Lompat ke kandungan

Adakah Bible Mengajar tentang Penjelmaan Semula?

Adakah Bible Mengajar tentang Penjelmaan Semula?

Jawapan Bible

 Tidak, Bible tidak mengajarkannya. Perkataan “penjelmaan semula” tidak pernah muncul dalam Bible. Kepercayaan ini berdasarkan ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati. a Tetapi Bible mengajarkan bahawa manusia ialah jiwa dan jiwa boleh mati. (Kejadian 2:7; Yehezkiel 18:4) Orang yang sudah mati tidak wujud lagi.​—Kejadian 3:​19; Pengkhutbah 9:​5, 6.

Apakah perbezaan antara penjelmaan semula dan pembangkitan?

 Ajaran Bible tentang pembangkitan tidak ada kaitan dengan ajaran jiwa yang tidak dapat mati. Semasa pembangkitan, manusia yang telah mati akan dihidupkan semula melalui kuasa Tuhan. (Matius 22:23, 29; Kisah 24:15) Seseorang akan dibangkitkan untuk hidup semula di dunia baharu dan mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya.​—2 Petrus 3:​13; Wahyu 21:​3, 4.

Tanggapan yang salah mengenai penjelmaan semula dan Bible

 Tanggapan yang salah: Bible menyatakan bahawa Nabi Elia menjelma semula sebagai Yohanes Pembaptis.

 Kebenaran: Tuhan pernah berfirman, “Aku akan mengutus Nabi Elia kepada kamu,” dan Yesus menyatakan bahawa nubuat ini merujuk kepada Yohanes Pembaptis. (Maleakhi 4:​5, 6; Matius 11:13, 14) Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud bahawa Elia telah menjelma semula sebagai Yohanes Pembaptis. Yohanes sendiri mengatakan bahawa dia bukan Elia. (Yohanes 1:​21) Sebenarnya, hal ini bermaksud bahawa seperti Elia, Yohanes ditugaskan untuk menyebarkan mesej Tuhan yang menyeru orang untuk bertaubat. (1 Raja-Raja 18:36, 37; Matius 3:1) Selain itu, seperti Elia, Yohanes “kuat dan berkuasa.”​—Lukas 1:​13-​17, Alkitab Berita Baik.

 Tanggapan yang salah: Ajaran Bible tentang ‘kelahiran semula’ sama dengan ajaran penjelmaan semula.

 Kebenaran: Ajaran Bible tentang ‘kelahiran semula’ merujuk kepada kelahiran semula secara rohani. Hal ini berlaku semasa seseorang masih hidup. (Yohanes 1:​12, 13) Kelahiran semula ini merupakan berkat yang dikurniakan oleh Tuhan kepada seseorang agar dia mendapat harapan yang istimewa pada masa hadapan. Hal ini jauh berbeza dengan ajaran penjelmaan semula.​—Yohanes 3:3; 1 Petrus 1:​3, 4.

a Ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati dan ajaran penjelmaan semula berasal dari Babilon kuno. Ahli falsafah India kemudiannya mengajar tentang doktrin Karma. Menurut sebuah ensiklopedia, Karma berdasarkan “hukum sebab dan akibat. Tindakan seseorang dalam kehidupannya sekarang akan menentukan kehidupannya pada masa yang akan datang.”​—Britannica Encyclopedia of World Religions, muka 913.