Bilakah Kisah tentang Yesus Ditulis?
Jawapan Bible
Mengenai catatannya tentang peristiwa-peristiwa dalam kehidupan Yesus, Rasul Yohanes menulis, “Dia yang melihat peristiwa itu telah memberikan kesaksian, dan kesaksiannya benar. Orang itu tahu bahawa apa yang dikatakannya itu benar, agar kamu juga percaya.”—Yohanes 19:35.
Satu sebab kita dapat mempercayai kisah yang dicatatkan oleh Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes adalah kerana mereka mencatatkan kisah-kisah itu semasa orang yang telah menyaksikan peristiwa-peristiwa itu masih hidup. Menurut sesetengah sumber, buku Matius ditulis lapan tahun selepas kematian Yesus, iaitu sekitar tahun 41 Masihi. Banyak cendekiawan berpendapat bahawa buku Matius ditulis selepas tahun 41 Masihi. Tetapi, secara umum, mereka bersetuju bahawa semua buku dalam Kitab Yunani Kristian ditulis pada abad pertama Masihi.
Semasa Yesus berada di bumi, orang pernah menyaksikan kematian dan pembangkitannya. Maka mereka dapat meneguhkan kesahihan catatan-catatan itu. Jika ada maklumat yang kurang tepat, mereka pasti dapat mengetahui dan menunjukkannya dengan mudah sekali. Profesor F. F. Bruce menyatakan, “Salah satu fakta yang harus kita ingat ialah para rasul tahu bahawa para pendengar mereka juga telah menyaksikan apa yang berlaku. Maka para rasul bukan sahaja dapat berkata, ‘Kami telah menyaksikan semua peristiwa ini.’ Mereka bahkan juga dapat berkata, ‘Kamu sendiri tahu tentang hal itu’ (Kisah 2:22).”