Mengapakah Terdapat Begitu Banyak Aliran Kristian?
Jawapan Bible
Ramai orang menggunakan ajaran Yesus Kristus untuk membentuk pelbagai aliran “Kristian.” Namun, Bible menyatakan bahawa hanya ada satu aliran Kristian yang benar. Pertimbangkan tiga sebab berikut.
Yesus berkata bahawa dia mengajarkan “kebenaran,” dan penganut Kristian yang awal merujuk kepada agama mereka sebagai “kebenaran.” (Yohanes 8:32; 2 Petrus 2:2; 2 Yohanes 4; 3 Yohanes 3) Ungkapan ini menunjukkan bahawa orang yang mengajarkan ajaran yang bercanggah dengan ajaran Yesus tidak mengamalkan aliran Kristian yang benar.
Bible mengajar bahawa orang Kristian harus “seia sekata dalam percakapan.” (1 Korintus 1:10) Tetapi, kebanyakan cabang Kristian tidak setuju dengan ajaran yang asas seperti apa maksudnya menjadi orang Kristian. Tidak mungkin aliran-aliran sedemikian semuanya benar.—1 Petrus 2:21.
Yesus bernubuat bahawa akan ada ramai orang yang mengakui diri mereka sebagai Kristian tetapi tidak mematuhi perintahnya dan dia akan menolak mereka. (Matius 7:21-23; Lukas 6:46) Sesetengah orang diperdaya oleh pemimpin agama yang mencemarkan penyembahan sejati demi kepentingan diri. (Matius 7:15) Manakala yang lain pula mengikut orang yang kononnya bergelar Kristian kerana pemimpin agama memberitahu mereka apa yang ingin didengari mereka dan bukannya kebenaran Bible.—2 Timotius 4:3, 4.
Dalam perumpamaan Yesus tentang gandum dan lalang, dia bernubuat bahawa perpecahan (kemurtadan) akan wujud dalam kalangan orang Kristian. (Matius 13:24-30, 36-43) Maka, untuk suatu jangka masa yang lama, orang Kristian sejati dan orang Kristian palsu susah dibezakan. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, kemurtadan berlaku selepas kematian para rasul. (Kisah 20:29, 30) Mereka yang murtad ini mempunyai ajaran yang berbeza-beza dan kemudiannya menghasilkan pelbagai aliran yang “menyimpang daripada kebenaran.”—2 Timotius 2:18.
Yesus juga bernubuat bahawa lambat laun perbezaan antara orang Kristian sejati dengan orang Kristian palsu akan jelas kelihatan. Hal ini berlaku pada zaman kita, semasa “penghujung sistem dunia ini.”—Matius 13:30, 39.