Apakah Maksudnya Menjadi Suci?
Jawapan Bible
Menjadi suci membawa erti menghindarkan diri daripada hal-hal yang menajiskan. Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “suci” berasal daripada suatu istilah yang bermaksud “diasingkan.” Sesuatu yang suci adalah bersifat bersih dan murni, lalu diasingkan daripada penggunaan umum untuk memenuhi tujuan yang tertentu.
Hanya Tuhan sahaja yang maha suci. Bible berfirman, “Tiada sesiapa yang suci seperti Yehuwa.” a (1 Samuel 2:2) Oleh itu, Tuhan berhak menentukan piawaian tentang apa yang suci.
Perkataan “suci” boleh digunakan untuk merujuk kepada apa-apa yang berkaitan dengan Tuhan, terutamanya hal-hal yang diasingkan untuk kegunaan ibadat. Contohnya, Bible menyebut tentang:
Tempat yang suci: Tuhan memberitahu Musa semasa dia berdekatan dengan semak yang bernyala bahawa dia sedang “berdiri di atas tanah yang suci.”—Keluaran 3:2-5.
Peristiwa yang suci: Orang Israel kuno selalu berkumpul untuk menyembah Yehuwa pada “hari perhimpunan ibadat yang suci.”—Imamat 23:37, Alkitab Versi Borneo.
Alat-alat yang suci: Alat-alat yang digunakan dalam Rumah Tuhan di Yerusalem untuk tujuan ibadat dipanggil “peralatan suci.” (1 Raja-Raja 8:4) Alat-alat yang suci ini perlu dijaga dengan penuh hormat, tetapi tidak harus disembah. b
Bolehkah seseorang yang tidak sempurna menjadi suci?
Boleh. Tuhan memberi perintah kepada orang Kristian, “Kamu mesti suci, kerana Aku suci.” (1 Petrus 1:16) Sudah tentu, manusia yang tidak sempurna tidak dapat mencapai tahap kesucian Tuhan yang sempurna. Namun, mereka yang mentaati hukum Tuhan boleh dianggap sebagai orang yang “suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan.” (Roma 12:1) Seseorang yang berusaha menjadi suci akan mencerminkan sifat ini melalui kata-kata dan perbuatannya. Contohnya, dia akan mengikut nasihat Bible untuk “menjadi suci dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral” dan juga “menjadi suci seperti [Tuhan] dalam segala tingkah laku kamu.”—1 Tesalonika 4:3; 1 Petrus 1:15.
Mungkinkah seseorang yang pada mulanya suci dalam pandangan Tuhan menjadi tidak suci kemudian?
Ya, hal itu boleh berlaku. Jika seseorang tidak lagi mengikut piawaian Tuhan, Tuhan tidak akan memandangnya sebagai orang yang suci. Sebagai contoh, buku Ibrani dalam Bible ditulis kepada “saudara-saudara yang suci”, tetapi jika mereka tidak berjaga-jaga, mereka mungkin akan “meninggalkan Tuhan yang hidup sehingga mempunyai hati yang jahat dan tidak beriman.”—Ibrani 3:1, 12.
Tanggapan yang salah mengenai kesucian
Tanggapan yang salah: Seseorang yang ingin menjadi suci mesti menyakiti dan menahan diri daripada menikmati apa-apa dalam kehidupan.
Kebenaran: Bible memberitahu kita bahawa perbuatan “menyeksa tubuh dengan teruk,” ataupun melarang diri daripada menikmati sebarang keseronokan, sebenarnya “tidak dapat membantu” kita menjadi lebih suci. (Kolose 2:23) Sebaliknya, Tuhan ingin kita menikmati perkara yang baik. “Mereka harus makan, minum, dan menikmati hasil kerja keras mereka. Hal ini ialah pemberian daripada Tuhan.”—Pengkhutbah 3:13.
Tanggapan yang salah: Seseorang menjadi lebih suci jika dia tetap membujang.
Kebenaran: Walaupun seseorang Kristian boleh memilih untuk hidup bujang, hal itu tidak semestinya membuat seseorang suci dalam pandangan Tuhan. Orang yang bujang dapat menumpukan perhatian kepada ibadat mereka. (1 Korintus 7:32-34) Namun, Bible menunjukkan bahawa orang yang sudah berkahwin juga boleh menjadi suci. Sebenarnya, Petrus, yang merupakan salah seorang para rasul Yesus, telah berkahwin.—Matius 8:14; 1 Korintus 9:5.
a Yehuwa merupakan nama peribadi Tuhan. Beratusan ayat Bible mengaitkan nama ini dengan perkataan “suci” dan “kesucian.”
b Bible mengutuk penyembahan berhala.—1 Korintus 10:14.