kadangkala Tuhan tidak mengubah fikiran-Nya. Berikut merupakan beberapa contoh:
Tuhan tidak mengubah fikiran-Nya dan tidak mengizinkan Balak untuk mengutuk bangsa Israel.—Bilangan 23:18-20.
Raja Saul menjadi jahat dan enggan bertaubat, maka Tuhan pun menolaknya sebagai raja dan tidak mengubah fikiran-Nya.—1 Samuel 15:28, 29.
Tuhan akan menunaikan janji-Nya untuk melantik Anak-Nya sebagai imam buat selama-lamanya, dan Dia tidak sekali-kali akan mengubah fikiran-Nya.—Mazmur 110:4.
Bukankah Bible menyatakan bahawa Tuhan tidak pernah berubah?
Ya. Tuhan pernah berfirman, “Akulah Yehuwa dan Aku tidak berubah.” (Maleakhi 3:6) Bible juga menyatakan bahawa Tuhan “tidak berubah-ubah seperti bayang-bayang.” (Yakobus 1:17) Tetapi hal ini tidak bercanggahan dengan ayat-ayat Bible yang menyatakan bahawa Tuhan mengubah fikiran-Nya. Tuhan tidak berubah dari segi keperibadian-Nya dan piawaian-Nya tentang kasih dan keadilan. (Ulangan 32:4; 1 Yohanes 4:8) Biarpun begitu, Dia juga akan bertindak mengikut keadaan dan memberikan arahan yang berlainan kepada umat-Nya. Contohnya, Tuhan pernah memberikan dua arahan yang berlainan kepada Raja Daud, tetapi kedua-dua arahan itu membawa kemenangan kepada Daud.—2 Samuel 5:18-25.
Adakah Tuhan menyesal bahawa Dia menciptakan manusia?
Tidak. Tetapi Dia berasa kecewa apabila kebanyakan orang tidak mempedulikan-Nya atau memberontak terhadap-Nya. Berkenaan keadaan sebelum Banjir Besar pada zaman Nuh, Bible menyatakan, “Yehuwa kecewa dan sakit hati kerana Dia telah menciptakan manusia di bumi.” (Kejadian 6:6) Perkataan “kecewa” dalam ayat ini berasal daripada perkataan Ibrani “bertaubat,” yang membawa erti “mengubah fikiran.” Tuhan mengubah fikiran-Nya tentang kebanyakan orang yang hidup sebelum Banjir Besar kerana mereka jahat. (Kejadian 6:5, 11) Meskipun Dia bersedih kerana mereka memilih haluan hidup yang buruk, Dia tidak mengubah fikiran-Nya terhadap seluruh umat manusia. Melalui Nuh dan keluarganya, Tuhan memastikan bahawa umat manusia tidak dilenyapkan semasa Banjir Besar.—Kejadian 8:21; 2 Petrus 2:5, 9.