Lompat ke kandungan

Siapakah atau Apakah “Alfa dan Omega?”

Siapakah atau Apakah “Alfa dan Omega?”

Jawapan Bible

 “Alfa dan Omega” merujuk kepada Tuhan Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa. Ungkapan ini muncul tiga kali dalam Bible.​—Wahyu 1:8; 21:6; 22:13. a

Mengapakah Tuhan memanggil diri-Nya sebagai “Alfa dan Omega”?

 Buku Wahyu terkandung dalam bahagian Bible yang sering dikenali sebagai Perjanjian Baharu, yang asalnya ditulis dalam bahasa Yunani. Alfa dan Omega merupakan huruf pertama dan huruf terakhir dalam bahasa Yunani. Kedudukan kedua-dua huruf ini digunakan untuk menggambarkan bahawa Yehuwalah merupakan yang mula dan yang akhir. (Wahyu 21:6) Dia senantiasa wujud sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa, dan Dialah satu-satunya “Tuhan yang kekal selama-lamanya.”​—Mazmur 90:2.

Siapakah “yang pertama dan yang terakhir”?

 Bible menggunakan ungkapan ini untuk merujuk kepada Tuhan Yehuwa dan juga anak-Nya, Yesus. Namun, ungkapan ini tidak selalunya membawa maksud yang sama. Perhatikan dua contoh.

  •   Di Yesaya 44:6, Yehuwa berfirman: “Akulah yang pertama dan yang terakhir. Tidak ada Tuhan selain Aku.” Di sini, Yehuwa ingin menekankan bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang benar untuk selama-lamanya, dan tiada Tuhan lain kecuali Dia. (Ulangan 4:​35, 39) Jadi, ungkapan “yang pertama dan yang terakhir” di sini membawa maksud yang sama dengan “Alfa dan Omega.”

  •   Ungkapan “yang Pertama [pro’tos, bukan alfa] dan yang Terakhir [e’skha·tos, bukan omega]” juga muncul di Wahyu 1:​17, 18 dan 2:8. Konteks ayat-ayat ini menunjukkan bahawa orang yang diberi gelaran itu pernah mati dan kemudian hidup semula. Sudah tentu, ayat-ayat ini tidak merujuk kepada Tuhan kerana Dia tidak dapat mati. (Habakuk 1:​12) Namun, Yesus pernah mati dan dibangkitkan. (Kisah 3:​13-​15) Dia merupakan manusia pertama yang dibangkitkan sebagai roh yang tidak dapat mati dan boleh hidup buat selama-lamanya di syurga. (Wahyu 1:​18; Kolose 1:​18) Yesuslah yang akan membangkitkan orang mati selepas itu. (Yohanes 6:​40, 44) Oleh itu, Yesus juga menjadi manusia terakhir yang dibangkitkan oleh Tuhan sendiri. (Kisah 10:40) Jadi, Yesus juga dikatakan sebagai “yang Pertama dan yang Terakhir.”

Adakah Wahyu 22:13 membuktikan bahawa Yesus ialah “Alfa dan Omega”?

 Tidak. Bible tidak memberitahu kita siapa yang sedang bercakap di Wahyu 22:13, dan pelbagai watak telah bercakap dalam bab ini. Dalam buku The Revelation of John, Profesor William Barclay juga setuju bahawa adalah susah untuk menentukan siapa yang sedang bercakap dalam Wahyu bab 22. Jadi, “Alfa dan Omega” di Wahyu 22:13 juga boleh merujuk kepada Tuhan Yehuwa, seperti yang dikatakan di ayat-ayat lain dalam buku Wahyu.

a Ungkapan ini juga muncul buat kali keempat di Wahyu 1:​11 dalam Bible King James Version. Namun, kebanyakan terjemahan moden mengeluarkan ungkapan ini kerana manuskrip Yunani kuno tidak mengandungi ungkapan ini yang nampaknya telah ditambah dalam salinan kemudian.