Apakah Kehendak Tuhan bagi Saya?
Jawapan Bible
Tuhan menghendaki anda mengenali-Nya dengan baik, menghampiri-Nya, mengasihi-Nya, dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. (Matius 22:37, 38; Yakobus 4:8) Anda dapat mengetahui cara melakukan kehendak Tuhan dengan mempelajari kehidupan dan ajaran Yesus. (Yohanes 7:16, 17) Yesus bukan sahaja bercakap tentang kehendak Tuhan, tetapi juga melakukannya. Yesus pernah berkata, “Aku turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendakku, tetapi kehendak Dia yang mengutus aku.”—Yohanes 6:38.
Perlukah saya menerima petanda atau penglihatan yang luar biasa untuk mengetahui kehendak Tuhan bagi saya?
Tidak. Bible sudah mengandungi perkhabaran Tuhan bagi manusia. Maklumat dalam Bible dapat membantu anda agar “dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.” (2 Timotius 3:16, 17) Tuhan ingin anda menggunakan Bible dan “daya pemikiran” anda untuk mengetahui kehendak-Nya bagi anda.—Roma 12:1, 2; Efesus 5:17.
Dapatkah saya melakukan kehendak Tuhan?
Ya, anda mampu melakukannya. Bible menyatakan, “Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.” (1 Yohanes 5:3, Alkitab Berita Baik) Memang benar, ada kalanya kita perlu berusaha keras untuk mematuhi perintah Tuhan, tetapi usaha kita sangat berbaloi. Yesus sendiri berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”—Lukas 11:28.