Lompat ke kandungan

Apakah Itu Tabut Perjanjian?

Apakah Itu Tabut Perjanjian?

Jawapan Bible

 Tabut perjanjian ialah sebuah peti suci yang dibina oleh orang Israel kuno. Mereka membinanya mengikut perintah dan reka bentuk yang dikehendaki Tuhan. “Batu tulis,” iaitu Sepuluh Hukum yang ditulis pada dua keping batu, disimpan dan dilindungi di dalam tabut tersebut.​—Keluaran 25:8-10, 16; 31:18.

  •   Pembinaan. Tabut perjanjian diperbuat daripada kayu akasia dan disaluti emas. Di sekeliling bingkainya mempunyai hiasan. Ukuran tabut itu ialah 111 sentimeter panjang, 67 sentimeter lebar, dan 67 sentimeter tinggi. Penutup tabut diperbuat daripada emas tulen. Terdapat dua kerub emas yang masing-masing berada di bahagian hujung atas penutup itu. Dua kerub itu menghadap ke arah satu sama lain dengan muka memandang ke arah penutup. Sayap kedua-dua kerub itu terbentang ke atas dan menaungi penutup tabut. Tabut itu mempunyai empat gelang emas pada keempat-empat sudut kaki tabut. Kayu pengusung yang diperbuat daripada kayu akasia dan disaluti emas, dimasukkan ke dalam gelang-gelang itu agar tabut dapat diusung.​—Keluaran 25:10-​21; 37:​6-9.

  •   Lokasi. Pada mulanya, tabut perjanjian diletakkan di dalam Bilik Maha Suci di khemah suci. Tabut dan khemah dibina pada masa yang sama. Bilik Maha Suci ditutup dengan tirai agar para imam dan orang lain tidak dapat melihat ke dalam. (Keluaran 40:​3, 21) Hanya imam agung yang boleh masuk ke dalam bilik tersebut untuk melihat tabut itu sekali setahun pada Hari Pengampunan Dosa. (Imamat 16:2; Ibrani 9:7) Kemudian, tabut itu dipindahkan ke dalam Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo.​—1 Raja-Raja 6:​14, 19.

  •   Tujuan. Tabut itu menyimpan barang-barang suci untuk mengingatkan umat Israel tentang perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan mereka semasa di Gunung Sinai. Tabut ini juga memainkan peranan yang penting semasa upacara pada Hari Pengampunan Dosa.​—Imamat 16:​3, 13-17.

  •   Kandungan. Benda pertama yang diletakkan di dalam tabut ialah dua keping batu yang mengandungi Sepuluh Hukum. (Keluaran 40:20) “Balang emas berisi manna” dan “tongkat Harun yang telah bertunas” juga dimasukkan ke dalam tabut. (Ibrani 9:4; Keluaran 16:33, 34; Bilangan 17:10) Semasa tabut dipindahkan ke Rumah Tuhan, balang emas dan tongkat tidak didapati di dalam tabut. Jelaslah bahawa balang emas dan tongkat telah dikeluarkan pada suatu ketika.​—1 Raja-Raja 8:9.

  •   Cara mengangkut. Orang Lewi akan mengangkat tabut di bahu mereka dengan menggunakan dua batang kayu yang diperbuat daripada akasia. (Bilangan 7:9; 1 Tawarikh 15:15) Kayu pengusung tetap ada di dalam gelang-gelang tabut. Dengan itu, orang Lewi tidak perlu menyentuh tabut tersebut. (Keluaran 25:12-16) Apabila tabut diusung, “tirai” yang memisahkan Bilik Suci dan Bilik Maha Suci digunakan untuk menutup tabut.​—Bilangan 4:​5, 6. a

  •   Lambang. Tabut itu merujuk kepada kehadiran Tuhan. Sebagai contoh, awan yang muncul di atas tabut dalam Bilik Maha Suci dan semasa di perkhemahan orang Israel menunjukkan kehadiran serta perkenan Yehuwa. (Imamat 16:2; Bilangan 10:33-​36) Selain itu, Bible menyatakan bahawa Yehuwa “bertakhta di atas kerub,” merujuk kepada dua kerub yang terdapat di atas penutup tabut. (1 Samuel 4:4; Mazmur 80:2) Maka, kerub-kerub itu melambangkan pedati atau kereta kuda Yehuwa. (1 Tawarikh 28:18) Selaras dengan apa yang dilambangkan oleh tabut itu, Raja Daud boleh menulis bahawa Yehuwa “memerintah di Sion” selepas tabut dipindahkan ke sana.​—Mazmur 9:12, Alkitab Berita Baik.

  •   Ungkapan. Bible menggunakan pelbagai ungkapan untuk menggambarkan peti suci. Antaranya ialah “Tabut Perjanjian,” “Tabut Perjanjian Tuhan [Yehuwa],” dan “Tabut Perjanjian lambang kekuasaan-Mu [Yehuwa].”​—Bilangan 7:89; Yosua 3:​6, 13; 2 Tawarikh 6:​41.

     Penutup tabut itu dipanggil sebagai “tempat pengampunan dosa,” atau “kerusi pengampunan.” (1 Tawarikh 28:11; King James Version) Ungkapan ini menunjukkan bahawa penutup tabut perjanjian mempunyai fungsi khas pada Hari Pengampunan Dosa. Pada masa itu, imam agung bangsa Israel akan memercikkan darah binatang yang dikorbankan di hadapan dan di atas penutup tabut perjanjian itu. Tujuan upacara tersebut adalah agar imam agung dapat memohon pengampunan dosa “bagi dirinya sendiri, bagi keluarganya, dan bagi semua orang Israel.”​—Imamat 16:14-​17.

Adakah tabut perjanjian masih wujud pada hari ini?

 Tiada bukti yang menunjukkan bahawa tabut itu masih wujud pada hari ini. Bible menyatakan bahawa tabut tidak diperlukan lagi kerana perjanjian Hukum Musa akan digantikan dengan “perjanjian yang baru” melalui korban tebusan Yesus. (Yeremia 31:31-​33; Ibrani 8:​13; 12:24) Maka Bible memberitahu bahawa akan tiba masanya tabut perjanjian tidak wujud lagi dan orang tidak mengingatinya.​—Yeremia 3:​16.

 Selepas perjanjian baru diperkenalkan, Rasul Yohanes mendapat penglihatan bahawa tabut perjanjian muncul di syurga. (Wahyu 11:15, 19) Tabut ini melambangkan kehadiran Tuhan dan perkenan-Nya terhadap perjanjian baru itu.

Adakah tabut perjanjian berfungsi sebagai azimat?

 Tidak. Walaupun bangsa Israel memiliki tabut perjanjian, hal itu tidak menjamin keselamatan mereka. Contohnya, apabila orang Israel menyerang kota Ai, tabut ada dalam khemah mereka. Namun, mereka kalah teruk disebabkan ketidaksetiaan seorang bangsa Israel. (Yosua 7:​1-6) Kemudian, mereka dikalahkan oleh orang Filistin walaupun mereka membawa tabut ke medan pertempuran. Ini disebabkan perbuatan jahat yang dilakukan oleh imam Israel, Hofni dan Pinehas. (1 Samuel 2:​12; 4:​1-​11) Orang Filistin berjaya merampas tabut perjanjian. Namun, Tuhan menghukum mereka dengan tulah sehingga mereka mengembalikan tabut itu kepada orang Israel.​—1 Samuel 5:11–6:​5.

Sejarah tabut perjanjian

Tahun (Sebelum Masihi)

Peristiwa

1513

Dibuat oleh Bezaleel dan para pembantunya dengan menggunakan bahan-bahan yang disumbangkan oleh orang Israel.​—Keluaran 25:​1, 2; 37:1.

1512

Ditahbiskan oleh Musa bersama dengan khemah suci dan aturan imam.​—Keluaran 40:​1-3, 9, 20, 21.

1512​—Selepas 1070

Dipindahkan ke pelbagai tempat.​—Yosua 18:1; Hakim-Hakim 20:26-28; 1 Samuel 1:​24; 3:3; 6:​11-​14; 7:​1, 2.

Selepas 1070

Dibawa oleh Raja Daud ke Yerusalem.​—2 Samuel 6:​12.

1026

Dipindahkan ke Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo di Yerusalem.​—1 Raja-Raja 8:1, 6.

642

Raja Yosia mengembalikannya ke Rumah Tuhan.​—2 Tawarikh 35:3. b

Sebelum 607

Nampaknya, tabut tidak berada di Rumah Tuhan. Semasa Rumah Tuhan dimusnahkan pada tahun 607 SM, tabut perjanjian tidak termasuk dalam senarai barang-barang yang dibawa ke Babilon, dan juga tidak termasuk dalam senarai barang-barang yang kemudiannya dikembalikan ke Yerusalem.​—2 Raja-Raja 25:13-​17; Ezra 1:​7-​11.

63

Semasa Pompey, panglima Roma, menawan kota Yerusalem, dia melaporkan bahawa tabut perjanjian itu telah hilang setelah memeriksa Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan. c

a Jika umat Israel melanggar aturan ini, mereka akan dihukum mati.​—1 Samuel 6:​19; 2 Samuel 6:​2-7.

b Bible tidak menyatakan masa, sebab, atau siapa yang memindahkannya.

c Lihat buku The Histories, yang ditulis oleh Tacitus, Buku V, perenggan 9.