Bagaimanakah Anda Dapat Mengenali Tuhan Secara Peribadi?
Jawapan Bible
Anda dapat mengenali Tuhan secara peribadi dengan mempelajari tentang-Nya dan berusaha untuk menyenangkan hati-Nya. Dengan berbuat demikian, Tuhan “akan menghampiri kamu.” (Yakobus 4:8) Bible meyakinkan kita bahawa “Dia sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.”—Kisah 17:27.
Langkah-langkah untuk mengenali Tuhan
Membaca Bible
Bible berkata, “Segenap ayat-ayat suci diilhami oleh Tuhan.”—2 Timotius 3:16.
Penjelasan: Tuhan ialah Pengarang Bible. Dia membimbing para penulis Bible untuk menyampaikan fikiran-Nya. Melalui buku yang istimewa ini, Tuhan telah memberitahu kehendak-Nya untuk kita. Dia juga memberitahu kita tentang sifat-sifat-Nya, seperti kasih, keadilan, dan belas kasihan.—Keluaran 34:6; Ulangan 32:4.
Apa yang boleh anda lakukan: Bacalah Bible setiap hari. (Yosua 1:8) Renungkan apa yang telah anda baca dan tanyalah diri, “Apakah yang dapat saya pelajari tentang keperibadian Tuhan?”—Mazmur 77:12.
Sebagai contoh, selepas membaca Yeremia 29:11, tanyalah diri, “Adakah Tuhan mahu saya mendapat kedamaian atau malapetaka? Adakah Dia Tuhan yang suka membalas dendam atau adakah Dia mahu saya menikmati masa depan yang baik?”
Mengamati ciptaan
Bible berkata, ‘Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat Tuhan yang tidak kelihatan, dapat dilihat dengan jelas melalui segala yang diciptakan-Nya.’—Roma 1:20.
Penjelasan: Kita dapat mengenali seorang pelukis daripada hasil karyanya, atau mengenali seorang pereka menerusi mesin rekaannya. Begitu juga, kita dapat mengenali Tuhan melalui ciptaan-Nya. Sebagai contoh, otak manusia yang sangat kompleks dan mempunyai kemampuan yang luar biasa mencerminkan kebijaksanaan Tuhan. Tenaga yang terdapat dalam matahari dan bintang-bintang pula menunjukkan kuasa-Nya.—Mazmur 104:24; Yesaya 40:26.
Apa yang boleh anda lakukan: Luangkanlah masa untuk mengamati dan belajar tentang ciptaan. Kemudian, tanyalah diri, “Apakah yang dapat saya pelajari tentang Tuhan melalui ciptaan-Nya yang menakjubkan?” a Namun, masih ada banyak perkara yang kita tidak dapat belajar tentang Pencipta kita melalui ciptaan-Nya. Oleh sebab itu, Dia memberi kita Bible.
Menggunakan nama Tuhan
Bible berkata, “Aku akan melindungi dia kerana dia mengenal nama-Ku. Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya.”—Mazmur 91:14, 15.
Penjelasan: Tuhan, yang bernama Yehuwa, betul-betul memerhatikan mereka yang tahu nama-Nya dan menggunakannya dengan hormat. b (Mazmur 83:18; Maleakhi 3:16) Dengan memberitahu kita nama peribadi-Nya, Tuhan telah memperkenalkan diri-Nya kepada kita. Dia berkata, “Aku ialah Yehuwa, itulah nama-Ku.”—Yesaya 42:8.
Apa yang boleh anda lakukan: Gunakanlah nama Yehuwa semasa bercakap tentang-Nya.
Bercakap kepada Yehuwa melalui doa
Bible berkata, “Yehuwa dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya.”—Mazmur 145:18.
Penjelasan: Yehuwa menghampiri orang yang berdoa dan beriman kepada-Nya. Doa ialah sebahagian daripada ibadat kita. Apabila kita berdoa kepada Tuhan, kita menunjukkan hormat yang mendalam terhadap-Nya.
Apa yang boleh anda lakukan: Sentiasa berdoa kepada Tuhan. (1 Tesalonika 5:17) Beritahulah Dia kerisauan dan perasaan anda.—Mazmur 62:8. c
Membina iman terhadap Tuhan
Bible berkata, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan.”—Ibrani 11:6.
Penjelasan: Kita mesti mempunyai iman terhadap Tuhan agar kita dapat menghampiri-Nya. Menurut Bible, mempunyai iman bukan sekadar mempercayai bahawa Tuhan wujud. Kita juga perlu percaya sepenuhnya terhadap Tuhan, termasuk semua janji dan piawaian-Nya. Kepercayaan amat penting untuk mengekalkan hubungan yang baik.
Apa yang boleh anda lakukan: Iman yang sejati adalah berdasarkan pengetahuan. (Roma 10:17) Jadi belajarlah Bible agar anda dapat mempercayai Tuhan dan nasihat-Nya. Saksi-Saksi Yehuwa gembira untuk membantu anda mempelajari Bible. d
Melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan
Bible berkata, “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya.”—1 Yohanes 5:3.
Penjelasan: Yehuwa dekat kepada mereka yang menunjukkan kasih terhadap-Nya dengan berusaha sedaya upaya untuk mematuhi perintah-Nya.
Apa yang boleh anda lakukan: Semasa anda mempelajari Bible, perhatikan apa yang disukai dan dibenci oleh Tuhan. Tanyalah diri, “Apakah perubahan yang boleh saya lakukan untuk menyenangkan Pencipta saya?”—1 Tesalonika 4:1.
Menerapkan nasihat Tuhan dan rasakan manfaatnya
Bible berkata, “Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa!”—Mazmur 34:8.
Penjelasan: Tuhan menjemput anda untuk merasai kebaikan-Nya. Apabila anda merasai kasih dan sokongan Tuhan, anda akan terdorong untuk menghampiri-Nya.
Apa yang boleh anda lakukan: Terapkanlah nasihat Tuhan dalam Bible dan meraih manfaatnya. (Yesaya 48:17, 18) Perhatikan juga pengalaman orang yang telah bergantung pada bantuan Tuhan dan dapat mengatasi cabaran hidup, menikmati kehidupan keluarga yang lebih baik, serta menemui kebahagiaan yang sejati. e
Tanggapan yang salah mengenai menghampiri Tuhan
Tanggapan yang salah: Tuhan begitu berkuasa dan kedudukan-Nya begitu tinggi. Jadi tidak mungkin Dia ingin menghampiri kita.
Kebenaran: Walaupun Tuhan itu maha kuasa dan maha tinggi, Dia menjemput kita untuk menghampiri-Nya. Bible mengandungi banyak contoh lelaki dan wanita yang telah menjadi sahabat akrab-Nya.—Kisah 13:22; Yakobus 2:23.
Tanggapan yang salah: Kita tidak dapat mengenali Tuhan kerana Dia itu misteri.
Kebenaran: Ada sesetengah hal yang kita tidak dapat memahami tentang Tuhan. Contohnya, Tuhan ialah roh yang tidak dapat dilihat. Namun, kita masih boleh mengenali Tuhan. Sebenarnya, Bible mengatakan bahawa kita perlu mengenali-Nya untuk memperoleh hidup kekal. (Yohanes 17:3) Bible menggunakan ungkapan yang dapat kita fahami semasa memberitahu kita tentang Pencipta kita, sifat-sifat-Nya, tujuan-Nya bagi manusia dan bumi, dan piawaian-Nya. (Yesaya 45:18, 19; 1 Timotius 2:4) Seperti yang disebutkan tadi, Bible juga memberitahu kita nama Tuhan. (Mazmur 83:18) Kita bukan sahaja dapat mengenali Tuhan, tetapi juga dapat menghampiri-Nya.—Yakobus 4:8.
a Lihat siri rencana “Siapakah Perekanya?” untuk mengetahui contoh-contoh ciptaan yang menyingkapkan kebijaksanaan Tuhan.
b Ramai orang berpendapat bahawa nama Yehuwa bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Dengan memberitahu kita nama-Nya, Tuhan seolah-olah berkata, “Aku akan melaksanakan kehendak dan tujuan-Ku. Aku sentiasa menunaikan janji-Ku.”
c Lihat rencana “Mengapakah Berdoa? Adakah Tuhan Akan Menjawab Doa Saya?”
d Untuk maklumat lanjut, tonton video Apakah yang Berlaku semasa Pembelajaran Bible?
e Lihat siri rencana “Bible Mengubah Hidup.”