Bagaimanakah Saya Dapat Melindungi Diri daripada Gangguan Seksual?
Jawapan Bible
Perhatikan beberapa cadangan praktikal yang berdasarkan nasihat Bible:
Bersikap profesional. Hormatilah rakan kerja dan bersikap baik terhadap mereka. Namun, jangan terlalu ramah sehingga memberikan tanggapan yang salah.—Matius 10:16; Kolose 4:6.
Berpakaian sederhana. Memakai pakaian yang menjolok mata akan menyebabkan orang lain salah faham. Bible menggalakkan kita untuk berpakaian “dengan sederhana, dan dengan fikiran yang sihat.”—1 Timotius 2:9.
Pilihlah kawan anda dengan bijak. Jika anda selalu bergaul dengan orang yang suka bermain cinta, orang lain juga mungkin berfikir bahawa anda menerima perbuatan sedemikian.—Amsal 13:20.
Tolak percakapan yang lucah. Jika perbualan mula bertumpu kepada perkara yang “lucah, cabul, atau tidak senonoh,” beredarlah dengan segera.—Efesus 5:4, Alkitab Berita Baik.
Elakkan situasi yang berbahaya. Contohnya, anda harus berwaspada jika rakan kerja mengajak anda untuk terus berada di tempat kerja tanpa alasan yang munasabah.—Amsal 22:3.
Bersikap tegas dan terus terang. Jika anda diganggu secara seksual, beritahulah orang itu bahawa anda tidak suka perbuatannya. (1 Korintus 14:9) Misalnya, anda boleh memberitahunya, “Jangan sentuh saya lagi, saya rasa sangat tidak selesa.” Anda juga boleh tulis surat kepada orang itu dan beritahu apa yang berlaku, apa perasaan anda, dan jelaskan bahawa anda tidak mahu perkara ini berulang lagi. Nyatakan juga bahawa pendirian anda adalah berdasarkan piawaian moral dan kepercayaan anda.—1 Tesalonika 4:3-5.
Minta bantuan. Jika gangguan seksual tersebut masih berterusan, luahkanlah masalah ini kepada rakan yang boleh dipercayai, ahli keluarga, rakan kerja, atau seseorang yang pernah membantu mangsa gangguan seksual. (Amsal 27:9) Ramai yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual mengatakan bahawa doa sangat membantu. Meskipun anda belum pernah berdoa, anda dapat yakin akan bantuan yang diberikan oleh Yehuwa, “Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.”—2 Korintus 1:3.
Gangguan seksual menyebabkan tempat kerja tidak selamat bagi jutaan orang, tetapi Bible dapat memberikan bantuan.