Apakah Itu Pengampunan?
Jawapan Bible
Pengampunan merujuk kepada tindakan memaafkan kesalahan seseorang. Dalam Bible, istilah Yunani yang diterjemahkan sebagai “pengampunan” membawa maksud “membatalkan” atau “menyingkirkan.” Istilah ini boleh merujuk kepada seseorang yang tidak menuntut bayaran daripada penghutangnya. Yesus menggunakan perbandingan ini semasa mengajar pengikutnya cara untuk berdoa, “Ampunkanlah dosa kami, kerana kami juga mengampuni semua orang yang berhutang terhadap kami.” (Lukas 11:4, nota kaki) Dalam perumpamaannya tentang seorang hamba yang tidak berbelas kasihan, Yesus juga menyamakan pengampunan dengan pembatalan hutang.—Matius 18:23-35.
Kita mengampuni orang lain apabila kita tidak menyimpan dendam walaupun disakiti atau mengalami kerugian. Hal itu juga bermaksud kita rela melepaskan hak kita untuk mendapatkan ganti rugi. Bible mengajarkan bahawa kasih yang tidak mementingkan diri dapat mendorong kita untuk mengampuni orang dengan ikhlas, kerana kasih “tidak menyimpan dendam apabila dilukai.”—1 Korintus 13:4, 5.
Pengampunan tidak bermaksud:
Menutup sebelah mata terhadap kesalahan yang dilakukan. Bible mengutuk orang yang mengatakan bahawa perbuatan yang jahat itu tidak salah.—Yesaya 5:20.
Menganggap kesalahan itu tidak pernah berlaku. Tuhan mengampuni dosa serius yang dilakukan oleh Raja Daud, tetapi Dia tidak melindungi Daud daripada akibat perbuatannya. Tuhan bahkan memastikan dosa Daud dicatatkan sebagai pengajaran bagi kita hari ini.—2 Samuel 12:9-13.
Membiarkan orang lain mengambil kesempatan terhadap kita. Bayangkan anda meminjamkan wang kepada seseorang, tetapi dia membazirkan wang itu dan tidak mampu membayar balik seperti yang dijanjikannya. Dia amat menyesal lalu meminta maaf daripada anda. Anda boleh memilih untuk mengampuninya dengan tidak menyimpan dendam, tidak mengungkit-ungkit hal itu, dan bahkan mungkin membatalkan hutang tersebut. Namun, anda juga mungkin memutuskan untuk tidak meminjamkan wang kepadanya lagi.—Mazmur 37:21; Amsal 14:15; 22:3; Galatia 6:7.
Mengampuni orang yang tidak layak menerimanya. Tuhan tidak mengampuni orang yang melakukan dosa secara sengaja. Jika seseorang membuat salah, tetapi enggan mengakui kesalahannya, tidak mahu berubah, dan tidak meminta maaf, orang tersebut tidak akan menerima pengampunan daripada Tuhan. (Amsal 28:13; Kisah 26:20; Ibrani 10:26) Orang yang enggan bertaubat akan menjadi musuh Tuhan, dan kita tidak perlu mengampuni orang yang tidak diampuni oleh Tuhan.—Mazmur 139:21, 22.
Bagaimana jika anda diperlakukan dengan kejam, dan orang yang bersalah itu pula enggan meminta maaf atau tidak mengakui perbuatannya? Bible menyatakan, “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu.” (Mazmur 37:8) Meskipun anda tidak setuju dengan perbuatannya, anda boleh memilih untuk mengawal perasaan marah. Yakinlah bahawa Tuhan akan membalas perbuatan jahat orang tersebut. (Ibrani 10:30, 31) Janji Tuhan mengenai masa depan juga dapat melegakan hati anda. Pada masa itu, kita tidak akan lagi berasa sakit hati akibat perkara jahat yang kita alami sekarang.—Yesaya 65:17; Wahyu 21:4.
Menganggap bahawa setiap perkara kecil pun perlu “diampuni.” Walaupun kita mungkin berasa tersinggung, hal itu tidak semestinya bermaksud orang lain telah berbuat salah dan perlu diampuni. Ada kalanya kita mungkin perlu mengakui bahawa kita terlalu sensitif dan sebenarnya tiada alasan untuk menyalahkan orang lain. Bible berkata, “Jangan cepat tersinggung kerana hanya orang bodoh yang cepat tersinggung.”—Pengkhutbah 7:9.
Cara mengampuni seseorang
Ingat tentang maksud pengampunan. Pengampunan tidak bermaksud anda menutup sebelah mata terhadap kesalahan yang dilakukan, atau menganggap kesalahan itu tidak pernah berlaku. Anda cuma memilih untuk tidak menyimpan dendam.
Sedar bahawa mengampuni orang lain membawa manfaat. Apabila kita menyingkirkan kemarahan dan tidak menyimpan dendam, kita menjadi lebih tenang, sihat, dan bahagia. (Amsal 14:30; Matius 5:9) Yang lebih penting lagi, Tuhan hanya akan mengampuni dosa kita jika kita mengampuni orang lain terlebih dahulu.—Matius 6:14, 15.
Memupuk sifat empati. Kita semua manusia yang tidak sempurna. (Yakobus 3:2) Sebagaimana kita ingin orang lain mengampuni kita, kita juga harus mengampuni kesalahan orang lain.—Matius 7:12.
Bersifat munasabah. Apabila kita rasa tersinggung atas hal-hal yang remeh, terapkanlah nasihat Bible ini: “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain.”—Kolose 3:13.
Bertindaklah dengan segera. Ampunilah orang lain dengan secepat mungkin dan jangan membiarkan kemarahan berlanjutan.—Efesus 4:26, 27.