Lompat ke kandungan

Adakah Yesus Mati pada Salib?

Adakah Yesus Mati pada Salib?

Jawapan Bible

 Ramai orang menganggap salib sebagai lambang utama agama Kristian. Namun, Bible tidak memberikan gambaran tentang alat yang dikaitkan dengan kematian Yesus. Jadi, tiada sesiapa pun yang tahu akan bentuknya dengan pasti. Walau bagaimanapun, Bible memberikan bukti bahawa Yesus mati pada tiang kayu yang tegak, dan bukannya pada salib.

 Pada umumnya, perkataan Yunani stau·rosʹ digunakan dalam Bible untuk merujuk kepada alat yang digunakan semasa Yesus dibunuh. (Matius 27:40; Yohanes 19:17) Walaupun perkataan ini sering diterjemahkan sebagai “salib” dalam banyak terjemahan, ramai cendekiawan setuju bahawa perkataan itu membawa erti “tiang kayu yang tegak.” a Menurut kamus A Critical Lexicon and Concordance to the English and Greek New Testament, perkataan stau·rosʹ “tidak pernah membawa erti dua batang kayu yang dipasang bersilang pada sudut yang tertentu.”

 Bible juga menggunakan perkataan Yunani xyʹlon sebagai sinonim bagi perkataan stau·rosʹ. (Kisah 5:​30; 1 Petrus 2:​24) Perkataan ini membawa erti “kayu,” “tiang,” atau “pokok.” b Oleh itu, The Companion Bible menyimpulkan bahawa “tidak ada apa-apa pun yang dinyatakan dalam bahasa Yunani dalam [Perjanjian Baharu] yang memberikan gambaran dua batang kayu.”

Adakah penggunaan salib dalam ibadat diterima oleh Tuhan?

Crux simplex​—Istilah Latin yang merujuk kepada sebatang tiang yang digunakan untuk menggantung seorang penjenayah

 Tidak kira apa jua bentuk alat yang digunakan semasa Yesus dibunuh, fakta dan ayat-ayat Bible berikut menunjukkan bahawa kita tidak harus menggunakan salib dalam ibadat kita.

  1.   Tuhan menolak ibadat yang menggunakan patung atau lambang, termasuk salib. Tuhan melarang bangsa Israel daripada menggunakan “patung atau lambang dalam apa-apa bentuk pun” dalam ibadat mereka. Orang Kristian juga diperintahkan untuk ‘menjauhkan diri daripada penyembahan berhala.’​—Ulangan 4:​15-​19; 1 Korintus 10:14.

  2.   Orang Kristian abad pertama tidak menggunakan salib dalam ibadat mereka. c Semua orang Kristian harus mengikut ajaran dan teladan yang ditetapkan oleh para rasul.​—2 Tesalonika 2:​15.

  3.   Penggunaan salib berasal daripada ibadat orang kafir. d Ratusan tahun setelah kematian Yesus, semasa ajaran gereja telah tersimpang daripada ajaran Yesus, ahli baharu gereja “dibenarkan untuk terus menggunakan lambang dan simbol agama kafir mereka,” termasuk menggunakan salib. (The Expanded Vine’s Expository Dictionary of New Testament Words) Namun, Bible mengutuk amalan menggunakan lambang kafir bagi menarik orang untuk memeluk agama Kristian.​—2 Korintus 6:​17.

a Lihat New Bible Dictionary, Edisi Ketiga, disunting oleh D. R. W. Wood, muka 245; Theological Dictionary of the New Testament, Jilid VII, muka 572; The International Standard Bible Encyclopedia, Edisi Semakan, Jilid 1, muka 825; dan The Imperial Bible-Dictionary, Jilid II, muka 84.

b Lihat The Expanded Vine’s Expository Dictionary of New Testament Words, muka 1165; A Greek-English Lexicon, oleh Liddell dan Scott, Edisi Kesembilan, muka 1191-​1192; dan Theological Dictionary of the New Testament, Jilid V, muka 37.

c Lihat Encyclopædia Britannica, 2003, bahagian “Salib”; The Cross​—Its History and Symbolism, muka 40; dan The Companion Bible, Oxford University Press, lampiran 162, muka 186.

d Lihat The Encyclopedia of Religion, Jilid 4, muka 165; The Encyclopedia Americana, Jilid 8, muka 246; dan Symbols Around Us, muka 205-​207.