Apakah Maksud 666?
Jawapan Bible
Menurut buku terakhir dalam Bible, 666 ialah nama seekor binatang buas yang keluar dari laut. Binatang buas itu mempunyai 10 tanduk dan tujuh kepala. (Wahyu 13:1, 17, 18) Binatang itu melambangkan sistem politik sedunia yang memerintah “setiap suku, kaum, bahasa, dan bangsa.” (Wahyu 13:7) Nama 666 menunjukkan bahawa sistem politik ini telah gagal sepenuhnya di mata Tuhan. Mengapa?
Bukan sekadar nama. Nama yang diberikan oleh Tuhan membawa makna tertentu. Misalnya, pada zaman kuno, Tuhan mengubah nama seorang lelaki daripada Abram kepada Abraham. Abram bererti “Bapa yang Ditinggikan.” Abraham pula bererti “Bapa kepada Banyak Orang.” Tuhan mengubah nama Abraham kerana Dia telah berjanji bahawa Abraham akan menjadi “bapa kepada banyak bangsa.” (Kejadian 17:5, nota-nota kaki) Begitu juga, Tuhan menamakan binatang buas itu 666 kerana nama itu mencerminkan sifat-sifat binatang itu.
Nombor enam membawa erti ketidaksempurnaan. Dalam Bible, nombor biasanya digunakan secara simbolik. Tujuh biasanya melambangkan kesempurnaan. Enam kurang daripada tujuh, maka enam boleh digunakan untuk merujuk kepada kekurangan atau ketidaksempurnaan di mata Tuhan. Enam juga dikaitkan dengan musuh-musuh Tuhan.—1 Tawarikh 20:6; Daniel 3:1.
Disebut tiga kali untuk penegasan. Bible kadangkala menekankan sesuatu dengan menyebutkannya sebanyak tiga kali. (Wahyu 4:8; 8:13) Maka nama 666 menekankan bahawa di mata Tuhan, sistem politik manusia telah gagal sepenuhnya. Manusia tidak dapat membawa keamanan dan kedamaian yang kekal. Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat berbuat demikian.
Tanda binatang buas
Bible menyatakan bahawa orang mendapat “tanda binatang buas” kerana mereka menyanjung binatang buas itu, dan bahkan menyembahnya. (Wahyu 13:3, 4; 16:2) Mereka berbuat demikian dengan memuja negara mereka, lambang-lambang kebangsaan, dan kekuatan tenteranya. Seperti yang dinyatakan The Encyclopedia of Religion, “Nasionalisme adalah seperti agama yang besar pengaruhnya dalam dunia moden ini.” a
Apakah maksudnya apabila orang menerima tanda binatang buas ini pada tangan kanan atau dahi mereka? (Wahyu 13:16) Tuhan pernah memerintahkan orang Israel, “Kamu harus sentiasa mengingati kata-kata itu, seolah-olah mengikatkannya pada lengan kamu dan pada dahi kamu.” (Ulangan 11:18) Hal ini tidak bererti bahawa orang Israel perlu menandakan tangan dan dahi mereka secara harfiah. Sebaliknya hal ini bererti bahawa mereka harus membenarkan kata-kata Tuhan untuk membimbing perbuatan dan tindakan mereka. Demikian juga, seseorang yang menerima tanda binatang buas itu tidak bererti bahawa dia perlu menandakan badannya dengan nombor “666” secara harfiah. Sebaliknya, hal ini bererti bahawa dia membenarkan sistem politik dunia ini mengawal kehidupannya. Orang yang mempunyai tanda ini ialah musuh Tuhan.—Wahyu 14:9, 10; 19:19-21.
a Lihat juga Nationalism in a Global Era, muka surat 134, dan Nationalism and the Mind: Essays on Modern Culture, muka surat 94.