Lompat ke kandungan

Saya Mahu Mati​—Dapatkah Bible Membantu Saya apabila Saya Ingin Bunuh Diri?

Saya Mahu Mati​—Dapatkah Bible Membantu Saya apabila Saya Ingin Bunuh Diri?

Jawapan Bible

 Ya, Bible dapat membantu anda! Bible berasal daripada “Tuhan yang melegakan hati orang yang patah semangat.” (2 Korintus 7:6) Walaupun Bible bukan sebuah buku mengenai kesihatan mental, kandungannya telah membantu ramai orang untuk mengatasi perasaan ingin bunuh diri. Nasihat Bible yang praktikal dapat membantu anda juga.

 Apakah beberapa nasihat Bible yang praktikal?

  • Meluahkan perasaan anda.

     Nasihat Bible: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

     Maksud: Kita perlu sokongan daripada orang lain semasa kita berfikiran negatif akibat kesusahan yang dialami.

     Jika anda selalu memendam perasaan negatif, hal itu mungkin akan menjadi satu beban yang terlalu berat untuk dipikul. Namun jika anda meluahkan perasaan, anda akan mendapat kelegaan dan berfikiran lebih positif.

     Cubalah: Luahkan perasaan anda kepada seorang ahli keluarga atau sahabat yang dipercayai pada hari ini. a Anda juga boleh meluahkan isi hati dengan menulis surat kepada mereka.

  • Dapatkan bantuan perubatan.

     Nasihat Bible: “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”—Matius 9:12.

     Maksud: Kita harus mendapat rawatan perubatan apabila kita sakit.

     Perasaan ingin bunuh diri mungkin merupakan gejala atau simptom kepada penyakit mental atau emosi. Penyakit sebegini dapat dirawat seperti penyakit fizikal yang lain, jadi anda tidak perlu berasa malu untuk mendapatkan bantuan perubatan.

     Cubalah: Dapatkan rawatan daripada doktor yang berkelayakan secepat mungkin.

  • Ingatlah bahawa Tuhan mengambil berat terhadap anda.

     Nasihat Bible: “Bukankah lima ekor burung pipit dijual dengan harga dua mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun dilupakan oleh Tuhan. . . . Jadi janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.”—Lukas 12:6, 7.

     Maksud: Anda berharga di mata Tuhan.

     Anda mungkin rasa keseorangan, namun Tuhan tahu penderitaan anda. Dia mengambil berat terhadap anda, biarpun anda rasa tidak ingin terus hidup lagi. Mazmur 51:17 berkata, “Ya Tuhan, Engkau tidak akan menolak hati yang remuk dan sesal.” Tuhan ingin anda terus hidup kerana Dia menyayangi anda.

     Cubalah: Perhatikan bukti-bukti dalam Bible yang menunjukkan bahawa Tuhan mengasihi anda. Contohnya, anda boleh membaca bab 24 dalam buku “Hampirilah Yehuwa” (Draw Close to Jehovah).

  • Berdoalah kepada Tuhan.

     Nasihat Bible: “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

     Maksud: Tuhan menjemput anda untuk meluahkan perasaan dan kekhuatiran anda secara ikhlas kepada-Nya.

     Tuhan dapat memberi anda kesejahteraan dan kekuatan untuk terus bertabah. (Filipi 4:6, 7, 13) Tuhan pasti memelihara mereka yang meminta pertolongan-Nya dengan hati yang ikhlas.—Mazmur 55:22.

     Cubalah: Berdoa kepada Tuhan pada hari ini dengan menggunakan nama-Nya, iaitu Yehuwa, dan luahkan perasaan anda kepada-Nya. (Mazmur 83:18) Mintalah bantuan Tuhan untuk terus bertahan.

  • Renungkanlah harapan Bible tentang masa depan.

     Nasihat Bible: “Harapan kita yang teguh dan pasti bagaikan sauh bagi kehidupan kita.”—Ibrani 6:19, nota kaki.

     Maksud: Walaupun emosi anda mungkin naik turun seperti kapal yang terumbang-ambing dalam ribut, harapan Bible dapat menstabilkan emosi anda.

     Harapan itu bukan khayalan sahaja, tetapi berdasarkan janji Tuhan untuk menghapuskan segala punca penderitaan kita.—Wahyu 21:4.

     Cubalah: Belajar lebih lanjut tentang harapan Bible dengan membaca pelajaran 5 dalam brosur Berita Baik daripada Tuhan!

  • Lakukanlah sesuatu yang anda nikmati.

     Nasihat Bible: “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab.”—Amsal 17:22.

     Maksud: Kesihatan mental dan emosi kita bertambah baik apabila kita melakukan aktiviti yang membawa sukacita.

     Cubalah: Lakukan aktiviti kegemaran anda. Contohnya, anda boleh mendengar muzik yang membangkitkan semangat, membaca sesuatu yang menggalakkan, atau meluangkan masa untuk hobi anda. Anda juga akan berasa lebih gembira dengan melakukan sesuatu untuk membantu orang lain, biarpun dalam cara yang kecil.—Kisah 20:35.

  • Jagalah kesihatan fizikal anda.

     Nasihat Bible: “Latihan jasmani ada faedahnya.”—1 Timotius 4:8, Alkitab Berita Baik.

     Maksud: Kita memperoleh manfaat melalui senaman, tidur yang mencukupi, dan makanan yang sihat.

     Cubalah: Lakukan senaman berjalan pantas, biarpun hanya untuk 15 minit.

  • Ingatlah bahawa perasaan kita dan hal-hal lain dalam kehidupan boleh berubah.

     Nasihat Bible: “Kamu tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kamu hari esok.”—Yakobus 4:14.

     Maksud: Walaupun anda sedang menghadapi suatu masalah yang nampaknya tiada jalan penyelesaian, masalah itu mungkin hanya sementara sahaja.

     Tidak kira betapa suramnya situasi hidup anda sekarang, hal itu mungkin berubah pada keesokan hari. Jadi, janganlah berputus harapan dan hadapilah cabaran itu dengan tabah. (2 Korintus 4:8) Situasi hidup anda yang susah sekarang mungkin akan berubah pada masa depan, tetapi jika anda bunuh diri, tindakan itu tidak boleh diubah lagi.

     Cubalah: Baca kisah-kisah dalam Bible tentang orang yang begitu tawar hati sehingga mereka ingin mati, dan lihat bagaimana hidup mereka berubah menjadi lebih baik dalam cara yang tidak disangka. Perhatikan beberapa contoh.

 Adakah Bible pernah menyebut tentang orang yang ingin mati?

 Ya, Bible ada menyebut tentang orang yang ingin mati. Tuhan tidak memarahi mereka, tetapi menghulurkan bantuan kepada mereka. Dia juga akan melakukan hal yang sama untuk anda.

Elia

  •  Siapakah dia? Elia ialah seorang nabi yang berani. Tetapi dia juga pernah rasa tawar hati. Yakobus 5:17 berkata bahawa “Elia pun orang yang mempunyai perasaan seperti kita.”

  •  Mengapakah dia ingin mati? Pada suatu ketika, Elia berasa keseorangan, takut, dan tidak berguna. Jadi dia merayu kepada Yehuwa, “Ambillah nyawaku.”—1 Raja-Raja 19:4.

  •  Apakah yang telah membantunya? Elia meluahkan perasaannya kepada Tuhan. Bagaimanakah Tuhan menggalakkannya? Tuhan mengambil berat terhadap Elia dan menunjukkan betapa besar kuasa-Nya. Tuhan juga meyakinkan Elia bahawa dia masih diperlukan dan melantik seorang pembantu yang penyayang dan berkebolehan untuk menyokongnya.

  •  Bacalah tentang kisah Elia: 1 Raja-Raja 19:2-18.

Ayub

  •  Siapakah dia? Ayub ialah seorang yang kaya. Dia mempunyai keluarga yang besar dan menyembah Tuhan yang benar dengan setia.

  •  Mengapakah dia ingin mati? Kehidupan Ayub ditimpa banyak perkara buruk secara tiba-tiba. Dia kehilangan segala harta bendanya. Semua anaknya mati dalam bencana. Dia dijangkiti penyakit yang teruk. Akhirnya, tuduhan palsu yang kejam dilontarkan kepada Ayub bahawa dialah punca semua masalah itu. Ayub berkata, “Aku membenci hidupku; aku tidak mahu hidup lagi.”—Ayub 7:16.

  •  Apakah yang telah membantunya? Ayub berdoa kepada Tuhan dan meluahkan perasaannya kepada orang lain. (Ayub 10:1-3) Dia digalakkan oleh Elihu, seorang sahabat yang berbelas kasihan. Elihu membantu Ayub untuk membetulkan pandangannya. Yang paling penting, Ayub sudi menerima bantuan dan nasihat daripada Tuhan.

  •  Bacalah tentang kisah Ayub: Ayub 1:1-3, 13-​22; 2:7; 3:1-13; 36:1-7; 38:1-3; 42:1, 2, 10-13.

Musa

  •  Siapakah dia? Musa ialah seorang pemimpin Israel pada zaman dahulu. Dia juga merupakan seorang nabi yang setia.

  •  Mengapakah dia ingin mati? Musa perlu menangani banyak tanggungjawab, menghadapi kritikan yang tidak henti-henti, dan berasa sangat penat. Jadi dia menyeru kepada Tuhan, “Lebih baik Engkau membunuh aku sekarang juga.”—Bilangan 11:11, 15.

  •  Apakah yang telah membantunya? Musa memberitahu Tuhan tentang perasaannya. Tuhan membantu Musa dengan meringankan beban kerjanya supaya dia berasa kurang tertekan.

  •  Bacalah tentang kisah Musa: Bilangan 11:4-6, 10-17.

a Hubungi talian bantuan kecemasan jika anda mengalami perasaan yang sangat kuat untuk membunuh diri dan tidak dapat menghubungi ahli keluarga atau sahabat anda.