Apakah Ajaran Bible Mengenai Bahasa Roh?
Jawapan Bible
Pada abad pertama, sesetengah orang Kristian diberi kebolehan secara mukjizat untuk “bercakap dalam bahasa-bahasa lain,” walaupun mereka tidak pernah mempelajari bahasa-bahasa tersebut. (Kisah 10:46) Ada kalanya ungkapan “bahasa-bahasa lain” ini juga disebut sebagai “bahasa roh.” Orang lain yang fasih dalam bahasa tersebut segera memahami apa yang dituturkan oleh mereka yang bercakap dalam pelbagai bahasa. (Kisah 2:4-8) Kebolehan untuk bercakap dalam bahasa lain ini merupakan salah satu kurniaan kuasa suci Tuhan yang diberikan kepada sebilangan orang Kristian pada abad pertama.—Ibrani 2:4; 1 Korintus 12:4, 30.
Bilakah dan di manakah kurniaan untuk bercakap dalam bahasa lain bermula?
Mukjizat ini berlaku buat kali pertama pada waktu pagi semasa Perayaan Pentakosta tahun 33 M di Yerusalem. Kira-kira 120 orang murid Yesus sedang berkumpul untuk berdoa, kemudian “mereka semua dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan dan mula bercakap dalam pelbagai bahasa.” (Kisah 1:15; 2:1-4) Ramai orang yang “datang dari setiap negeri di bawah langit” telah “mendengar murid-murid Yesus bertutur dalam bahasa ibunda mereka masing-masing.”—Kisah 2:5, 6.
Apakah tujuan bercakap dalam bahasa lain?
Untuk membuktikan bahawa Tuhan menyertai orang Kristian. Pada masa lampau, Tuhan menggunakan mukjizat sebagai bukti bahawa Dia menyertai umat-Nya yang setia seperti Musa. (Keluaran 4:1-9, 29-31; Bilangan 17:10) Kurniaan untuk bercakap dalam bahasa lain juga menunjukkan bahawa Tuhan menyokong sidang Kristian yang baru ditubuhkan pada masa itu. Rasul Paulus menulis, “Kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain bukanlah tanda bagi orang yang percaya tetapi merupakan tanda bagi orang yang tidak percaya.”—1 Korintus 14:22.
Supaya orang Kristian dapat memberikan kesaksian yang menyeluruh. Mereka yang mendengar kata-kata murid Yesus pada hari Pentakosta itu berkata: “Kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita tentang perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.” (Kisah 2:11) Melalui kurniaan ini, orang Kristian dapat mentaati perintah Yesus untuk “memberikan kesaksian yang menyeluruh” dan membantu orang dari semua bangsa untuk menjadi pengikutnya. (Kisah 10:42; Matius 28:19) Kira-kira 3,000 orang yang menyaksikan mukjizat tersebut dan menerima kesaksian yang diberikan telah menjadi pengikut Yesus pada hari itu juga.—Kisah 2:41.
Adakah kurniaan untuk bercakap dalam bahasa lain terus kekal selama-lamanya?
Tidak. Kurniaan kuasa suci, termasuk kurniaan untuk bercakap dalam bahasa lain, hanya untuk sementara waktu sahaja. Bible menyatakan, “Kurnia untuk bernubuat akan lenyap, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain akan berakhir.”—1 Korintus 13:8.
Bilakah kurniaan bercakap dalam bahasa lain berakhir?
Kurnia kuasa suci biasanya diberikan kepada orang Kristian lain semasa para rasul ada bersama mereka, contohnya semasa para rasul meletakkan tangan mereka ke atas seseorang rakan seiman. (Kisah 8:18; 10:44-46) Nampaknya mereka yang menerima kurniaan kuasa suci daripada para rasul tidak dapat memberikan kuasa itu kepada orang lain. (Kisah 8:5-7, 14-17) Sebagai ilustrasi, seorang pegawai kerajaan boleh mengeluarkan lesen memandu kepada seseorang, tetapi orang itu tidak berhak untuk mengeluarkan lesen kepada orang lain. Dalam cara yang sama, kurniaan untuk bercakap bahasa lain juga berakhir setelah para rasul dan orang yang menerima kurniaan ini daripada mereka meninggal.
Bagaimana pula dengan penggunaan bahasa roh pada hari ini?
Kurniaan untuk bercakap dalam bahasa lain atau bahasa roh sudah tidak wujud lagi semenjak akhir abad pertama M. Pada hari ini, tiada orang yang dapat membuktikan bahawa dia sedang bercakap dalam bahasa roh melalui kuasa Tuhan.
Apakah sebenarnya tanda orang Kristian sejati?
Yesus berkata bahawa murid-muridnya akan dikenali melalui sifat kasih yang rela berkorban. (Yohanes 13:34, 35) Rasul Paulus juga mengajar bahawa kasihlah yang merupakan tanda abadi bagi orang Kristian sejati. (1 Korintus 13:1, 8) Dia menjelaskan bahawa kuasa suci Tuhan dapat menghasilkan sifat-sifat tertentu pada orang Kristian, dan sifat pertama dalam “buah kuasa suci Tuhan” ini ialah kasih.—Galatia 5:22, 23.