Apakah yang Dikatakan Bible tentang Membalas Dendam?
Jawapan Bible
Walaupun seseorang mungkin berasa bahawa dia berhak untuk membalas dendam, tindakan ini bertentangan dengan nasihat Bible yang mengatakan, “Jangan berkata, ‘Aku akan memperlakukannya sebagaimana dia memperlakukan aku; Aku akan membalas dendam terhadapnya.’” (Amsal 24:29) Bible mengandungi nasihat yang telah membantu ramai orang mengatasi keinginan untuk membalas dendam.
Dalam rencana ini
Mengapakah salah untuk membalas dendam?
Jika seseorang menyinggung anda atau berbuat jahat terhadap anda, anda sememangnya akan berasa marah dan ingin orang itu dihukum atas apa yang dilakukannya. Namun, perbuatan membalas dendam tidak selaras dengan ajaran Bible. Mengapa?
Apabila manusia cuba membalas dendam, perkara ini tidak menyenangkan hati Tuhan. Dalam Bible, Tuhan Yehuwa a mengatakan, “Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.” (Roma 12:19) Bible menggalakkan orang yang telah dilayan dengan tidak adil agar berusaha untuk menyelesaikan perkara itu secara damai, dan bukannya membalas dendam. (Roma 12:18) Namun, bagaimana pula jika perkara itu tidak dapat diselesaikan dengan damai, atau anda mungkin sudah menggunakan pelbagai cara agar dapat berdamai, tetapi perkara itu masih tidak dapat diselesaikan? Bible menasihati kita agar berharap kepada Yehuwa untuk membetulkan semua ketidakadilan.—Mazmur 42:10, 11.
Bagaimanakah Tuhan menghukum orang yang berbuat salah?
Buat masa sekarang, Tuhan membenarkan kerajaan manusia untuk menghukum orang yang telah berbuat salah. (Roma 13:1-4) Pada masa depan, Dia akan menghukum semua orang yang telah berbuat salah terhadap orang lain. Dia juga akan mengakhiri penderitaan buat selama-lamanya.—Yesaya 11:4.
Bagaimanakah saya dapat mengatasi keinginan untuk membalas dendam?
Jangan bertindak terburu-buru. (Amsal 17:27) Orang yang bertindak semasa marah sering melakukan perkara yang mereka kesali pada kemudian hari. Sebaliknya, orang yang berfikir panjang sebelum bertindak biasanya akan membuat keputusan yang lebih baik.—Amsal 29:11.
Ketahuilah sebabnya. (Amsal 18:13) Seseorang yang telah dilayan dengan tidak adil patut menanya diri, “Adakah terdapat beberapa sebab yang saya tidak tahu, yang menyebabkan dia bertindak begitu? Adakah dia tertekan? Atau, adakah dia tidak menyedari perbuatannya itu menyinggung orang lain?” Kadangkala, sesuatu yang nampaknya disengajakan sebenarnya hanyalah suatu kesilapan.
Tanggapan yang salah tentang membalas dendam
Tanggapan yang salah: Kita boleh membalas dendam kerana Bible berkata, “Jika dia membutakan satu belah mata orang lain, maka satu belah matanya juga mesti dibutakan.”—Imamat 24:20, Alkitab Berita Baik.
Kebenaran: Perintah “mata ganti mata” dalam hukum Israel kuno tidak menyokong tindakan membalas dendam. Sebaliknya, perintah ini membantu para hakim pada masa itu untuk menjatuhkan hukuman kepada seorang pesalah setimpal dengan perbuatannya. b—Ulangan 19:15-21.
Tanggapan yang salah: Bible berkata kita tidak boleh membalas dendam. Jadi, kita tidak boleh mempertahankan diri apabila diserang.
Kebenaran: Apabila kita diserang, kita berhak untuk mempertahankan diri atau mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa. Namun, Bible berkata bahawa seboleh-bolehnya kita haruslah menghindari pergaduhan.—Amsal 17:14.
a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.
b Untuk maklumat tambahan tentang perintah ini, lihatlah rencana “Apakah Maksud Sebenar ‘Mata Ganti Mata’?”